3 | Demam

2K 308 57
                                    

Susana di dalam kereta menjadi sepi tak ubah seperti kawasan tanah perkuburan. Salman menukar-nukar siaran radio dengan hujung jemarinya seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Kau tengok apa dah jadi hari ni! " Lelaki di sebelahnya mengetap gigi kegeraman. Ditahan rasa yang berombak di dada. Hatinya semakin sakit dengan perbuatan Salman yang seakan tiada perasaan.

Dah la dahi berbenjol, kena pula drive kereta. Zack terkumat kamit menahan amarah terhadap Salman. Tak guna punya kawan.

Salman hanya menyanyi kecil dengan lagu yang baru dimainkan. "Kepala kau okay je kan? Sikit je tu."

"Sikit je?"

Zack berdecit. Kepalanya masih berdenyut hebat sejak tadi. Sebaik sahaja dihempuk dengan grip pistol itu tadi, terus pandangannya bertukar gelap. Mujurlah untuk beberapa ketika sahaja dan rasa pitam itu beransur pergi setelah berehat selama beberapa minit.

"Aku tak nak ada masalah lagi lepas ni. Kita jual budak ni, " putus Zack. Dia segera memakai earpodnya dan mendail satu nombor.

"Hello, Kaisar. Aku nak datang rumah kau ni. Boleh tak tolong hantar alamat rumah kau?"

Salman melihat kanak-kanak yang sesuka hati bersandar pada dadanya. Dia pun tak tahu kenapa dengan budak tu, nak bermanja pula. Apa budak ni tak tahu ke yang lelaki-lelaki ini bakal menjualnya sekejap lagi?

" Kaisar kata apa? " soal Salman sambil menolak wajah kanak-kanak itu daripada terus memandangnya. Dia risau akan terpujuk dengan pandangan mata itu.

"Dia kata, dia sibuk. Esok baru dia ada kat rumah."

"Kita tinggal je la budak ni kat tepi jalan ni, nak? Kau hentikan je kereta," cadang Salman. Dia semakin meluat dengan kanak-kanak itu yang suka menempel padanya.

"Okay." Selang beberapa minit, pacuan empat roda itu diberhentikan pada bahu jalan. Tidak jauh dari kereta berwarna biru gelap itu, terdapat sederet gerai makanan bergoreng.

Salman membuka pintu kereta lalu menurunkan kanak-kanak itu terlebih dahulu. Kanak-kanak itu pun menapak ke atas rumput hijau dengan berkaki ayam.

"Budak, dengar sini. Aku tak boleh jaga kau, boss aku tak bagi. Kau pergi dekat mak cik tu, mungkin dia boleh jaga kau." Tangan Salman menoleh wajah comot itu agar memandang wanita yang dimaksudkannya. "Kau pergilah minta simpati dia. Pergi-pergi."

"Ayah-" Terkebil-kebil kanak-kanak itu memandang Salman. "Ayah..."

"Ish, aku bukan ayah kau la!" Salman turut menapak ke luar kereta. "Kau pergi dekat sana je. Aku takde masa nak layan budak macam kau ni. "

Air mata kanak-kanak itu mula berguguran. Hatinya bagai teremuk saat Salman meninggikan suara meskipun dia tidak mengerti kesemua bait bicara Salman.

Badan kecil itu ditolak Salman agar dia membuka langkah. Mahu atau tidak, jelingan Salman lebih ditakuti kanak-kanak itu. Dia terpaksa melangkah juga.

"Tsk..." Luka pada kaki kanak-kanak itu mencengkam saat dia mengatur langkah. Langkahnya kecil sahaja. Hati itu sedang menggeletar ketakutan tanpa sesiapa di sisi. Dia langsung tak mengerti mengapa lelaki yang dianggap sebagai ayah itu asyik meninggikan suara.

Salman tersenyum senang. Dia segera memasuki kereta kembali. "Jangan pergi lagi, kita tengok dulu apa yang akan terjadi." Bilang lelaki itu sambil menyilangkan tangan ke dada.

Kanak-kanak itu terus berjalan dengan sisa tangisan di wajah. Dikesat tangisan itu dengan tangan kecilnya. Perkataan ayah masih meniti di bibir berulang kali.

DUSH

Plastik pisang goreng mencium lantai tatkala terlepas dari pegangan tangan tuannya.

"Ish, kau dah kenapa budak?" Jerit seorang gadis berseluar jeans. Dia hampir jatuh tersungkur kerana terlanggar kanak-kanak yang entah muncul dari mana itu.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة Where stories live. Discover now