BAB 1

15.5K 730 108
                                    

HANNAH MEDINA menyanyi-nyanyi kecil, terserlah barisan giginya yang putih serta teratur cantik. Hatinya begitu senang kerana semua kerja yang bertimbun-timbun banyaknya telah disiapkan. Dan apa yang lebih menggembirakan adalah apabila dia dapat pulang lebih awal daripada kebiasaan. Tidak perlu menunggu sehingga lewat petang. Kerjayanya sebagai seorang guru kadang kala menuntutnya untuk bekerja lebih masa disebabkan oleh tugasan dan kerja yang banyak.

"Astaghfirullahalazim." Terucap lafaz keramat di bibir tatkala diri terlalu leka sehingga tidak sedar bahawa ada kereta yang sedang meluncur laju ke arahnya. Nasib sahaja kereta itu membunyikan hon, jika tidak pasti ada sesuatu yang buruk bakal menimpa dirinya.

Orang kata, jangan terlalu suka kerana risau akan berduka di kemudian hari.

Hannah membolos masuk ke dalam perut kereta. Plastik yang berisi barang-barang dapur diletakkan di tempat duduk belakang. Dia lantas menghidupkan enjin kereta, ingin pulang ke rumah. Wajah Muhammad Al-Fateh yang tersenyum girang saat menyambut kepulangannya terbayang-bayang di ingatan. Ah, baru berpisah beberapa jam, dia sudah rindu bagai nak gila!

Brek tangan dijatuhkan, pedal minyak ditekan dan kereta mula bergerak membelah lebuh raya.

Hannah menghidupkan radio, memecah kesunyian suasana. Jika si kecil Fateh berada di sebelah dia sekarang ini, pasti mulut kecil itu tidak henti-henti bercerita tentang pelbagai perkara. Tersungging senyum di bibir mengenangkan telatah si kecil yang sentiasa menghiburkan sekeping hati.

Tiba-tiba, sebuah van berwarna putih memotong keretanya secara berbahaya. Hampir sahaja keretanya mencecah belakang van putih itu. Hannah menekan hon panjang kerana terkejut dengan tindakan pemandu van itu. Mujur tiada apa-apa yang berlaku. Dia mengusap dada perlahan.

Matanya sempat bertaut dengan mata seorang kanak-kanak perempuan, berada dalam lingkungan 6 tahun sebelum van itu memecut laju tanpa menghiraukan pemandu-pemandu lain. Walau hanya sekejap cuma, pandangan berkaca yang terzahir di mata anak kecil itu seolah-olah menghantar suatu isyarat yang sukar untuk ditafsirkan. Budak perempuan itu menepuk-nepuk tingkap seolah-olah ingin meminta tolong.

Disebabkan rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam diri, dia mengambil keputusan untuk mengekori van putih itu tanpa berfikir panjang. Tanpa memikirkan bahaya yang bakal melanda, dia tekad untuk mengetahui apa yang berlaku pada budak itu. Perasaan belasnya melimpah tatkala melihat kanak-kanak itu seakan-akan berada dalam kesusahan. Air mata yang deras mengalir di pipi kanak-kanak itu menguatkan lagi tekadnya untuk merungkaikan misteri yang berselirat di kepala.

Kira-kira 15 minit mengekori, van itu akhirnya membelok ke satu simpang. Jalannya sempit, sunyi dan agak panjang sebelum van itu berhenti betul-betul di hadapan sebuah banglo tiga tingkat yang usang. Kawasan sekeliling dipenuhi dengan pokok-pokok yang tinggi menghijau. Sekali imbas, banglo itu kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan tanpa penghuni.

Hannah memakirkan keretanya sedikit tersembunyi agar kehadirannya tidak disedari. Dari dalam kereta, dia memerhatikan tingkah laku orang yang baru keluar dari van putih itu. Tiga orang lelaki berbadan sasa keluar dari van itu lantas masuk ke dalam rumah banglo tersebut. Salah seorang daripada mereka menggendong anak kecil yang dia lihat sebentar tadi. Lena sahaja budak itu tidur.

Namun, adakah budak perempuan itu benar-benar tidur lena atau dia sudah dipukul oleh salah seorang daripada tiga lelaki itu sehingga dia pengsan? Mungkin juga dia telah diberikan ubat tidur. Ah, terlalu banyak perkara yang bermain di mindanya sekarang!

Perasaan ingin tahu yang tidak dapat dibendung membuatkan kaki Hannah laju sahaja mengatur langkah keluar dari kereta lalu menuju ke pintu hadapan banglo itu yang tertutup rapat. Dia memulas tombol pintu, malangnya berkunci. Berkali-kali percubaannya, namun semuanya menemui jalan buntu. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now