26| Jawapan (edited)

1.3K 194 34
                                    

Tiga jam yang ditunggu terasa agak lama. Salman berpeluk tubuh di atas kerusi di ruangan menunggu. Mulutnya terkunci untuk bercakap apa-apa kepada Aisyah. Dia menekur ke lantai hospital sambil hati berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

"Ya Allah, aku meminta kepadaMu dengan berkat Nabi Muhammad nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad, aku bertawassul dengan mu kepada Allah supaya Allah kabulkan doaku. Permudahkanlah urusan pembedahan Ahmad di dalam sana. Beri dia kesembuhan yang cepat supaya dia dapat jalani hidup seperti kanak-kanak lain," bisik hati seorang hamba yang mencintai anaknya.

" Encik Salman dan Cik Aisyah," panggil seorang pegawai keselamatan yang menjaga pintu masuk wad unit jagaan rapi.

Mungkin pembedahan telah selesai. Salman dan Aisyah bingkas berdiri dan masuk ke dalam ruangan ICU. Terlalu banyak katil yang ada, mereka tidak tahu yang mana satu ialah Ahmad. Mujur jururawat di situ menunjukkan keberadaan Ahmad di katil yang mana satu.

Terdapat seorang doktor dan beberapa orang jururawat sedang berdiri berdekatan Ahmad. Dia memandang wajah Salman dan Aisyah yang baru tiba di situ dengan senyuman.

Benarlah Ahmad yang terbaring di atas katil. Matanya terkatup rapat seperti keadaan dia sedang tidur. Namun kesan darah masih bersisa di badannya. Salman menguatkan diri ketika itu bagi terus melihat Ahmad yang sedang keletihan. Pada mulut Ahmad ada satu tiub. Wayar lain pula berselirat di atas badannya yang memberitahu tahap oksigen, degupan jantung dan tekanan darah pada skrin monitor yang berdekatan.

Suasana sepi itu diselangi bunyi detikan daripada skrin itu. Terlalu banyak peralatan yang asing di mata Salman di situ. Dia tidak tahu apa fungsinya, yang mana sudah tentu Aisyah arif akan hal-hal itu.

Keadaan Ahmad membuat Salman terkilan di waktu itu. Ahmad yang masih kecil kelihatan terseksa bernafas melalui tiub. Kalau boleh, dia ingin membersihkan tubuh Ahmad sewaktu itu juga. Sisa darah merah menyakiti matanya.

Mereka diminta keluar bagi memberi ruang untuk petugas membersihkan diri Ahmad terlebih dahulu. Waktu melawat yang seterusnya ialah pada jam enam petang hingga jam lapan malam. Di wad ini, penjaga tidak dibenarkan untuk kekal dengan anak sehingga lewat malam. Itu hanya berlaku jika di wad biasa.

Ahmad masih berehat setelah bertarung nyawa. Cukup untuk melihat alunan nafas Ahmad, Salman sudah mampu untuk menenangkan fikiran. Rehatlah, nanti ayah datang lagi.

Salman memandang Ahmad dari jauh sebelum keluar dari kawasan itu. Dia tersenyum nipis kepada Aisyah. Gadis itu masih setia di sisinya setelah apa yang terjadi.

"Saya minta maaf sebab selalu heret awak dalam hal-hal macam ni," ujar Salman. Mereka melangkah ke anak tangga di hujung blok bangunan. Turun satu aras tangga, di situ tersedia surau bagi menunaikan ibadah solat.

"Saya dah anggap Ahmad macam keluarga sendiri," balas Aisyah dengan senyumannya.

Salman mengetap bibir. Dia sentiasa dijerut perasaan bersalah terhadap Aisyah Qomar. Kejamkah dia sebagai seorang lelaki?

"Saya rasa kalau saya hadap benda ni sorang-sorang, saya takkan mampu." Lelaki itu menghela nafas berat. "Terima kasih, Aisyah. Awak dah banyak sangat tolong saya."

Aisyah hanya diam di sisinya. Muak barangkali mendengar ayat Salman. Salman tersenyum nipis. Makin hari, Aisyah semakin cuba menyepikan diri. Dia sedar itu.

"Saya tahu memang akan jadi fitnah kalau kita terus macam ni. Orang-orang dekat masjid tadi pun ada cakap pasal kita. Kawan-kawan doktor awak semua cakap pasal saya, kan?" Kata-kata Salman menghentikan langkah Aisyah.

Aisyah tak mahu menafikan itu. Memang dia dihimpit kata-kata manusia di sekelilingnya. Mereka beranggapan macam-macam kerana mengetahui dia dan Salman tak mempunyai apa-apa hubungan. Aisyah pula sebagai seorang gadis sunti masih mengikuti lelaki itu bagi menguruskan Ahmad.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة Where stories live. Discover now