23| Pulang

1.1K 194 41
                                    

"Mana saya nak cari RM50 000?" Salman tersenyum hambar memandang wajah Aisyah di sebelahnya. Mereka melencong ke pusat membeli belah setelah pulang dari Institut Jantung Negara bagi pemeriksaan susulan Ahmad. Pasangan itu duduk di bangku sambil masing-masing di tangan mempunyai minuman yang telah dipesan tadi.

"Kita boleh buat fund raise. Insya Allah ada orang yang nak tolong," ujar Aisyah.

"Fund raise pun... Mustahil la nak cecah RM50 000. Paling maksimum pun mungkin RM10 000," balas Salman. Dia memegang air minuman itu sambil mendakap tubuh Ahmad dari belakang.

Fikirannya kusut memikirkan masalah kewangan sendiri. Dengan kerja perkhidmatan membaiki telefon yang sedang dikerjakan sekarang tak mampu untuk menampung kos sebanyak itu.

"Usaha. Nanti adalah jalannya," pujuk Aisyah lembut.

Salman menghela nafas berat. "Kalau saya jual buah pinggang okay tak?"

"Jangan nak merepek," geleng Aisyah.

Bulan lepas, ketika membuat pemeriksaan susulan, doktor mengesan bahawa satu lubang di jantung Ahmad hampir tertutup secara semula jadi. Namun, salah satu lubang semakin membesar dari satu sentimeter kepada tiga sentimeter. Pembedahan segera perlu dilakukan.

"Saya dah mati kutu nak fikir pasal duit ni." Salman melihat wajah Ahmad. Anak itu memang mendengar kata dan tidak buat perangai tika bersamanya. Namun, apa yang dirisaukan ialah keberadaan Ahmad di rumah kebajikan. Dia risau jika kanak-kanak normal di sana bermain dengan Ahmad sehingga lelah. Minggu lepas saja dia dikejutkan dengan khabar Ahmad sesak nafas.

Aisyah turut fikirkan sesuatu. Gajinya memang tidak cukup bagi mengeluarkan RM50 000 sekali gus. "Mungkin kita boleh jumpa abang saya dan Kak Diana. Dorang ramai kawan yang boleh sebarkan tentang siapa-siapa yang memerlukan bantuan. Awak jangan risau, kita usaha sama-sama."

"Hm." Rasa segan menyucuk diri Salman. Dia menjarakkan minumannya dari Ahmad apabila kanak-kanak itu ingin menyedutnya. "Adik tak boleh minum air batu. Nanti batuk," ujar Salman kepada Ahmad.

"Nanak..." Ahmad sedikit terliur melihat cawan kertas air itu yang berwarna hijau terang. Dia cuba mencapai cawan itu dengan hujung jemarinya.

"Mesti dia dah lama tak keluar jalan-jalan, kan?" Aisyah menyimpulkan senyuman.

"Itu yang mengada." Ceruk leher Ahmad dicuit Salman sehingga kanak-kanak itu terkekek ketawa. "Awak ni boleh minum susu je. Air merepek-repek macam ni tak boleh."

Salman mengeluarkan botol susu dari beg sandangnya. Isi botol itu masih ada separuh kerana tidak dihabiskan Ahmad pagi tadi. "Ni adik punya."

Botol susu bercorak kartun itu dipegang Ahmad dengan kedua-dua belah tangan. Dia ingin berbaring tetapi mereka sedang berada di luar. Maka, kanak-kanak itu hanya menempel pada lengan Salman untuk memudahkan dirinya menikmati susu sejuk itu.

Hubungan akrab Salman dan Ahmad berlalu hari demi hari tak ubah seperti anak dan ayah. Aisyah terhibur setiap kali lelaki itu terpaksa melayan kehendak Ahmad.

" Salman, awak tak pernah terfikir nak kahwin?" Soalan cepumas Aisyah membuatkan lelaki itu berkerut.

"Kenapa awak tanya?" soal Salman kembali.

"Sebab saya ada sesuatu nak beritahu awak." Sesuatu yang sudah lama terpendam di dalam hati.

"Apa?"

"Saya tak tahu bila masa yang sesuai." Dua bulan berlalu sejak Salman dikeluarkan dari hospital. Gadis berselendang itu melihat wajah Ahmad bagi menghilangkan rasa gugupnya.  "Sebenarnya saya nak melamar awak jadi suami saya."

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة Where stories live. Discover now