Takdir & Identiti

26K 3K 245
                                    


PIPIKU terasa pijar dan panas apabila tangan tua yang dulu selalu memelukku lembut hinggap di pipi kanan aku. Rasa kecewa dan pedih hanya mampu disimpan di dalam hati. Ya, siapalah aku untuk melawannya.

Bibir digigit sambil mata terpejam rapat. Banyak kali bisikan semangat bermain-main di mindaku. Shafira, jangan mudah mengalah! Kau mampu! Kau mampu! Jemari tergenggam erat. Sedaya upaya aku tak tunjukkan wajah sakit kepadanya.

Aku nak Datin Bashirah tahu, aku rela dipukul andai dengan cara itu, datin dapat memaafkan aku. Ah, Shafira! Angan-angan... jauh lagi perjalanan untuk Datin Bashirah menerima kau. Kau baru saja membunuh dua orang anak kandungnya!

Mana mungkin semudah itu saja, kau akan diampunkan.

"Siti Bashirah!!" Jeritan Datuk Yusri bergema di dalam wad hospital itu. Sesaat selepas itu, Datuk Yusri terbatuk-batuk kuat.

Datin Bashirah yang berdiri di hadapanku dengan sinar mata yang cukup benci itu bersuara lantang, "Apa? Salah ke apa yang saya buat ni? Perempuan ni memang patut dapat lebih daripada ni!!" Marah Datin Bashirah, mencerlung tajam memandangku. Giginya terketap-ketap sesama sendiri, menandakan kemarahannya yang tiada penghujung.

Aku hanya menundukkan kepala. Tak sanggup mahu melihat kebencian wanita yang sudah kuanggap ibu sendiri. Hatiku dah lama pecah berderai saat wanita itu mengatakan benci kepadaku.

"Bashirah, berapa kali saya nak ingatkan awak. Ini aturan Allah! Ini qadak dan qadar Dia! Sabar, Bashirah. Ingat, awak sedang berpijak di bumi Tuhan! Jangan jadi hamba sombong!" Keras suara Datuk Yusri menasihati isterinya diselang-selikan dengan batuk yang teruk.

Saat itu, hatiku bagai ditusuk berkali-kali dengan kata-kata Datuk Yusri. Aku tak salahkan datin kerana aku pun pernah merasai perasaan ini. Perasaan sukar menerima takdir. Walaupun aku tahu ini ialah dugaan daripadaNya, seringkali aku tewas di pentas dunia.

Kali ini, Datin Bashirah menangis kerana kecewa dan marah. "Tapi semua ni takkan berlaku kalau perempuan ni tak ada! Awak ingat senang ke nak terima? Awak ingat mudah ke untuk hati saya reda... bila saya tahu kedua-dua anak kandung kita dah mati! Mati tanpa sempat saya melihat mereka untuk kali terakhir! Awak tak faham perasaan saya. Saya takkan sesekali maafkan perempuan ni! Dia punca! Patutnya dia yang mati!!" Tengking Datin Bashirah, penuh emosi.

Kepalaku turut ditunjal berkali-kali oleh jari telunjuk datin.

Aku hanya diam. Menerima segala kata cacian dan perbuatan datin terhadap aku. Aku tahu, memang semuanya salah aku. Keluarga aku musnah kerana aku! Bahagia aku hilang disebabkan aku! Kali ini, Datuk Yusri dan Datin Bashirah juga hilang gembira sebab aku!

Terdengar suara Datuk Yusri beristighfar panjang. "Sudahlah, Shafira. Kamu keluarlah! Jangan seksa diri sendiri. Pergi!" Arah Datuk Yusri, lembut tapi tegas.

Aku akur. Datin Bashirah menjerit-jerit memanggil aku, tapi kakiku tak sanggup untuk berhenti. Aku mahu lari. Aku mahu pergi dari derita ini sebentar. Hati aku tak sekuat Nabi Muhammad yang redha menerima segala cacian dari penduduk kafir Thaif dan musyrikin Makkah.

Shafira Addina manusia biasa. Aku ingat aku mampu kuat, tapi sebenarnya tidak.

Bergegas aku keluar dari bilik wad dan berlari untuk menuju ke tangga kecemasan. Ah, aku tak mampu tahan. Akhirnya, air mataku kembali menitis.

#####

MEREKA berdua duduk di tangga kecemasan. Masing-masing diam buat seketika sebelum salah seorang daripada mereka mula bersuara, "Kau tak nak beritahu identiti sebenar kau pada dia?"

Lelaki itu senyap membisu. Sedang merangka ayat yang sesuai untuk menjawab soalan rakannya yang sudah lama juga mereka berkenalan rapat.

"Perlu ke?" Soalan berbalas soalan.

"Sangat perlu. Sebab aku rasa Fira mesti perlukan kau sekarang. Kau pun dah rapat dengan dia. So why tak berterus-terang saja... 426?" Di hujung ayat, kening lelaki itu terangkat sedikit.

426 menjeling LBP di sebelahnya.

"Kalau aku tak beritahu siapa aku pun, aku sentiasa bersama dia." Jelas 426, selamba.

LBP mengeluh. "Tapi bukan lagi bagus kau beritahu saja semuanya ke? Aku rasa mesti dia gembira. Aku tahu, sekarang ni 426 jelah paling penting untuk Shafira."

Sekali lagi, 426 terdiam panjang. Tak tahu membalas apa. Antara profesionalisme dia sebagai seorang penggodam terkenal atau kebahagiaan Shafira. Tapi agaknya, kalau dia beritahu, apa reaksi Shafira agaknya ya?

"Lagipun, 426... kau tak rasa dia sayangkan kau ke?" Usik LBP lalu tergelak-gelak.

"Aku pun sayangkan dia," Omel 426 perlahan.

"So? Kenapa? Sayang kau tu maybe bukan... cinta?" Duga LBP, sengaja mahu mengorek rahsia hati lelaki yang terkenal dengan seorang yang sangat perahsia. Ah, macam dia jugalahkan?

Soalan-soalan daripada LBP benar-benar membuatkan dia hilang kosa kata. Ah, 426 ni bukan seorang yang pandai tentang hati dan perasaanlah.

"Okey, kalau kau tak nak, aku boleh je. Aku tengah tunggu peluang saja ni." Beritahu LBP, selamba. Sempat dia menjeling riak muka 426. Hmm... tiada reaksi. Susahlah dia nak teka macam ni.

"Kau..."

Bangg!

Mereka berdua terkejut apabila pintu tangga kecemasan itu dibuka kasar oleh seseorang. Pantas 426 dan LBP memandang arah bunyi itu dan tika itu, mereka masing-masing tergamam, terkelu seribu bahasa apabila melihat susuk tubuh Shafira berdiri di depan pintu dengan linangan air mata.


Huhuhu! Saspens kan? Fira dah tahu ke siapa 426 sebenarnya? Ye ke? Takkan semudah tulah kan? Kan? Haha. Author jahat... Vote n comment.

Hacker 426 ✔️ Where stories live. Discover now