BAB 20

3.9K 326 69
                                    

PADA HARI MINGGU, Hannah dan Fateh melepak dengan santai di hadapan televisyen di ruang ramu rumahnya. Dia sudah pun menyelesaikan segala tugasan rumah. Basuh dan lipat baju, kemas rumah, masak dan juga basuh kereta. Waktu hari minggu sahajalah dia mempunyai masa lapang untuk menyelesaikan semua tugsan tersebut. Rancangan TV menayangkan cerita Ejen Ali The Movie. Hannah menguap beberapa kali kerana bosan. Sudah berulang kali cerita itu ditayang tetapi Fateh masih tidak jemu melihat telatah Ali dan rakan-rakannya. Bisalah, cerita kartun seperti itu umumnya menjadi tontonan kanak-kanak. Lainlah jika disiarkan cerita 7 Hari Mencintaiku atau drama korea seperti Crash Landing On you atau Descendants of The Sun, sudah pasti matanya menjadi segar bugar, manakala Fateh pula menjadi yang sebaliknya. Mengantuk dan layu seperti dirinya saat ini.

Seketika, Hannah terdengar satu esakan kecil, sayup-sayup di telinganya. Dilihat Fateh di sebelah mengelap air mata yang dengan hujung baju berwarna hijau pucuk muda miliknya.

"La, kenapa anak mama ni menangis?" Dia naik pelik. Tadi elok sahaja bergelak ketawa. Entah apa yang menggeletek hati, dia pun tidak tahu.

"Mak Ali... Dah mati... Dia tak dapat jumpa mak dia lagi dah..." Fateh berusaha menerangkan walaupun dalam kepayahan.

"Shhh... shhh..." Dia memujuk lembut bagi meredakan tangis anaknya. Setelah itu, Hannah memeluk erat bahu Fateh yang berada di sebelahnya lantas mengusap perlahan-lahan. Matanya mula terarah ke TV. Scene di mana Ali mimpikan mak dia. Jika data emak Ali dipadamkan dalam sistem Iris, Ali dapat mengawal sendiri kuasa overide mode, namun dia tidak lagi dapat berjumpa dengan emaknya walaupun dalam dimensi lain.

Pada pendapatnya, dalam banyak-banyak babak, babak inilah yang sedih dan amat menyentuh hati.
Babak yang paling kelakar dan membuatkan dia betul-betul terhibur apabila Ali, Alicia dan Uncle Bakar berada di restoran mamak. Kemudian, pekerja-pekerja di situ menyanyikan lagu "Mamak laju, servis laju" untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada melihat mereka bertiga yang dibawa ke pejabat MATA melalui satu terowong rahsia.

Sedang Hannah ralit mengulas filem tersebut, loceng rumahnya berbunyi.

"Sekejap." Jerit Hannah dari dalam lalu segera mencapai tudung sarung dan juga cardigan.

Saat pintu rumah dibuka, dia terpempan. Dipegang kejap pintu rumahnya bagi mendapatkan sokongan apabila merasakan tubuhnya seakan-akan ringan dan hampir tumbang. Kakinya seolah-olah tidak jejak ke lantai.

"Assalamualaikum." Sapa lelaki yang mempunyai wajah persis Hannah.

Tengku Akbar. Lelaki yang segak dalam pakaian korporatnya berdiri di hadapan pintu rumahnya kini. Seorang pengarah di sebuah hospital yang disegani dan disanjungi ramai mencemar duli melawat rumahnya yang kecil ini jika hendak dibandingkan dengan villa mewahnya yang berdiri gah.

"Waalaikumussalam." Lambat-lambat, bibirnya begerak menjawab salam.

Rasa terkejut masih belum hilang. Hampir 4 tahun tidak bersua muka, wajahnya masih seperti yang sama seperti sebelumnya. Cuma garis kedut semakin bertambah dengan lanjutnya usia. 4 tahun wajah ini cuba dilupakan, namun tidak sedikit pun luput dari ingatan wajah seorang lelaki yang membela dan menatangnya bagai minyak yang penuh sedari kecil.

"Tengku Hannah Medina Binti Tengku Akbar. Anak daddy..." Matanya terasa kabur saat menutur ayat tersebut.

Mata mereka bersabung. Pegangan tangan Hannah pada pintu tersebut semakin erat. "Stop it." Kalau boleh dia tidak mahu apa-apa perkataan keluar dari bibir itu. Parut luka yang telah lama terpahat di hatinya seolah-olah berdarah semula. Nafas menjadi tidak teratur. Perasaan berkecamuk. Marah, geram, sedih dan kecewa bercampur dan seolah-olah menjadi satu. Menjadikan dadanya bertambah sesak.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now