13 | Patah

1.2K 237 36
                                    

Bunyi seruan azan membisik ke gegendang telinganya. Dia membuka mata sedikit luas lalu cahaya lampu menerjah ke retina mata. Dipencilkan mata itu dek silau lampu. Benda pertama yang terlihat di kaca matanya adalah wajah Ahmad yang terleka meminum susu dari botol di sebelahnya. Dia pun sedikit berkerut dan meluaskan lagi penglihatan.

Dilihat betul-betul susuk tubuh kanak-kanak itu. Pudarlah bayangannya lalu Salman melilaukan mata ke sekeliling. Dia sendirian di atas katil bercadar putih itu.

Kiri dan kanannya hanyalah langsir hijau lembut yang memisahkan antara ruangan itu dan ruangan yang lain. Salman mengangkat pula lengan kirinya yang telah pun tercucuk branula. Rasa kebas masih bersisa. Lengannya tak mampu bergerak terlalu banyak.

"Awak dah sedar?" soal Aisyah yang baru tiba.

Kening Salman berkerut sedikit. "Saya dekat mana ni?" Suaranya perlahan saja menyoal. Nyata tenaganya masih tak kuat.

"Awak dekat hospital."

"Hospital?" Salman inginkan kepastian.

"Ya. Lepas saya hantar Ahmad tadi, terus saya bawa awak ke hospital," terang Aisyah. Dia merapati katil Salman. Wajah pucat itu ditatapnya.

"Saya sakit ke?"

"Awak demam. Paras hemoglobin awak pun agak rendah. Jadi... Awak rehatlah dulu dekat sini. Nanti kalau dah sihat sikit, boleh discharge. " Senyum gadis itu.

"Tak lama, kan?" Salman sedikit khuatir jika terpaksa lama-lama di sini.

"InsyaAllah, tak. Awak rehatlah. Nak minum air?" Aisyah membuka botol air mineral 500ml yang baru dibelinya tadi.

Jujur, Salman berasa kekok. Dia sedang terbaring begini, doktor itu pula sedang berdiri berdekatan katilnya. Perlahan-lahan dia cuba untuk duduk bersila.

Bibirnya yang kering itu mula dibasahi air. Terasa sejuk alirannya menyegarkan anak tekak.

"Awak sarapan tak tadi?" Berdasarkan bacaan gula dalam darah Salman, Aisyah menebak bahawa lelaki itu belum menyantap apa-apa. Kerusi berdekatan ditarik lalu dia berlabuh di situ.

"Tak," geleng Salman. Botol air itu dihulurkan kembali kepada Aisyah. Ekor matanya sempat menangkap sesuatu yang dibawa Aisyah.

"Saya sempat pergi kedai tadi. Kalau awak tak lalu nak makan makanan hospital, awak makanlah roti ni. Nanti lepas ni saya nak balik rumah dah."

Kenapa?

Kenapa dia terlalu baik.

"Aisyah. " panggil Salman.

"Ya? " Gadis itu sedikit segan apabila mendengar namanya dipanggil.

"Mana phone saya? "

"Lupa nak bagi. Saya takut ada orang curi tadi sebab tu saya ambil." Aisyah tersipu malu lalu menyelongkar tas tangannya. Dia meletakkan jinjingan plastik tadi ke birai katil untuk memudahkan pencarian.

Salman mengambil plastik itu dan melihat isinnya. Ada dua biji roti berkrim coklat yang  mungkin mampu menaikkan selera anak tekaknya. Sekarang ini dia risaukan kalau-kalau ada panggilan yang tak berjawab dari Zack atau Farah Ain.

Tika telefon pintar dihidupkan, hampa tiada satu pun panggilan masuk dari simkad personalnya.

"Kalau takde apa-apa, saya nak balik," pamit Aisyah sopan. Dia bimbang untuk lama-lama berduaan dengan lelaki bukan mahram itu.

"Hati-hati."

Gadis itu membalas dengan senyam nipis lalu beransur pergi.

Salman menggenggam telefon pintar itu. Jarinya membuka peti perbualan bersama-sama Farah Ain. Mesej terakhir yang dibalas adalah dua hari yang lalu. Mesej-mesej selepas itu langsung diabaikan, Salman berasa tersisih dengan perbuatan gadis itu.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ ✓[C] | هجرة Where stories live. Discover now