BAB 51

2.8K 229 16
                                    

"AWAK nak pergi mana?" Hannah lihat Rayyan mengemas baju-bajunya dan memasukkan ke dalam luggage. Sedari pulang dari pejabat tadi, Rayyan langsung tidak menegur Hannah seperti kebiasaan.

Langkah diatur menuju ke Rayyan yang sedang bersila di atas lantai sambil mengemas pakaiannya. Hannah membaringkan tubuhnya lalu melabuhkan kepalanya ke atas paha Rayyan.

Dingin.

"Awak nak tinggalkan saya ke? Macam mana arwah mummy, daddy dan kakak tinggalkan saya dulu?" Kolam mata mula memberat dan semakin hangat.

"Abang ada kerja sikit," balas Rayyan senada.

"Boleh saya ikut abang? Tempat isteri, kan di sisi suaminya." Pandai pula Hannah berkata-kata. Yang dia marah dan tuduh Rayyan macam-macam, tak apa pula?

"Kemaslah baju. Esok pagi kita bertolak." Dalam marah-marah Rayyan, dia masih rindu dan sayangkan isterinya. Mereka tidak pernah berjauhan.

"Okey, abang. Terima kasih." Hannah bangun dari pembaringan lantas dikucup pipi Rayyan sekilas.

Terlepas keluhan kecil dari bibir Rayyan. Dia tidak marahkan Hannah, Cuma dia agak kecewa kerana Hannah langsung tidak percayakan dirinya. Bagaimana sesebuah perkahwinan itu mampu bertahan jika tiada kepercayaan antara suami dan isteri?



PENERBANGAN ke kota London memakan masa hampir 18 jam. Puas ditanya kepada Rayyan ke mana mereka akan pergi, tetapi sepatah kata pun tidak keluar dari mulut suaminya itu. Hannah tahu pun apabila dia tengok tiket penerbangan. Fateh pula disuruh Rai dan bonda untuk tengok-tengokkan. Mujurlah anaknya yang seorang itu rapat dengan Mak Su dan nendanya. Jadinya, dia tidak kisah jika ditinggalkan oleh Hannah berhari-hari.

Sepanjang perjalanan, mereka langsung tidak bercakap melainkan jika ada benda-benda penting sahaja. Tinggal beberapa hari sahaja lagi Hannah akan masuk bekerja semula. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia meminta untuk mengikut Rayyan sedangkan Rayyan sudah kata yang dia datang ke sini untuk bekerja. Mungkin dia mahu perbaiki hubungan antara dia dan Rayyan yang sekian lama dingin. Ataupun sebab dia cari kebenaran.

Kebenaran di kota London? Apa je yang akan terbongkar. Apa yang pasti, di sinilah tempat Tengku Hannani menyambung pelajaran beberapa tahun lepas. Dan di sini jugalah tempat dia melangsungkan perkahwinan secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

Mereka tiba di sana sudah lewat malam. Ada seseorang sudah menunggu Hannah dan Rayyan di Heathrow Airport, United Kingdom. Hannah mengagak bahawa lelaki kacukan Inggeris yang berusia lingkungan 30-an itu merupakan kenalan Rayyan kerana mereka berbual-bual dengan mesra sewaktu di dalam kereta.

Rayyan duduk di sebelah tempat pemandu, manakala Hannah duduk di bahagian penumpang belakang. Entah mengapa, tangkai hatinya dijentik rasa sebak. Terlalu banyak perkara yang bermain-main di dalam mindanya sehingga membuatkan dia kusut. Terlalu banyak persoalan yang dia tidak temui jawapannya.

Seketika pandangan ditebarkan ke luar tingkap. Hanya bangunan-bangunan apartmen yang bercahaya tanda ada penghuni di dalamnya dilihat sepanjang jalan. Kepekatan malam membuatkan Hannah sukar untuk menikmati keindahan kota London itu.

Tanpa Hannah sedari, Rayyan mencuri pandang pada isterinya melalui cermin sisi. Direnung wajah yang sentiasa dirinduinya itu. Ingin sahaja dia mengusap permata jernih yang mengalir dari kolam mata insan yang dicintainya, tetapi ada sesuatu yang dia ingin tunjuk dan beritahu Hannah.

Dia sendiri terseksa apabila mereka bergaduh dan langsung tidak bertegur sapa seperti orang asing meskipun tinggal serumah.

Setibanya mereka di hadapan sebuah apartmen yang berketinggian tiga tingkat, kenalan Rayyan memberhentikan kereta di hadapan kawasan kediaman itu lalu menyerahkan kunci kereta kepada Rayyan. Untuk beberapa ketika, satu kereta berhenti di sebelah kereta mereka lalu lelaki itu masuk ke dalamnya. Setelah meminta diri, kereta yang dinaiki oleh kenalan Rayyan dan kawannya meluncur laju meninggalkan kawasan tersebut.

Seketika Rayyan membukakan pintu di tempat duduk belakang lalu menggamit Hannah untuk keluar. Barang-barang yang berada di dalam but kereta dikeluarkan. Sebelah tangannya memegang luggage yang berisi barang-barang mereka, manakala sebelah tangan lagi memimpin erat tangan si isteri. Lalu, langkah diorak ke arah tempat tinggal sementara mereka.

Belakang badan Rayyan diperhatikan dengan tenang. Tanpa sedar, Hannah melorek senyum.

Masuk sahaja ke ruang apartmen, Hannah dan Rayyan dijamu dengan perhiasan rumah yang dihias menggunakan konsep Inggeris. Rumah sementara mereka berada di tingkat satu. Ruangnya sesuai untuk memuatkan sebuah keluarga yang terdiri daripada kira-kira lima orang ahli. Hannah fikir mungkin rumah itu kepunyaan kenalan Rayyan. Sofanya berlapik alas floral. Di suatu sudut, terdapat televisyen yang diletakkan di atas sebuah almari tv. Terdapat juga tempat untuk membakar kayu api. Dek kerana musim sejuk yang suhunya boleh mencecah negatif di sini, itulah salah satu alternatif untuk memanaskan badan. Terdapat juga sebuah jam antik bersama loceng di tengahnya yang hampir sama ketinggiannya dengan pintu bilik.

Beg bagasi diletakkan di suatu sudut di dalam bilik tidur utama.

Setelah mengemas ala kadar, Rayyan menanggalkan baju lantas dililit tuala di pinggangnya. Tak lama selepas itu, dia pun berlalu ke bilik air tanpa mengeluarkan sepatah kata.

Malam itu berlalu begitu sahaja dengan mulut masing-masing diam terkunci. Dek kerana tubuh yang keletihan, tiada siapa pun yang mengeluarkan kata. 

HER GUARDIAN ANGELΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα