BAB 7

4.8K 180 1
                                    

BANG!

Karn dan Dian berpandangan buat seketika, sebelum tiba-tiba merasakan van yang mereka naiki mula berpusing-pusing. Laju sekali!

"Ya Allah!!" teriak Dian sambil cuba berpegang pada sisi van. Melalui hujung mata, dia dapat melihat Karn yang turut mengambil tindakan yang sama.

Setelah beberapa saat berpusing begitu, akhirnya van tersebut berhenti betul-betul di tengah jalan. Baru sahaja Dian mahu mengangkat kepala, Karn tiba-tiba sahaja menjerit dengan cukup lantang.

"Tunduk, Dian!! Tunduk!!!"

Dian tergamam. Sebelum pun sempat dia menganalisa apa yang terjadi, tidak semena-mena Karn menarik kepalanya ke paras dada dan memeluk tubuhnya erat. Tangan tegap Karn kuat memegang kepalanya seraya menunduk ke bawah.

Sesaat kemudian, berdas-das tembakan mula menembusi cermin van. Berderai semuanya. Serpihan-serpihan kaca berterbangan di sekeliling mereka.

'Ya Allah!!!' jerit hati kecil Dian sambil memejam mata rapat-rapat. Tubuhnya menggigil kuat dalam pelukan Karn yang semakin kemas. Dian seperti dapat merasai berpuluh-puluh peluru berdesing di tepi telinganya. Peluru yang mungkin menghantar malaikat maut kepadanya!

"Take him!!!" Serentak dengan berhentinya bunyi tembakan, satu pekikan kuat bergema. Serta-merta juga, bahu Dian terasa direngkuh kasar dan ditarik keluar dari van. Terbeliak kedua-dua matanya melihat tangan bertatu yang kini mencengkam bahunya dari belakang, sambil mengheretnya menjauhi van.

"Lepaskan aku!! Lepaskan aku!!!" Dian meronta-ronta. Kakinya menendang-nendang ke udara sambil matanya meliar, cuba mencari kelibat Karn. Sekali lagi matanya membulat saat terpandangkan Karn yang turut sama diseret oleh dua orang lelaki bertopeng. Seperti dia, Karn juga sedang menggelapar-gelepar sambil menjerit-jerit.

"Karn! Karn!!!" tempik Dian seraya cuba meloloskan diri. Tangannya menampar-nampar lengan yang masih melekat pada bahunya sebelum dia akhinya mengambil tindakan drastik dengan menggigitnya.

"Perempuan sial!!!"Tubuh Dian dibanting kasar ke atas jalan.

"Dian!!!" Jeritan kuat Karn mengiringi tubuh Dian yang terhempas jatuh. Hampir tercabut nyawanya menyaksikan semua itu. Kemudian dia mengalihkan fokus pada lelaki bertatu yang kini lambat-lambat menghampiri sahabatnya.

"Jahanam kau! Apa kau nak buat, hah?!" tengking Karn sambil menguatkan lagi rontaannya. "Sialan! Lepaskan aku!!!"

Terkial-kial Dian cuba mengangkat tubuhnya. Wajahnya menyeringai penuh kesakitan. Namun baru sahaja dia mahu mendongak, satu tangan kasar terlebih dahulu merengkuh bawah dagunya.

"You want to play rough with me, huh?"

Terkaku Dian saat muncung sebuah pistol melekat di bawah lehernya. Segala urat sendi tubuhnya terasa lembik. Nafasnya terasa terhenti di hujung kerongkong, tidak mampu dilepaskan demi sebuah nyawa. Nyawa yang mungkin bila-bila masa sahaja akan terlerai dari jasad!

Sepasang mata Karn membuntang luas. Pelbagai kemungkinan mula bermain-main dalam fikirannya. Jiwanya makin sebu dengan kemungkinan yang satu itu. Kemungkinan paling dahsyat!

"Dian!! Dian!!" jerit Karn dengan lantang. Sedaya upaya dia cuba melepaskan diri daripada pegangan tangan dua lelaki yang sedang mencengkam bahu kiri dan kanannya, seraya mengheretnya ke arah sebuah van hitam yang sudah pun terbuka pintunya.

Dian memandang Karn dengan air mata ketakutan yang bertakung di tubir mata. Tubuhnya pegun. Hanya bibirnya yang terketar-ketar, cuba mengalunkan suara namun yang terlepas cuma desah nafas yang kelelahan. Tolong saya, Karn!

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now