BAB 6

4.2K 356 5
                                    

HANNAH berjalan dari bilik guru ke kelas dengan malasnya. Langkahnya amat perlahan. Hari ini merupakan hari Isnin. Monday blues... Bukan pelajar je rasa benda tu, cikgu pun rasa benda yang sama tahu.

Sedang dia memerhatikan sekeliling, matanya terarah ke arah sekumpulan pelajar yang sedang bermain bola sepak. Mereka kelihatan begitu seronok apabila tiba waktu Pendidikan Jasmani & Kesihatan.

Dalam keasyikan memerhatikan mereka bermain, perhatian Hannah tertumpu ke arah seorang murid yang kelihatan begitu pasif. Setelah diamati, gerangannya merupakan Muhammad Naufal.

Pelajar lelaki yang lain ligat bermain bola, namun berbeza sungguh dengan Naufal. Dia hanya berdiri sahaja sambil memerhatikan rakan-rakannya bermain. Apabila rakannya menghantar bola kepadanya, dia cuba untuk menyepak, namun sepakannya tersasar. Perkara itu terjadi beberapa kali. Ada kalanya Naufal terjatuh apabila dia berusaha untuk menyepak bola. Sehingga akhirnya rakan-rakannya mentertawakan Naufal kerana tidak tahu menyepak bola.

Mereka mula mengejeknya dan melemparkan macam-macam panggilan kepadanya.

Hannah berasa kasihan terhadap Naufal. Melihat muka Naufal yang seakan-akan ingin menangis, perasaan belasnya membuak-buak.

'Aih, budak-budak ni. Makin dibiar, makin menjadi-jadi.' Getus hati kecil Hannah.

Baru sahaja ingin melangkah ke arah sekumpulan pelajar tersebut, Hannah melihat guru PJPK kelas mereka iatu Cikgu Haziq menghampiri lalu menghentikan tindakan rakan-rakan Naufal yang mentertawakannya.

Hannah melihat jam di tangan, lalu mengambil keputusan untuk meneruskan langkahnya untuk ke kelas yang terhenti dek kerana kejadian yang baru sahaja dilihatnya tadi.

KOMPUTER RIBA dihadapannya dipandang kosong. Bilik bacaan rumahnya itu sunyi. Fateh awal-awal lagi sudah tidur. Fikirannya menerawang jauh. Akhirnya tangannya mula menaip sesuatu di papan kekunci. 'Dyslexia. Butang carian Google ditekan. Maka, keluarlah segala laman sesawang yang mempunyai informasi berkaitan.

'Dyslexia adalah gangguan belajar yang menyebabkan kesulitan membaca, menulis, dan mengeja'. Sumber bacaanya adalah Wikipedia.

Kebiasaan dalam masyarakat, mereka yang mempunyai dyslexia mempunyai kesukaran untuk membaca. Pada hakikatnya, dyslexia bukan sekadar tulisan terbalik, contohnya tertukar huruf b/d, u/n, p/q, m/w. Itu merupakan simptom utama, namun masih banyak lagi ciri-ciri yang ada pada mereka yang menunjukkan seseorang itu mempunyai dyslexia.

Hannah tekun membaca satu demi satu baris ayat. Dia sangat berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penyakit ini.

Antara simptom umum dyslexia adalah tersalah pakai kasut, cuai di dalam pergerakan "clumsy" dan mudah jatuh, menghadapi masalah untuk melompat (hop & skip), menghadapi masalah untuk menangkap, membaling dan menendang bola, tulisan tangan yang tidak kemas, tidak boleh menyalin daripada papan putih / papan hitam dengan betul, berasa mudah penat kerana menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi tetapi membuahkan hasil yang sedikit. Oleh yang demikian kanak-kanak mungkin akan mengelat apabila tiba masa untuk belajar.

Dan banyak lagi ciri-ciri yang disebutkan.

Fikiran Hannah terimbau peristiwa yang berlaku yang melibatkan Naufal. Naufal yang memakai kasut terbalik. Naufal yang sering mengelamun dan langsung tidak menumpukan perhatian pada apa yang berlaku di sekeliling. Naufal yang memanggil Hannah dengan panggilan Hauuah. Naufal yang tidak tahu bermain bola dan sering terjatuh apabila bersukan.

Terdapat banyak ciri-ciri yang disebutkan yang ada pada diri Naufal.

Hannah menggosok belakang lehernya yang berasa lenguh kerana sedari tadi dia menghadap komputer riba.

Di akhir pembacaan, sekiranya ibu bapa atau guru telah mengenal pasti seorang kanak-kanak itu mempunyai ciri-ciri dyslexia, mereka bolehlah pergi berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan untuk membuat penilaian dan seterusnya akan mendapat surat rujukan hospital ke doktor pakar kanak-kanak atau pakar perkembangan kanak-kanak.

Hannah mengangguk-anggukkan kepalanya. Jadi, tindakan selanjutnya adalah untuk mengenal pasti sama ada Naufal mempunyai dyslexia atau pun tidak.

Naufal mungkin mempunyai ciri-ciri tersebut, namun dia bukanlah orang yang pakar untuk menentukan sama ada Naufal mempunyai sesuatu penyakit atau tidak. Dia bukanlah doktor yang boleh mengeluarkan diagnosis sesuka hati hanya melalui pembacaan dan penelitian mata kasarnya.

Hannah bertekad. Seandainya betul anak muridnya itu mempunyai dyslexia, dia akan cuba bantu Naufal untuk belajar seperti murid-murid lain. Dia ingin mencungkil bakat yang ada dalam diri Naufal supaya dia tidak berasa terpinggir kerana kelemahan yang ada pada dirinya. Dia juga akan pastikan bahawa Naufal juga mampu capai kejayaan dan menjadi kebanggaan ibu bapanya.

Itu janji Hannah.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now