BAB 10

3.6K 356 33
                                    

Ketukan di pintu bertalu-talu diselang seli dengan suara garau seorang lelaki memberi salam. Hannah mempercepatkan langkah ke pintu utama namun masih berhati-hati. Dia membuka pintu utama, setelah melihat kelibat Rayyan, pagar rumah segera dibuka lalu Rayyan dibenarkan masuk. Bauan wood dan earth milik Rayyan memenuhi segenap ruang rumah.

"Mana Fateh?" Soal Rayyan cemas. Mata helangnya menikam anak mata Hannah meminta jawapan.

"Dalam bilik." Jawab Hannah sambil tangannya mengunjukkan ke sebuah bilik.

Rayyan segera memasuki bilik tersebut lalu mendukung Fateh yang sedang lena di atas. Dia segera berjalan ke pintu utama.

"Bawa barang-barang Fateh, kita bawa dia ke hospital." Gesa Rayyan memberi arahan. Wajahnya kekal serius tidak beriak.

Beg yang diletakkan di tepi sedari tadi segera dicapai. Dia sudah siapkan barang-barang keperluan Fateh sementara menunggu Rayyan datang. Dia juga sudah lengkap berpakaian dan memakai tudung.

Cepat sahaja langkah Rayyan berjalan meninggalkan dirinya. Seakan-akan dia terlupa keadaan Hannah. Hannah pula terkial-kial mengunci pintu rumah sambil membawa barang-barang keperluan Fateh.

Rayyan yang sudah berjalan jauh di hadapan terhenti langkahnya. Dia berpaling ke belakang, sungguh terlupa pada Hannah. Dia terus sahaja memberhentikan langkahnya, menunggu Hannah menapak perlahan-lahan ke arahnya.

"Boleh jalan?" Soal Rayyan prihatin apabila Hannah semakin mendekat.

"Boleh." Jawab Hannah sambil menganggukkan kepalanya.

"Perlahan-lahan." Pesan Rayyan. Dia mengambil beg yang penuh dengan barang keperluan Fateh lalu menjinjingnya di tangan kiri, manakala tangan kanannya masih mendukung Fateh. Mereka berbalas senyum. Bertambah manis apabila muncul lesung pipit yang dalam di kedua-dua belah pipi Rayyan. Adrenalina menghentam pebuluh darah Hannah. Berdegup hebat jantungnya ketika ini. Jarang sekali lesung pipit itu muncul di wajah beku milik Mr. Black.

Lalu, mereka berjalan beriringan menuju ke tempat parkir kereta.



JAM menunjukkan hampir pukul 2 pagi, mereka terus ke unit kecemasan di hospital. Namun, ramai orang masih menunggu di situ. Semua klinik sudah tutup saat hari sudah larut malam. Banyak lagi kes kecemasan dan ramai juga yang sudah menunggu berjam-jam lamanya, jadi mereka perlu menunggu giliran masing-masing kerana semua orang yang datang ke unit kecemasan disebabkan oleh sakit yang memerlukan rawatan segera. Mereka duduk bersebelahan di ruang menunggu. Fateh duduk di pangkuan Rayyan. Dia sudah sedarkan diri, cuma badannya menjadi begitu lemah. Hendak bercakap pun tidak berdaya.

"Kau ada bawa sapu tangan?" Soal Rayyan, memecah kesunyian yang wujud di antara mereka.

Hannah menganggukkan kepalanya lantas tangan kanannya mencapai beg sandang yang dibawa sekali. Sapu tangan dikeluarkan lalu dihulur ke arah lelaki di sebelahnya itu.

"Tunggu sini." Rayyan bangun, lalu Fateh diletakkan perlahan-lahan ke atas kerusi yang didudukinya itu. Dia berlalu pergi.

Hannah dibiarkan seorang diri. Dia sudah biasa dengan sikap Rayyan begitu. Seakan-akan ada batu yang berat dalam mulutnya, susah benar hendak bercakap.

Beberapa minit kemudian, Rayyan kembali. Fateh diletakkan semula ke pangkuannya. Hannah hanya memerhatikan satu demi satu kelakuan Rayyan. Sapu tangan yang diberikan tadi sudah dibasahkan. Dia lantas mengelap badan Rayyan dengan sapu tangan itu. Kemudian dia ke tandas semula untuk membasahkan sapu tangan tersebut beberapa kali. Dan akhirnya, sapu tangan itu diletakkan di dahi Rayyan.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now