Bab 6

9.7K 622 42
                                    

Keluhan berat dilepaskan. 3 hari yang dia minta daripada Attar berakhir hari ini. Kekhuatiran dengan keputusan yang akan dibuatnya masih tersisa. Dengan hati yang tidak rela, butang panggil pada iPhone ditekan juga. Kegelisahan yang datang diketepikan dahulu. 

"Assalamualaikum, ma." 

"Waalaikumussalam kak, awat ada apa? 

"Kak sebenaqnya nak habaq dekat mama ada sorang laki nak masuk meminang kakak." 

Terdiam Puan Wahidah mendengar. Pasti wanita itu sukar untuk percaya dengan berita yang menyapa pancainderanya. Anak sulung yang selalu sahaja mengelat setiap kali hal perkahwinan diperbincangkan tiba-tiba menghubunginya. 

‘Sihat ka dak budak ni. Tak dak angin tak dak ribut. Mai-mai, nak kawin.’

"Betui-betui la kak. Ingat hang tak mau kawin sampai bila-bila dah. Baguih la kalau lagu tu. Dia kerja apa? Duduk mana? Hang tanya dak dia soalan bagi habis?"

"Dia kerja... Em, kak lupa nak tanya ma tapi dia duk KL. Mesti dia kerja elok kalau dia duduk dekat hotel 5 bintang." Ahh, silapnya juga. Main redah ja.

"Kawin bukannya benda main-main nah. Tanya bagi habis. Tengok dia kerja apa, solat dia terjaga ka dak, mampu dak dia nak bagi nafkah dekat hang apa semua. Nak kawin buat cara nak kawin. Buat orang terkejut betui la hang ni." Bebel Puan Wahidah dalam loghat utaranya. 

Ini yang dia malas. Hubungan Yara dengan mamanya tidak pernah akrab. Anak sulung la katakan. Sudah terlalu banyak dia makan hati tapi apa yang boleh dibuat kalau dah namanya ibu. Syurga seorang Yara Ameena terletak pada Puan Wahidah..

"Mama, balik nanti la kak cerita lain noh. Ada kerja nak buat ni." Nafas kasar dihela. Kalau dibiar lebih lama, risau Yara seandainya nada suaranya berubah tinggi. 

"Hang ada dekat langkawi lagi ka ni?" 

"Ya ma. Esok kak balik. Assalamualaikum." 

"Waalaikumussalam." Jawab Puan Wahidah sebelum talian dimatikan. 

Hampir seminggu juga dia menginap di PARKROYAL Langkawi Resort. Duitnya sudah menangis. Almaklumlah, hotel berkelas seperti ini faham-faham je la. Lagipun, bukan selalu Yara dapat manjakan diri seperti sekarang. 

Kadang-kadang, lari daripada masalah itu jauh lebih baik daripada cuba untuk menyelesaikannya disaat emosi dan mental tidak begitu baik. Selagi boleh dielak dia akan elak. Yara sudah terlalu lelah atau mungkin saja dia seorang yang pengecut. Pecundang yang lebih memilih untuk berlari bilamana berhadapan dengan masalah. 

Perihal lamaran Attar, hati Yara berasa semakin yakin untuk menerima lamaran jejaka itu. Dia tidak tahu kenapa dan mengapa cuma itulah hakikat yang dia cuba untuk terima. Umurnya bukan semakin muda untuk menangguh urusan pernikahan lebih lama. Kalau diikutkan rasa takut, rasa itu tidak akan pernah hilang. 

Bunyi notifikasi Whatsapp yang masuk mengembalikan semula perhatiannya ke alam realiti. Pandangan dialih ke skrin telefon di sebelah. 

[Attar] D-day: Assalamualaikum, small butterfly. Saya dah sediakan sekotak tisu dekat sebelah saya. Harapnya, saya tak perlu guna tisu ni. 

Senyuman dikulum setelah mesej yang dihantar oleh Attar dibacanya. Wajah Yara terasa bahang. Tanpa menunggu lama, mesej itu dibalas segera. 

[Yara] Waalaikumussalam, Attar. Alhamdulillah, saya terima lamaran awak. 

Dia sudah tidak mahu berfikir panjang apakala Yang Esa sudah memberi petunjuk kepadanya. Dengan izin Allah, Attar adalah lelaki yang tepat untuk dijadikan suami. Nalurinya tidak mungkin berbohong. Perkahwinan juga merupakan salah satu ibadah. 

Sekiranya tidak kerana video yang lalu di fyp tiktoknya semalam, mungkin sahaja keraguan itu tidak akan pudar. Kaum wanita nak masuk syurga itu mudah. Jaga 4 perkara iaitu solat, puasa, maruah diri, dan taat perintah suami. Serunya, mungkin sudah sampai. 

[Attar] Alhamdulillah, Maha suci Allah. Doa saya hampir termakbul. 

[Yara] Hampir termakbul? 

[Attar] Selagi saya belum lafazkan akad, doa saya belum sepenuhnya makbul. 

Oh, jadi itu yang dimaksudkan oleh Attar. Mesej daripada pemuda itu dibaca tanpa dibalasnya semula. Nak mesej lebih-lebih, mereka masih belum halal. Cukuplah sekadar yang perlu. Sekerasnya Yara tidak mahu memiliki cinta dengan cara yang salah.

[Attar] Lagi satu, boleh bagitau saya bila awak lapang? Jangan lupa send location sekali. Saya nak bawa ummi dengan walid jumpa keluarga awak. Terima kasih, small butterfly. Jumpa nanti. 

Mata terpejam seketika. Nampaknya tahap keseriusan Attar tidak dapat dipersoalkan lagi. Perasaan gugup mula menyerang tatkala memikirkan tanggungjawab yang akan digalasnya sebagai seorang isteri sekiranya hal itu benar-benar berlaku. Adakah dia akan bersedia? 

‘Allahuakbar, betul ka apa yang aku buat ni?’

Wajah Ummi dan walid yang sedang berehat di atas sofa bertentangan dipandang Attar sambil tersengih-sengih. Berkerut dahi Puan Madeena dengan sikap pelik anak tunggalnya yang seorang itu. Apa agaknya yang ada dalam kepala otak anaknya. 

"Abang, anak awak ni dah kenapa? Tersengih-sengih saya tengok daripada tadi." 

Wajah si anak ditenung Tuan Abbas sekilas lalu. Terpaksa juga dia tutup helaian akhbar yang berada ditangan dek rengekan si isteri. Cermin mata ditanggal. Kali ini, wajah anak tunggalnya ditatap lebih lama dengan dahi yang berlapis.

"Attar ada nak cakap apa-apa ke dengan walid dan ummi ke?" Pantas sekali Attar menggangguk. Keterujaannya sudah tidak dapat dilindung lagi.

"Cakaplah, dah berapa lama kamu tersenyum sendiri macam orang kurang siuman, risau walid dibuatnya." Tangan dibawa bersilang ke dada. 

"Itu yang saya risaukan bang. Kalau angau bercinta saya ok lagi. Tak pernah saya tengok anak kita buat perangai macam ni seingat saya." Tokok Puan Madeena.

"Sebenarnya, Attar nak bagitau ummi dengan walid sesuatu ni."Senyumam dikemam sebaik mungkin. Telinganya sudah berubah warna. 

Tuan Abbas yang perasan akan perubahan anaknya pada ketika itu mula menghamburkan tawa. Dia seperti dapat menebak apa yang ingin disampaikan oleh si anak. Kalau dah telinga merah macam tu, sah-sah la ada kaitan dengan kaum perempuan.

"Walid!!! Attar belum sempat lagi buka cerita walid dah gelakkan Attar dulu. Ummi, tengok la walid ni." Adunya kepada Puan Madeena. Walid, kalau dalam bab usik-mengusik tak pernah tak pakar. Pasrah Attar dengan perangai si bapa. 

"Kejap,kejap. Ummi tak faham. Cuba terangkan dekat ummi. Yang abang ni dah kenapa tiba-tiba ketawa.” Keliru wanita itu dengan situasi yang berlaku dihadapannya. 

"Deena, abang rasakan... Anak awak dah jumpa calon menantu yang awak tertunggu-tunggu selama ni." Balas Tuan Abbas setelah tawanya reda. 

"Hah! Biar betul abang? Attar bagitau ummi sekarang jugak. Betul ke apa yang walid cakap?" Hampir tertunda detakan jantungnya gara-gara si anak. Mujur dia tidak ada penyakit jantung. Silap-silap hari bulan… tak sanggup dia nak bayang.

"Betul, ummi. Attar dah jumpa seorang wanita yang buat Attar jatuh hati. Attar sebenarnya… dah lama suka dia." Malu-malu buaya, anak itu  membalas. Wajah dijatuhkan ke dalam telapak tangan. 

"Ya Allah, bertuah punya budak. Ada ke patut benda penting macam ni awak boleh berahsia dengan ummi. Bukannya awak tak tahu dah berapa lama ummi kempunan nak dapatkan menantu." 

Bebel Puan Madeena  dengan riak yang dibuat garang biarpun hatinya gembira dengan pengakuan si anak. Siapa sahaja yang tak gembira jikalau anak yang sudah lanjut usia ingin menamatkan zaman bujangnya. Dialah yang terpaling bahagia. 

Kasih Kita Sempurna (c)Where stories live. Discover now