Bab 32

2.7K 195 16
                                    

[TIARA]
Kau dan aku merancang untuk mengukir cinta namun perihnya hanya mampu meninggalkan kenang dan luka.

Media
Cerita Dia - Drama Band

SEKEPING kad nama berwarna hitam premium dimain-main antara jari telunjuk dan ibu jari. Berfikir. Sebelum pulang ke Paradise Cove, wanita yang dikenali sebagai Elliana datang mendekati dengan sapaan mesra. Mereka berbual kecil dan Elliana menghamburkan pujian. Gadis itu menghulurkan kad nama sekiranya dia berminat untuk mendalami dalam dunia peragaan.

Dia menolak dari awal kerana tiada kepakaran dalam bidang tersebut, namun gadis itu tetap menyakinkan bahawa kontrak ini berpakej kelebihan. Elliana juga mengatakan bahawa kursus ini ditaja, dan pulangan tunai berbentuk empat angka akan diberi untuk setiap satu kursus yang dihadiri. Mengenangkan tentang masalah yang mereka hadapi berkenaan rumah sewa, jalan Tiara seolah-olah terbuka luas. Kalau dia bersetuju, keuntungan yang dikecapi berlipat kali ganda. Selebihnya, dia akan fikirkan kemudian. Setakat posing sana sini, zaman kecil dulu dia sudah banyak kali curi kasut tinggi bonda dan berjalan ala-ala model.

Ingatan Tiara terimbas. Anehnya, Tuan Hardeen tidak skeptikal dengan tawaran yang diterima. Dia tahu lelaki itu tertangkap kad nama Elliana di tangannya sewaktu menuju ke Paradise Cove. Mungkin kerana ingin menjaga batas polisi perjanjian. Namun begitu, setiap keputusannya tidak patut dipengaruhi orang lain. Dia berkuasa untuk menentukan pilihannya sendiri. Telefon bimbit di atas table top dicapai. Kaki yang terawang saat berteleku di atas stool dihayun kecil. Barisan angka yang tertera di kad nama diteliti dengan rangkaan awan.

"Aku dah cakap, Cik Nana tak kisah kalau kita duduk sini sementara waktu. Kau ni memang kepala batu. Peluang depan mata tak nak ambil. Orang dah offer, sibuk ikut kepala sendiri."

Bebelan Farzana ibarat debu berterbangan. Semenjak gadis itu pulang dari tuntutan kerja, unit ini tidak lagi sunyi seperti kebiasaan. Ada saja topik yang mereka gaduhkan, dan salah satunya adalah berkaitan rumah. Sebelum ini, dia sudah menghubungi seorang wanita atas urusan penyewaan dari sebuah laman web. Setelah dilihat dari segala sudut, kawasan perumahan teres itu sangat sesuai untuk dijadikan kediaman baharu mereka yang lengkap dengan sekuriti dan berkedudukan strategik. Cuma bayarannya agak keras.

"Kau sanggup nak bayar bulanan 80 ribu? Memang lah Cik Nana cuba sedapkan hati. Common sense. Sendiri boleh fikir. Takkan nak duduk free dengan air api ditanggung tuan rumah?"

Tiara menjeling geram. Tas tangan di atas couch dikenakan pada bahu. Jam sudah menunjukkan tepat pada pukul satu petang. Kata Elliana, gadis itu akan mengambilnya dalam jangkaan setengah jam lagi. Lima hari dia berkira-kira dan keputusannya tidak akan berpatah balik. Selepas menandatangi kontrak dan menerima bayaran dari kehadiran kursus pada hari ini, dia akan memindahkan sejumlah wang untuk pembayaran deposit ke dalam akaun Puan Anom. Pembahagian wang dengan Farzana akan dibahagikan nanti, asalkan beban di bahu mereka hilang.

"Kau fikir masak-masak, Tiara. Kau bukan jadi model cincai cincai, ni model untuk brand besar. Kalau tak ada jalan lain, kita duduk sini. Pandai-pandai aku kawtim dengan Cik Nana pasal sewa bulanan."

"Kau suruh aku fikir, sekarang ni kau pula fikir. Dah elok-elok kita tinggal di kuarters, tapi sebab aku, kita dah macam pelarian. Jalan dah terbuka, kenapa nak sempitkan pula?" Tiara berdebat. "Aku tak nafikan tinggal sini memang serba-serbi lengkap, selesa. Tapi andai kata satu hari nanti Cik Nana minta kita keluar tiba-tiba macam mana? Banyak pula duit kau nak book hotel hari-hari."

Berdecit. "Tiara."

"Aku pergi dulu. Jangan tunggu, malam nanti aku balik dengan Cik Elliana."

Daun pintu lif terkatup rapat. Farzana hilang idea, tiada daya untuk membalas selepas gadis itu mengeluarkan peluru berpandu. Dia sudah hilang arah dengan keteguhan pendirian Tiara. Makin berbohong, makin nipis akalnya memujuk. Bukan soal sewa yang menjadi isu. Tapi, unit ini memang disediakan khas untuk Tiara. Tuan Hardeen sudah memberi peringatan bahawa gadis itu tidak boleh melangkah keluar dari Paradise Cove. Alasan apa yang patut ditebarkan pada Tuan Hardeen nanti?

T I A R AWhere stories live. Discover now