BAB 37

2.3K 246 14
                                    


HANNAH tersedar daripada lena yang panjang. Kepalanya berdenyut-denyut sakit. Mata perlahan-lahan cuba dibuka namun pandangannya menjadi samar-samar. Dikerdip mata beberapa kali agar pandangannya kembali seperti biasa. Pandangan diliarkan ke seluruh bilik kerana bingung tentang di manakah keberadaannya.

"Hannah," panggil seseorang.

Hannah memalingkan mukanya ke sebelah, terbiasa raut wajah Rayyan yang kerisauan.

"Awak di hospital sekarang," terang Rayyan. Dia telah memanggil doktor apabila Hannah sedar.

"Hospital?" Hannah memaksa dirinya untuk mengingati apa yang berlaku dan apabila dia mula sedar yang dia terlibat dalam kemalangan, dia serasa ingin menjerit.

"Daddy mana daddy? Daddy mana? Daddy... daddy..." Seakan dirasuk, Hannah memanggil-manggil daddynya.

"Rayyan!" Hujung baju Rayyan ditarik-tarik Hannah.

Rayyan memandang Hannah dengan pandangan yang penuh simpati namun kepalanya digeleng lambat-lambat.

"Rayyannnnn! Daddy manaaa??? Rayyannn??? Jawablahhhh..." Hannah terjerit-jerit seperti orang hilang akal. Air mata turun mencurah-curah. Ingatannya kembali ke hari kejadian di mana dia dan Tengku Akbar terlibat dalam kemalangan. Mana daddy? Dia ingin peluk daddy. Dia ingin meminta maaf kepada daddy dan mengatakan bahawa dia sangat sayang kepada bapanya itu.

"Doktor," panggil Rayyan sebaik sahaja kelibat doktor kelihatan. Dia risaukan Hannah. Dia tahu Hannah baru sahaja sedar dan emosinya belum stabil.

"Mana daddy?"

"Mana daddy?"

Doktor Amin menghampiri Hannah. Dia meronta-ronta. Beberapa orang jururawat terpaksa memegang Hannah sebelum sesuatu disuntik ke tubuhnya lalu Hannah kembali tidak sedarkan diri.

Sudah tiga hari Hannah koma dan tidak sedarkan diri. Tengku Akbar pula meninggal di tempat kejadian tanpa dapat diselamatkan. Dan sepanjang Hannah berada di hospital, Rayyan tetap setia menjaga Hannah meskipun dia tahu Hannah pasti benci melihat wajahnya saat matanya dibuka. Fateh telah dijaga oleh bonda dan adik perempuannya.

***

"Jom makan," Rayyan duduk di birai katil. Pintu bilik dibiarkan terbuka luas. Hannah kini tinggal di rumahnya dan dia menjaga Hannah dengan penuh rapi. Kaki Hannah patah dan itu menyukarkan dia untuk berjalan ke sana ke mari. Sudah seminggu dia keluar daripada hospital namun dia langsung tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Dengan Fateh pun dia tidak mahu bercakap walaupun sepatah. Seminggu lagi mereka berdua akan bernikah namun sedikit pun Hannah tidak mahu ambil tahu tentang persiapan majlis mereka. Jadi dia memutuskan untuk membuat majlis pernikahan iaitu acara wajib terlebih dahulu. Tunggulah sehingga Hannah betul-betul sembuh barulah nanti aku dilangsungkan majlis sanding.

"Hannah, bangun makan ya." Rayyan setia memujuk meskipun Hannah masih lagi baring di atas katil sambil memandang siling tanpa bergerak walau sedikit pun.

"Hannah," panggil Rayyan dengan lembut tetapi Hannah masih enggan memberikan sebarang reaksi.

"Awak, saya masak untuk awak ini. Bukan ke awak suka spaghetti yang saya buat?" Teringat kejadian sewaktu pertama kali Hannah menjejakkan kaki ke rumah keluarganya dan dia pula pertama kali masakkan untuk Hannah. Hannah begitu gembira sekali sewaktu itu apabila dapat merasai masakan Rayyan. Tanpa sedar, seulas bibir Rayyan mengukir senyum tipis.

"Sini saya suapkan awak," kata Rayyan sebelum sudu disuakan betul-betul di hadapan Hannah.

Hannah menggelengkan kepalanya.

"Betul tak mahu?" tanya Rayyan lagi tetapi Hannah beku tiada reaksi.

"Satu suap saja, boleh? Awak kena sihat Hannah. Fateh nak tengok awak sihat. Saya pun nak tengok awak sihat. Sini saya suap awak,"

Hannah memandang Rayyan tanpa riak tetapi matanya berkaca. Dia tahu Hannah benar-benar terkesan dengan apa yang berlaku.

"Hannah kalau kita dah halal, lama dah saya peluk awak tau. Saya minta maaf. Awak kena kuat ya, my lady. Saya akan sentiasa ada dengan awak. Jika awak perlukan apa-apa, beritahu saja saya," kata Rayyan lalu dia mengukir senyum buat wanita yang sangat dicintainya itu.

Setitis air mata gugur di pipi Hannah. Tisu di meja sebelah katil dicapai lalu digunakan untuk mengelap air mata Hannah namun dia elakkan daripada bersentuhan. Batas masih perlu dijaga kerana mereka tiada apa-apa ikatan halal.

"Don't cry, my lady. I am here for you." kata-kata romantis itu keluar dari mulut Rayyan.

"Saya nak cakap sesuatu dengan awak. Saya bercadang untuk meneruskan majlis pernikahan kita seperti mana yang dirancang awal-awal dahulu. Saya harap awak bersetuju dengan perancangan saya. Saya janji akan jaga awak dan Fateh dengan sebaik mungkin. Saya tak akan sia-siakan anugerah yang Allah beri kepada saya. Saya harap sangat awak maafkan saya dan beri saya peluang untuk tebus balik kesalahan saya kepada awak, Hannah. Saya betul-betul ikhlas hendak memperisterikan awak. Beri saya peluang dan saya tak akan sia-siakan peluang itu, Hannah. Insya-Allah majlis kita akan berlangsung pada Sabtu minggu hadapan tetapi sekadar majlis ringkas sahaja. Selepas awak betul-betul sembuh, kita akan buat majlis sanding," kata Rayyan panjang lebar. Jauh di sudut hatinya, dia berharap sangat agar Hannah bersetuju untuk mengikut perancangan awal yang mereka telah rancang.

Hannah menangis lagi. Sepanjang seminggu ini, dia diam sahaja kerana masih bersedih dengan kejadian yang menimpa. Dia tidak sangka Allah menarik nyawa Tengku Akbar tanpa sempat dia meminta maaf kepada daddy dia. Dia sangat menyesal kerana dia ego dan pentingkan diri.

"Kalau awak tak setuju, awak beritahu saya. Saya tak akan paksa awak untuk terima perkahwinan ini jika awak tidak mahu." Rayyan memaksa dirinya untuk mengukir senyum. Sukar untuk dia tebak hati Hannah, masihkah wanita itu mahu menerimanya dalam hidup dia?

"Saya pergi dulu. Awak jangan lupa makan ya." Rayyan bangkit daripada duduk lalu dia meletakkan dulang yang berisi makanan di atas meja di sebelah katil.

"Makan tau! Saya nak bakal isteri saya ni sihat seperti biasa. Apa-apa telefon sahaja saya." Rayyan mengenyitkan sebelah matanya sebelum dia beredar dari bilik Hannah.

Hannah meletakkan tangan di dadanya dan senyuman terukir di wajahnya tanpa sedar. Jantungnya masih berdegup kencang apabila Rayyan berada di sisinya. Berkahwin dengan Rayyan? Teringat kata-kata daddy sebelum daddy meninggalkan dia buat selama-lamanya.

"Daddy nak anak daddy bahagia. Sepanjang Rayyan kenal daddy, daddy nampak dia betul-betul ikhlas dengan adik. Tak pernah sekali pun dia mengeluh. Sebab dia pilih untuk jadi bodyguard adik, adik kena tanya dia sendiri. Tetapi dia tidak kisah langsung tentang bayaran mahupun gaji dia. Kalau diikutkan, gaji yang daddy bagi apalah sangat jika nak dibandingkan dengan harta yang dia ada. Dia betul-betul ikhlas sayangkan adik."

"Daddy," panggil Hannah perlahan sebelum air matanya turun dengan lebat. Ya Allah, dia rindukan daddy!


Kak Fi dah update bab baru untuk Misi Memikat Tuan Syed. Pergi serbu cepat! ^^

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now