Bab 36

1.9K 179 50
                                    

[TIARA]
Kau dan aku merancang untuk mengukir cinta namun perihnya hanya mampu meninggalkan kenang dan luka.

Media
Merindukanmu - D'masiv

PROSES pembuatan passport pertamanya siap dalam masa tujuh hari bekerja. Usai menjamu selera, Elliana mengajak Tiara untuk mencari beberapa pakaian bersesuaian cuaca sebelum berangkat ke New York tiga hari lagi. Permohonan cuti selama seminggu diluluskan mengikut kuota dan Tiara menghubungi Puan Diana bagi makluman keberangkatannya nanti. Sebelum ini bonda dan usu pernah mempersoalkan kecenderungannya yang tiba-tiba beralih ke dunia peragaan, dan dia beralasan kerana 'minat'. Pakaian yang akan dibawa sudah dilipat dan disusun tinggi bersama-sama barang kelengkapan keperluan dan kehendak untuk diisi ke dalam bagasi.

Sesi penggambaran tempoh hari mewujudkan sesuatu abnormal. Tuan Hardeen sangat menghormati batas yang pura-pura digaris. Suis emosi dan perasaan yang dihidupkan untuk kegunaan 'pekerjaan' tidak boleh dimatikan semenjak malam fotografi. Kerinduan untuk merasai adegan tempoh hari meluap-luap. Mengenangkan tingkahnya yang tidak ubah seperti perigi mencari timba, minda dirasuk untuk membenci.

Waima begitu, menghadirkan benci bersulam cinta tidak mudah. Lebih-lebih lagi sang cinta lebih besar impaknya dari sang benci. Mereka berdua kerap bertembung rambang, tidak kira di lif, kafeteria, malah di akses sekuriti sekalipun. Menyedari bagaimana kompetennya Tuan Hardeen menjaga jarak, dia seakan-akan digantung di tali mandatori. Lelaki itu sentiasa menghuni fikiran secara percuma dan itu benar-benar membuat Tiara hampir diserang sakit jiwa. Bagaimana lelaki itu tidak terusik dan terus mengabaikan kewujudannya, serupa juga dilakukan di pihaknya.

Kontrak yang termeterai di antara mereka berdua terbatal selepas kepulangan Encik Sean. Dia telah menerima pampasan sebanyak lima angka daripada Tuan Hardeen melalui notifikasi transaksi pindahan wang, dan jumlah besar itu dikeluarkan untuk diberikan kepada tuan badan semula dengan bantuan perantara: Cik Qaisara.

Perjanjian tersebut tiada fungsi dan tiada alasan kukuh buatnya untuk menerima wang pampasan begitu saja. Mujur lelaki itu tidak memanjangkan isu dan menghormati kehendaknya. Mereka hilang di jalan masing-masing sehingga takdir berputar ligat. Membawa semula pertemuan sebagai pasangan untuk minggu fesyen di New York.

Beberapa kru produksi yang terlibat turut mengikuti penerbangan kira-kira 18 hingga 20 jam perjalanan. Pesawat melakukan perhentian jarak jauh di Dubai dan mereka membuat penukaran transit Emirates Airlines untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John. F. Kennedy. Tuan Hardeen tidak turut serta, dan itu sudah membuat nafas Tiara terhembus lega. Kata Elliana, Tuan Hardeen mempunyai sedikit urusan, jadi lelaki itu mengambil pesawat berlainan dan terbang sehari lewat. Masa persediaan berbaki tiga hari sebelum menaiki kapal persiaran mewah di perlabuhan.

Sebuah hotel New Peninsula New York yang terletak di Midtown Manhattan menjadi lokasi terakhir selepas meredah pusingan dunia berjam-jam lamanya. Perkara pertama dicari Tiara adalah katil dek mabuk pesawat belum reda sepenuhnya. Elliana menempah dua suite yang mempunyai tiga bilik buat kru lelaki dan wanita, manakala persendirian untuk mereka bertiga. Hampir empat jam dia terbongkang tidur sebelum bangkit membersihkan diri dan melapor kepada bonda. Malam menjelma, mereka sama-sama ke dining hall untuk mengisi perut berkeroncong.

Semasa menjamah, Tiara lebih banyak termenung dari menyertai perbualan. Fikiran berkecamuk tidak selari dengan ketenangan yang terpampang di wajah. Suara ceria Elliana selepas menerima panggilan Tuan Hardeen sebentar tadi belum lekang dari minda. Lelaki itu akan mengambil penerbangan pada pagi di zon masa Malaysia dan kemungkinan tiba pada lusa, iaitu hari sama ke pelabuhan. Mereka bergerak asing dan bertemu di Cape Liberty untuk menaiki kapal persiaran Royal Carribean.

T I A R AWhere stories live. Discover now