Bab 48

478 63 12
                                    

[TIARA]
Kau dan aku merancang untuk mengukir cinta namun perihnya hanya mampu meninggalkan kenang dan luka

Media
Sumpah dan Cinta Matiku - Nidji

"HARDEEN Daniel bin Haidar Saadi, aku nikah akan dikau dan aku berkahwin akan dikau akan pinangan engkau Tiara binti Ahmad Tarmizi atas jalan naib kadi syarie dengan mas kahwin satu ribu ringgit Malaysia tunai."

"Aku terima akan nikahnya Tiara binti Ahmad Tarmizi dengan mas kahwin sebanyak satu ribu ringgit Malaysia tunai."

Dengan sekali lafaz yang diwalikan naib kadi, bahtera suami isteri akhirnya termeterai secara sah disisi agama Islam. Segala persiapan ala kadar disediakan selama tiga hari selepas menetapkan tarikh perkahwinan di Songkhla dengan bantuan keluarga Encik Wahid dan Puan Irdina yang bermastautin di negeri Perlis. Perjalanan bermula dari Danok selepas imigresen Thailand di Bukit Kayu Hitam sebelum pukul tujuh pagi waktu Malaysia ke sempadan atau Hat Yai. Mereka berdua dijemput untuk ke Majlis Agama Islam Songkhla (MAIS) disamping membuat pembayaran penuh sebelum bernikah.

Terdapat beberapa proses yang dipatuhi untuk memastikan perkahwinan diiktiraf disamping mementingkan lima rukun nikah, dan mereka menggunakan perkhidmatan ejen berdaftar bagi mendaftarkan perkahwinan di Malaysia. Lokasi akad nikah berpusat di Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dan dijalankan oleh salah seorang naib kadi yang diberi tauliah oleh Majlis Agama Islam Songkhla serta disaksikan oleh dua orang naib kadi Majlis Agama Islam Songkhla. Sijil nikah ini mempunyai cop materi Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

"Saya Hardeen Daniel bin Haidar Saadi ialah suami kepada Tiara binti Ahmad Tarmizi yang sah pada hukum syarak, boleh berjanji terhadap isteri di hadapan jurunikah dan saksi dengan kata bahawa saya akan memelihara isteri saya mengikut hukum syarak. Saya tidak akan menceraikan isteri saya dengan sesuka hati sebelum memaklumkan kepada pihak yang berkenaan." Lafaz taklik di hadapan jurunikah dan saksi bersambung berdasarkan skrip yang diberi.

"Saya berlafaz taklik dengan katanya, sekiranya saya tidak dapat bersekedudukan dengan isteri saya atau saya menyakiti akan dia sebagai menyakiti yang melampau atau saya tidak dapat bersekedudukan dengannya seperti suami isteri orang ramai lebih daripada empat bulan maka mengadu ia kepada ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam wilayah yang berkenaan, serta mendapatkan dua orang saksi di atas dakwaannya, dan diisbatkan pengaduannya, maka tertalak dia satu talak; dan jika saya rujuk akan dia yang tertalak dengan taklik ini atau dengan talak yang lain dengan ketiadaan redhanya, maka tertalak ia satu talak pula."

Air mata Tiara berguguran disisi sang suami. Tripod kamera yang dipasang sebagai bukti pernikahan dikerling sekilas sebelum jarinya turun menyeka tubir mata. Saat-saat yang begitu mendebarkan semenjak peristiwa pada malam itu akhirnya berlaku. Hari ini statusnya berubah, hari ini tiada lagi ruang yang menjarakkan mereka.

Tiga hari menempuh onak demi memperjuangkan sesuatu istimewa di antara mereka berdua umpama sebuah mimpi panjang. Mereka bertolak ke Perlis pada malam sama dan menginap di rumah Encik Wahid sehingga hari yang ditunggu-tunggu tiba. Janji-janji yang ditabur antara dua hati dan satu jiwa ditepati walaupun tanpa restu kedua-dua orang tua.

Dia sedar keputusan ini terlampau mendadak dan berisiko. Menepikan keluarga bukan sesuatu yang patut dibanggakan. Hardeen menawar tangan untuk berpimpinan dalam situasi tegang, mengajaknya berjalan beriringan bagi menghadapi apa jua rintangan mendatang, dan dia setuju untuk menemani sehingga tiba ke destinasi yang diinginkan.

Hubungan ini terlalu sukar, malah memerihkan mental. Kalau hati sudah mengaku sayang, mampukah mulut untuk menidakkan? Mata mereka berlaga. Senyuman Hardeen bersemadi pada pancaindera. Begitu juga dengan detakan rasa. Spora-spora asing membara. Gerakan mulut tanpa suara lelaki itu ditangkap jelas walaupun sekadar isyarat halus.

T I A R AWhere stories live. Discover now