Epilog (edited)

2K 216 72
                                    

Ahmad menarik wajahnya sejak tadi. Sedikit pun dia tak mahu menoleh wajah ke arah Salman. Salman mencuit bahu kiri, dia berpaling ke kanan sambil buat-buat sibuk dengan beg sekolahnya.

"Adik janganlah merajuk," ujar Salman. Dia membuat keputusan bagi mendukung tubuh kanak-kanak itu setelah penat bercangkung berdekatannya.

"Hm," balas Ahmad sepatah. Dia masih tak mahu memandang ke arah ibunya.

Aisyah Qomar tersenyum nipis. Pandangannya jatuh pada seorang bayi yang baru berusia seminggu di sisinya. Pipi itu dielus lembut. Kemudian jarinya bermain pula di kelopak mata anaknya hingga wajah itu berkerut. Rasa penat masih tersisa buat dia. Wajah seorang bayi lelaki di sebelah bayi perempuan itu pula dibelai Aisyah. Yang perempuan, mereka telah sepakat untuk menamakan Jannah. Yang lelaki pula ialah Firdaus. Jannah dan Firdaus, adik kepada abang Ahmad.

Kedua-dua cahaya mata ini akan menjadi syurga buat mereka sekeluarga. Yang akan mengisi benak rumah itu dan menemani hari-hari mereka.

"Tu adik Ahmad. Janganlah marah baby tu," pujuk Salman. Dia menarik dagu kanak-kanak yang masih berpakaian dalam jubah putihnya. Beg pun tidak ditanggalkan lagi, tahu-tahu ada sesuatu sedang duduk di katil ibu dan ayahnya.  Bukan seorang bayi, malah dua pula! Mana tak muncung bibir tu.

"Ahmad yang adik. Bukan dia... Eee...," omel Ahmad. Pipinya telah dikembungkan kerana geram.

"Yelah, Ahmad adik. Tu baby. Kan lain?" ujar Salman. Dia berjalan merapati katil di dalam biliknya. Punyalah Ahmad tidak mahu memandang muka bayi-bayi itu. Dia membenamkan wajah di bahu Salman.

Kemudian, kedengaran esakan tangisan kecil dari kanak-kanak itu. Tangannya menyeka air mata sendiri apabila beranggapan yang tempatnya bakal digantikan bayi yang entah datang dari mana. Bahu Salman mula membasah dengan lebat tangisannya. "Ayah tak sa- sayang adik."

"Siapa cakap?" Salman pura-pura terkejut. Dia mengintai wajah Ahmad.

"Takde si- siapa."

"Ayah sayang adik sampai bila-bila. Jangan menangis, malu baby tengok," bisik Salman. Dia mengusap pipi Ahmad.

Ahmad menggeleng. "Tak. Ayah su-suruh adik tidur dalam bilik lain. Mesti sebab ba-baby ni nak duduk dengan ibu ayah. Takde siapa nak sayang a-adik. Ayah dah ada orang la-lain. Ahmad dah takde si-siapa nak sa-sayang. "

"Sebab adik dah besarlah adik kena tidur dalam bilik tu. Dah berapa tahun?" Kopiah putih Ahmad ditanggalkan Salman. Dia mengesat peluh yang bertapak di dahi kanak-kanak itu. Alahai, anak manja ni.

"Lima..." Tersebek-sebek Ahmad memandang Salman. Matanya berkaca meminta simpati.

"Ayah teman adik tidur kan dalam bilik tu? Bukannya ayah biar adik sorang-sorang. Jangan menangis, ayah sayang adik," Salman tersenyum lalu mencium pipi kanan Ahmad.

"Dah, tak nak nangis-nangis," Salman memeluk tubuh Ahmad sambil mengusap belakangnya. "Ayah sayang sangat dekat anak ayah yang sorang ni."

Kanak-kanak itu tak mahu mendengar apa-apa lagi. Dia sandarkan kepalanya di bahu Salman sambil ekor mata mengerling bayi-bayi itu. Sudahlah kecil tubuh badan mereka, diletakkan pula ke tengah-tengah katil iaitu tempat yang sepatutnya dia tidur bersama-sama Salman.

"Buka la jubah dia dulu. Berpeluh dah badan tu," celah Aisyah separuh berbisik. Dia tahu perkara seperti ini pasti akan terjadi kerana anak itu terlalu rapat dengan Salman. Pada usia lima tahun baru dia disapa dengan khabaran untuk mempunyai adik.

Apabila Ahmad dibawa mendekatinya, Aisyah menampar lembut pipi itu. "Ibu pun sayang adik tau. Adik kan adik buat ibu dan ayah."

"Hm...," gumam Ahmad dengan bahasanya sendiri. Dia terkelip-kelip melihat bayi itu apabila esakan tangisan kedengaran. Satu bayi menangis, bayi yang lagi satu turut mengalirkan air mata. Ahmad kaget melihat kedua-dua bayi itu. Jubah putihnya ditanggalkan Salman lalu tubuh Ahmad yang tak berbaju diletakkan ke atas katil bersebelahan Aisyah.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة Where stories live. Discover now