24| Maaf (edited)

1.2K 198 59
                                    

Terlalu banyak untuk diceritakan hingga masa tidak akan menjadi cukup.

"Jadi mana anak tu?" soal Puan Siti.

"Dia ada dekat rumah kebajikan. Adik masih dalam proses untuk ambil dia jadi anak angkat yang sah. Mak doakanlah adik. Nanti adik boleh bawa dia datang sini jumpa mak dengan ayah," ujar Salman. Dia sedikit teruja untuk membawa Ahmad datang ke rumahnya.

"Baguslah kalau adik nak jaga dia," kata Encik Jauhar.

Zack pula memilih untuk berehat setelah memandu seharian. Badannya lesu dan awal-awal lagi minta diri seusai solat Isyak berjemaah diimamkan Salman sendiri.

Tiga beranak itu bersantai di beranda rumah. Mereka sedang menanti seseorang untuk pulang seperti yang diminta.

Peristiwa lama tak mahu diungkit. Sedikit pun kedua orang tua itu tidak bertanya soal pelajaran Salman yang telah tergendala. Mereka lebih suka melihat anak sendiri dalam keadaan elok begini bahkan jauh lebih baik dari sebelumnya.

Kilauan cahaya lampu kereta yang baru memasuki perkarangan rumah menghentikan percakapan Salman. Dia menundukkan wajah malu terhadap abang sulungnya.

Seorang lelaki yang hampir mencecah 40 tahun keluar dari perut kereta disusuli seorang wanita. Mereka sekeluarga menapak ke beranda rumah lalu bersalaman dengan Puan Siti dan Encik Jauhar. Perut boyot si isteri menangkap perhatian Salman.

Kedengaran derapan tapak kaki kanak-kanak sedang teruja ingin berlabuh di buai yang diduduki Salman. Salman mengangkat wajahnya apabila sedar lelaki tadi telah berdiri di hadapannya.

Dia takut-takut untuk berdiri dan bersalaman dengan lelaki itu. "Along," panggil Salman dengan hormat.

Kekekkan ketawa dari dua orang kanak-kanak yang mungkin berusia tujuh tahun itu menyapa pendengaran Salman. Inikah anak buah baharunya? Dia tersenyum nipis.

"Kenapa adik baru balik?" soal Farhan.

"Adik minta maaf."

"Adik tahu tak berapa lama along cari adik?"

Salman menggeleng dan menekur lantai.

"Pandang along," Farhan menegur Salman akan sikapnya yang tidak pernah berubah sejak dahulu. Suka menundukkan wajah apabila orang sedang bercakap.

Salman terpaksa mengangkat wajah dan menatap abangnya. Mata hitam lelaki itu berkaca melihat raut adik sendiri.

Pelukan hangat yang diberikan Farhan selepas itu memecahkan empangan air mata Salman sekali lagi. Bahu Farhan menjadi tempat Salman meluahkan segala rasa. Dia amat kesal akan perbuatannya membawa Raihan keluar di tengah-tengah malam lapan tahun lalu.

"Along minta maaf," ujar Farhan. Barannya membawa kepada sebuah penyesalan. Dia tak mahu mengulanginya lagi. "Dah, jangan menangis. Dah sembab dah mata asyik menangis hari ni. Ni mesti mak yang buat drama dengan adik." Farhan menumbuk perut adiknya.

Salman tertawa halus. Dia segera mengelap tangisan.

"Mak pula..." geleng Puan Siti.

"Along, dua orang tu siapa?" Salman memaksudkan dua orang kanak-kanak yang sedang ingin bersembang dengan Encik Jauhar. Petah percakapan mereka menghiburkan lelaki tua itu.

"Ayed, Aida... Sini jumpa dengan paksu," Farhan memanggil dua orang anak kembarnya.

Syahid dan Syahida datang kepada ayahnya. Mereka terdongak melihat lelaki asing di sebelah Farhan.

"Siapa ni ayah?" soal Syahid. Dia terkelip-kelip memandang wajah Salman. Begitu juga dengan Syahida.

"Ni adik ayah. Salam dengan paksu," ujar Farhan.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة Where stories live. Discover now