BAB 23

3K 303 27
                                    

MID VALLEY MEGAMALL, seawal pagi lagi Hannah dan Fateh sudah tiba di pusat beli belah tersebut bagi memenuhi masa lapang pada hujung minggu. Rancangan mereka adalah untuk membeli-belah pakaian kerana sudah lama juga Hannah tidak membeli sebarang pakaian baharu untuk dirinya dan juga Fateh. Selain itu, Fateh juga sudah menyatakan hasratnya untuk menambah koleksi buku di rumah.

Masih awal pagi, jadi masih belum ramai orang lagi meskipun pada hujung minggu. Mereka berjalan menuju ke medan selera untuk mencari tempat duduk. Tangan Fateh dipimpin erat bagai tidak mahu lepas. Risau jika hilang anak kesayangannya itu.

"Kita tunggu papa di sini ya, sayang." Ujar Hannah sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung lalu disambut dengan anggukan oleh Fateh. Hannah mengeluarkan telefon bimbit daripada beg tangan jenama Bonia miliknya. Satu pesanan ringkas ditaip lalu dihantar kepada Rayyan.

Hannah: Awak, saya dah sampai dekat mall. Kami tunggu di foodcourt.

Mr. Black: Okay noted. Aku tengah cari tempat parking.

Hannah: Alright, see you soon.

Hannah mengajak Rayyan untuk bersama-sama pergi ke Mid Valley pada hari ini dan lelaki itu juga telah bersetuju. Pada awalnya, dia merancang untuk meluangkan masa dengan Fateh sahaja. Namun seperti biasa Fateh mahukan keluarganya lengkap, jadi dia menyuruh Hannah mengajak Rayyan. Lagipun hampir seminggu mereka tidak berjumpa. Pasti Fateh rindu kepada Rayyan, Hannah juga turut merasai perasaan yang sama. Jika diikutkan hati, mahu sahaja wajah Rayyan ditatap hari-hari. Sejak Rayyan muncul dalam hidupnya, hari-harinya menjadi semakin indah. Mereka juga menjadi semakin rapat dari hari ke hari. Rayyan juga tidak lagi dingin jika hendak dibandingkan sewaktu awal-awal mereka kenal dahulu. Namun, hubungan mereka terhenti setakat itu sahaja, mungkin hanya sekadar kawan. Tiada yang berani mengungkapkan cinta mahupun meluahkan rasa. Hannah hanya memendam perasaannya sendiri kerana tidak mahu menjadi ibarat perigi mencari timba dan risau andai dia sekadar bertepuk sebelah tangan sahaja. Kata Rayyan, dia tidak mempunyai teman wanita namun dia juga tidak menunjukkan sebarang minat kepada Hannah kecuali dengan menghantar hadiah kepadanya. Bagi Hannah, mereka menjadi rapat pun disebabkan oleh Fateh yang menganggap Hannah sebagai ibu kandungnya manakala Rayyan pula sebagai bapa kandungnya.

"Ma, papa lama lagi ke?" Fateh menyoal lalu menyentakkan Hannah daripada lamunan panjang.

"Papa tengah cari tempat parking kereta. Kita tunggu sekejap ya." Kepala Fateh diusap lembut.

"Okay mama." Mereka berbalas senyum.

"Ma..."

"Ya, sayang..." Sahut Hannah.

"Nanti Fateh nak makan sushi king boleh tak, ma? Dah lama kita tak makan di sana." Amboi, demand betul anak dia ni! Hannah mula tahu sushi tu apa pun waktu tingkatan berapa entah. Itu pun mula-mula tak boleh nak telan, tapi lama kelamaan tekak dah boleh terima dan sudah reti belajar untuk makan berbagai-bagai jenis juadah makanan. Sebab dulu dia hanya makan masakan daripada air tangan arwah mamanya sahaja. Masakan orang lain langsung tidak mahu disentuh. Maklumlah, tangan mamanya seperti mempunyai kuasa magis, masaklah segala jenis juadah, campak-campak atau tengok resepi, hasilnya pasti mengiurkan dan amat menyelerakan. Sebab itulah papanya sangat sayang akan arwah mamanya dahulu.

Mengenangkan keluarga sendiri, jiwa Hannah dihimpit rasa hiba. Teringat akan arwah kakak dan mama, serta merta air matanya bergenang. Apabila papanya tidak mengaku dirinya sebagai anak 4 tahun dahulu selepas kematian kedua-dua orang ahli keluarganya yang lain, dia hidup sebatang kara.

Tanpa sedar, keluhan berat terlepas dari bibir mungilnya.

"Assalamualaikum, cik adik. Kenapa mengeluh ni?" Suara garau seorang lelaki yang tidak asing lagi bagi Hannah menerjah gegendang telinga.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now