BAB 16

3.5K 338 34
                                    

HARI INI Fateh dibenarkan discaj dari hospital. Barang-barang sudah siap dikemas semuanya.  Hampir seminggu lebih mereka berada di hospital. Dialah yang menjaga Fateh pada setiap saat dan detik. Tiada sedikit keluhan pun yang keluar dari bibirnya. Apa sahaja dia sanggup buat demi anaknya yang tercinta meskipun bukan anak kandungnya tetapi mereka masih mempunyai pertalian darah. Anak saudara dan mak saudara. Fateh masih belum tahu lagi perihal itu. Apabila Fateh sudah besar sikit barulah dia bercadang untuk berterus terang kepadanya. Baginya masih terlalu awal untuk Fateh tahu mengenai perkara sebenar.

Seorang ibu tak akan pernah membiarkan anak dia sakit hatta digigit nyamuk sekali pun. Seorang ibu juga mampu menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Betapa besarnya pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu. Sebab itulah Allah sangat memuliakan seorang ibu di mana syurga berada di bawah telapak kaki seorang ibu. Perasaan dan kebajikan mereka perlu dijaga. Jika berkata 'ah' sekali pun, itu sudah dikira suatu dosa. Apatah lagi jika melawan cakap, meninggikan suara serta melakukan perbuatan yang boleh menconteng arang ke muka mereka.

"Mama, papa mana?" Soal Fateh apabila Hannah sedang khusyuk menyikat rambutnya. Rambutnya yang lurus berwarna hitam pekat disikat ke tepi dan Fateh didandan dengan kemas. Handsome boy mama keluar hospital hari ini. Mama nya pula yang terlebih teruja.

"Mama pun tak pasti lah sayang." Jawab Hannah. Dipakaikan bedak di muka Fateh lalu dicium pipi anaknya itu. Geram! Jika diikutkan hati, mahu dicubit-cubitnya pipi gebu Fateh. Dia tidak memberitahu Rayyan langsung bahawa Fateh akan discaj dari hospital hari ini. Jadi, dia merancang untuk naik grab sahaja balik nanti. Keretanya pula ditinggalkan di rumah. Dia sudah banyak kali menyusahkan Rayyan. Cukup-cukuplah dengan kebaikan yang telah Rayyan buat. Serba salah untuk dia terima lagi sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung. Kawan? Rayyan anggap dia kawan ke? Entah, dia pun tidak tahu.

"Mama, kenapa papa tak duduk sekali dengan kita? Mak ayah kawan-kawan Fateh semua tinggal sekali. Kenapa mama dengan papa tak buat macam tu?" Sekian lama soalan itu disimpannya, akhirnya terluah juga.

Hannah terpempan. Dia mati akal hendak menjawab soalan Fateh. Ringkas namun cukup mendalam. Kadang-kadang dia rasa serba salah kerana Fateh perlu melalui semua ini sejak dari kecil.

"Papa kan bukan ayah Fateh yang sebenar. Mama dengan papa tak kahwin, jadi mana boleh tinggal sekali." Hannah berterus terang. Risau jika dia pusing sana sini, sekejap lagi dia juga pening nak menjawab.

"Kalau macam tu, mama kahwin lah dengan papa." Selamba sahaja Fateh menutur kata tanpa sedar apa yang dicakapkan itu membuatkan Hannah terdiam seribu bahasa.

"Assalamualaikum." Suara garau seorang lelaki menerjah gegendang telinga, mematikan perbualan mereka berdua.

"Waalaikumussalam." Serentak Hannah dan Fateh menjawab salam lalu menoleh ke arah pintu. Mr.Black pujaan hati! Merenyam punya Hannah. Sudah lah bertepuk sebelah tangan. Terang-terangan lelaki kacak dan baik seperti Syed Rayyan Danial sudah dimiliki orang yang sepadan dengannya. Siapalah Hannah jika hendak dibandingkan dengan lelaki itu. Bagai burung pipit sama enggang, mana boleh sama terbang.

Fateh turun dari katil dan berlari dengan pantas ke arah Rayyan lalu dipeluknya kaki Rayyan dengan erat. "Papa! Fateh rindu!"

"Jalan elok-elok. Awak tu baru je sihat." Hannah memberi amaran. Kemain excited jumpa papa nya. Alahai anakku.

"Papa pun rindu Fateh juga." Rayyan menundukkan badannya supaya dia dan Fateh berada di paras yang sama. Diciumnya pipi gebu Fateh bagi melepaskan rindu yang menggebu padahal baru semalam jumpa.

"Papa, Fateh dah sihat. Fateh dah boleh balik rumah." Lancar sahaja tuturnya.

"Ya, papa tahu. Sebab itu papa datang nak bawa Fateh balik." Diikutkan sahaja rentak seorang Fateh.

HER GUARDIAN ANGELWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu