BAB 21

3.2K 288 25
                                    

HANNAH berada di taman mini sekolah selepas waktu persekolahan tamat. Tempat dia menunggu Naufal seperti kebiasaan. Buku sudah siap sedia di atas meja. Bahan pembelajaran yang digunakan untuk Naufal sesuai untuk pelajar yang menghidapi masalah disleksia. Jumlah pelajar di SK Sri Putra tidaklah terlalu ramai, sebab itulah murid darjah 1 hingga murid darjah 6 diletakkan pada sesi yang sama kerana jumlah kelas yang ada boleh memuatkan keseluruhan pelajar yang ada di sekolah tersebut. Sejak dia mengetahui Naufal seorang pelajar yang lain daripada yang lain, dia banyak meluangkan masa bersama Naufal. Sudah dia hafal jadual pelajar itu, waktu persekolahan tamat pada pukul 1 petang, tetapi dia akan pulang jam 1.30 petang menunggu ibunya mengambilnya. Masa selama setengah jam itulah Hannah guna untuk mengajar Naufal serta memberi fokus yang lebih kepadanya. Dia benar-benar ingin melihat Naufal mampu berjaya seperti orang lain. Tidak mahu dia melihat anak muridnya diperlekeh serta dipulau kerana kelemahan yang ada pada dirinya. Sudah sebulan dia cuba membantu anak muridnya itu melalu pembacaan dari Internet mengenai kaedah untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai disleksia. Sedikit sebanyak dia dapat melihat perkembangan positif dari Naufal dari hari ke hari. Perasaan gembira yang tak dapat diungkap saat melihat Naufal sudah reti membaca walaupun masih merangkak.

Ini sahaja antara usaha yang dia mampu lakukan untuk membantu kanak-kanak seperti itu sebagai seorang guru. Selebihnya terpulang kepada ibu bapa yang lebih mengetahui setiap perkembangan dan perjalanan hidup anak-anak sejak kecil.

Hannah juga sudah memberitahu ibu bapa Naufal mengenai dirinya di sekolah, Dia yang selalu termenung dan sukar membaca. Dia yang memakai kasut terbalik kiri dan kanan. Dia juga sukar untuk fokus dalam melakukan sesuatu perkara. Dan banyak lagi simptom yang ditunjukkan oleh Naufal sepanjang dia berada di sekolah diberitahu kepada ibu bapanya. Hannah gembira apabila dia menerima respons yang baik daripada kedua ibu bapa Naufal. Nampaknya mereka sangat mengambil berat tentang Naufal tetapi mereka terlepas pandang mengenai perkembangan akademiknya. Hal ini demikian kerana Naufal nampak normal sahaja seperti kanak-kanak lain, namun apa yang membezakan dia adalah dari segi cara dia berfikir.

Dari jauh, sepasang mata Hannah menangkap kelibat Naufal yang berjalan mendekatinya. Mukanya suram dan sedih. Timbul perasaan hairan dalam diri Hannah. Dia tertanya-tanya perkara apakah yang membuatkan Naufal bersedih.

Naufal merapati Hannah. Dicium tangan Hannah lalu dilabuhkan punggung di sebelahnya. Dia diam seribu bahasa, tiada sepatah kata keluar dari mulutnya.

"Naufal, kamu sihat?" Hannah memulakan perbualan antara mereka. Tidak mahu terus melulu menyuruh Naufal belajar.

"Saya... tak... pandai..."

"Saya... tak... pandai...."

"Saya... tak... pandai...."

Dalam susah payah, Naufal menyebut satu persatu.

Ayat yang sama diulang berkali-kali bersama juraian air mata di pipi. Kesedihan yang ditanggung sedari tadi akhirnya terlempias juga.

"Shhh... Shhh..." Hannah mengusap perlahan bahu anak muridnya itu. Dia memujuk Naufal sama seperti memujuk Fateh saat anaknya bersedih.

"Cikgu... Ros... kata... saya tak pandai... sebab... saya tak dapat... buat kerja sekolah yang dia bagi..." Masih ada pincang pada tutur katanya. Namun terdapat perkembangan yang memberangsangkan.

"Saya... tak... pandai..."

"Saya... tak... pandai...."

"Saya... tak... pandai...."

Diulang lagi ayat yang sama bersama esakan di bibir.

Jiwa Hannah diruntun hiba. Ditahan air matanya daripada turut mengalir sama. Dahlah dia sejenis orang yang tidak boleh melihat orang lain berada dalam kesedihan, dia pasti turut bersedih sama. Hatinya sangat lembut. Tergamak seorang cikgu melemparkan kata-kata seperti itu kepada anak murid sendiri? Bukankah tugas seorang cikgu untuk mendidik. Jika anak murid tidak tahu, diajarkan. Jika anak murid lambat faham, diterangkan perlahan-lahan. Jika anak murid seakan-akan tidak jumpa jalan, disuluhkan cahaya.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now