Bab 2

6.6K 375 3
                                    

🌷🌷🌷



Amnesia. Dia alami amnesia. Ingatannya terhadap perkara yang berlaku dalam masa lebih kurang 3 tahun sebelum ini terpadam dari kotak ingatannya. Doktor menerangkan bahawa hentakan yang berlaku di kepalanya semasa kemalangan telah menyebabkan gegaran pada otaknya.

Apa yang paling menyedihkan, mereka memberitahu bahawa ibu bapanya terkorban dalam kemalangan ngeri itu. Kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik dan meletup. Kata Ammar, dia hanya sempat mengeluarkan Amelia daripada kereta itu sebelum letupan berlaku memandangkan hanya pintu bahagian belakang sahaja yang tidak tersepit.

Rebah Amelia saat dikhabarkan dengan berita itu. Air matanya tidak henti mengalir.

Apabila dia bertanya kepada Ammar punca kemalangan berlaku,  sepupunya itu hanya menggeleng tidak tahu.

Hatinya hiba. Hampir sebulan dia tidak sedarkan diri. Sedar sahaja, dia dikhabarkan dengan berita kematian ibu bapanya. Hati siapa saja yang tidak sedih.

Hari ini, doktor sudah membenarkan dia pulang setelah 4 hari sedarkan diri. Tetapi dia perlu datang untuk melakukan pemeriksaan setiap bulan bagi memantau tahap kesihatannya. Tangan kiri dan kepalanya masih berbalut dan badannya masih dipenuhi kesan luka.

Beg pakaian dikemaskan sebelum dihulurkan kepada Ammar yang sedia menanti. Ya. Sepanjang dia sedar, hanya Ammar yang menemaninya di hospital. Kelibat Mak Long atau adik sepupunya, Yasmeen langsung tidak kelihatan.

Amelia bersyukur Ammar masih mahu menemaninya. Dia sudah tidak punyai sesiapa lagi.

Langkah diatur mengekori jejak Ammar sehingga ke kereta. Mereka akan singgah ke rumahnya terlebih dahulu untuk mengambil barangnya. Dia tidak akan tinggal di situ lagi memandangkan rumah itu bukan milik ibu bapanya.

"Nak pergi mana?" Amelia bertanya setelah mereka berada di dalam kereta sebaik dia selesai memunggah begnya ke dalam kereta Ammar.

"Kita singgah kubur ibu dengan ayah kau dulu," Perlahan Ammar menjawab.

Amelia terdiam. Kepalanya mula dihala ke luar tingkap. Hatinya kembali sebak. Apa yang harus dilakukan selepas ini? Selepas kematian ibu dan ayahnya. Dia tidak biasa. Dia takut. Tubir matanya dirasakan panas. Cepat-cepat Amelia memejam rapat matanya, tidak mahu Ammar perasan.

Akhirnya, kereta dihentikan di sebuah kawasan tanah perkuburan. Ammar memandang ke sebelah. Lena Amelia tidur. Kepalanya sudah terlentok pada cermin kereta.

"Lia, bangun..." Ammar menepuk perlahan di bahu Amelia. Terpisat-pisat gadis itu membuka mata sebelum memandang sekeliling.

"Jom, turun. Kau ada tudung?"

Amelia menoleh ke arah Ammar dan mengangguk kecil. Dia keluar dari kereta dan membuka pintu belakang. Begnya digeledah lalu dicapai sehelai selendang sebelum terus dililit di kepalanya.

Ammar masuk ke dalam pagar setelah dilihat Amelia sudah bersedia. Amelia mengekori dari belakang. Langkah terhenti di hadapan dua buah pusara yang terletak bersebelahan. Nama ibu dan ayah Amelia tertulis pada batu nisan di pusara tersebut.

Mereka sama sama duduk, membacakan surah Yasin di situ. Sesekali suara Amelia tersekat sekat menahan sebak. Tubir mata yang bergenang sudah beberapa kali dikesat.

I Remember You | ✔Hikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin