Bab 47

480 72 18
                                    

[TIARA]
Kau dan aku merancang untuk mengukir cinta namun perihnya hanya mampu meninggalkan kenang dan luka

Media
Perayaan Mati Rasa - Umay Shahab & Natania Karin

TERIKAN matahari pada waktu petang memantul ke seluruh alam. Renikan peluh di dahi meleleh ke kening sebelum terhapus dengan fabrik tudung. Plastik berisi barang-barang basah dan kering dijinjing cermat. Perbualan kosong terlayang. Sesekali bibirnya menyambut riuh. Bila kaki mereka melangkah di antara persimpangan, laluan ke kanan diambil. Figura Puan Diana menceceh menyatakan kebimbangan terhadap Tiara. Momen dua minggu lalu terngiang-ngiang di telinga. Wujud persoalan di sanubari tatkala mengimbau setiap bait-bait yang diperkatakan.

"Baru-baru ni Ara cerita dia terima kontrak sebagai duta kecantikan. Kak tak soal apa-apa kalau itu yang boleh merawat hati, Ara. Cuma kak cukup risau kalau dia terjumpa semula dengan si Hardeen. Kita ni sayang anak, tak naklah biarkan dia meratap pada yang tak sudi."

Puan Diana mengeluh panjang. Melepaskan Tiara pergi ke Kuala Lumpur bagi menguruskan hal perletakan jawatan sudah cukup merungsingkan hati. Bimbang sungguh kalau lelaki itu memujuk rayu sehingga mencairkan hati anak perempuannya. Dia tidak mahu Tiara terpalit dengan keluarga itu, apatah lagi menerima nasib sama sepertinya.

"Ara dah besar panjang Kak Ana... Budak bertuah tu dah boleh fikir mana baik mana buruk. Tak usahlah Kak Ana risaukan sangat."

"Macam mana hati kak tak risau Najda? Tengok apa lelaki tu buat pada Ara. Hati ibu mana yang meloncat suka bila anaknya menangis serupa mati laki?"

Puan Diana mendengus. Bila difikir semula memori-memori lama, hatinya disimbah panas membahang. Bapa borek anak rintik. Dua-dua hanya tahu menghancurkan hati yang ikhlas mencintai. Dia bersyukur Allah SWT menghadiahi gadis itu patah hati di permulaan perjalanan untuk menyelamatkan Tiara diseksa di kemudian hari.

"Kak Ana risau keadaan Ara atau kak Ana bencikan lelaki tu sebab terpalit dengan masa lalu?" Ujar Usu Najda berani. Tolehan Puan Diana dikesan. Langkah diteruskan apabila mereka menjejak hampir ke perkarangan rumah. "Najda tertanya kenapa Kak Ana tak jujur saja pada Ara di dapur sebelum ni tentang siapa ayahnya."

"Dia takkan tahu Najda. Seeloknya biar dia fikir apa yang kita suap untuk elak susah. Kak tak nak dia terbabit langsung dengan kelompok orang kaya di sana. Kalau kak perlu buat Ara benci mereka untuk selamatkan keadaan, biar Ara membenci."

"Najda takut kita yang terkena tempiasnya. Ara bukan jenis penyabar orangnya, cepat melatah. Silap-silap yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran." Najda melepaskan keluhan berat. Tidak bersetuju dengan pemikiran Puan Diana yang terselit ketidakjujuran. Andai kata pembohongan mereka terbongkar, dia cukup pasti Tiara takkan bisa menerima. Buktinya, lihat seperti sebelum ini. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Kita saja yang tahu kebenarannya, Najda. Tak usahlah buka cerita ni lagi. Tutup, lupakan saja semua. Kak tak nak kita berdua tersasul di depan Ara pula nanti." Puan Diana menjeda perbualan usai mereka tiba di kaki anak tangga. Pintu rumah yang terbelahang luas menandakan Tiara sudah pulang dari tanah perkuburan. Nafas ditarik panjang, menghidupkan emosi berlainan.

Ucapan salam didahulu. Kelibat figura yang berteleku sepi di atas kerusi mengundang senyuman. Namun begitu, tatkala matanya bersatu dengan iris Tiara, bias-bias sembap dan bengkak mencuri perhatian. Matanya tertangkap satu hamparan sampul yang cukup dikenali rupanya mendarat sempurna di atas meja kopi. Bergegar, dunia Puan Diana terasa kelam. Usu Najda yang menyusul dari belakang memanjangkan leher sebaik saja aturan langkah Puan Diana terhenti di tengah jalan. Tidak tahu-menahu.

"Ara... Bonda boleh jelaskan. Apa yang Ara faham, tak sama-"

Suaranya tersangkut-sangkut di kerongkong. Segera dia mendapatkan Tiara untuk mendakap namun anak gadisnya laju bangkit dari sofa dan menjauhkan diri. Beg plastik barang-barang kering yang dijinjing sudah bergelimpang jatuh entah kemana. Terbongkar semua noda yang cuba ditutup.

T I A R AWhere stories live. Discover now