Bab 46

330 56 8
                                    

[TIARA]
Kau dan aku merancang untuk mengukir cinta namun perihnya hanya mampu meninggalkan kenang dan luka

Media
Mahakarya Cinta - Faizal Tahir

HAMPIR sebulan kakinya tidak menjejak, dan hari ini dia kembali semula ke Estate Empire untuk mengendali urusan dokumen perletakan jawatan yang telah diluluskan pihak atasan disamping mengutip perkakas kerja yang ditinggalkan. Hawa dari pendingin udara menampar permukaan kulit. Walaupun kamar ini sudah sebulan tidak berpenghuni, udara dan keadaan persekitaran terjaga dan bersih tanpa bau kurang menyenangkan. Tiara tersenyum sendiri tatkala fikirannya terimbau kata-kata Jane sebelum lolos ke kamar. Gadis itu sentiasa menanti kehadirannya. Tiada seorang mengetahui soal perletakan jawatannya dan malang sekali, dia hadir pada hari ini bukan kerana ingin menyambung khidmat, tetapi sebagai bekas warga Estate Empire.

Ramai yang mempersoal, termasuk Zalia yang sentiasa menunggu berita daripadanya yang memencilkan diri. Bagi Tiara, dia tidak berhutang penjelasan daripada sesiapa kerana berita tentang pertunangan Hardeen sudah menjelaskan. Biar mereka saja yang menilai, dia lelah untuk memanjangkan isu selepas menelan hakikat pahit bahawa mereka tidak mungkin boleh bersama. Jijik untuk menerima realiti betapa mendalamnya perasaan cinta yang dituai buat abang kandungnya sendiri. Jijik untuk menyedarkan betapa salahnya perasaan ini untuk terus dibiarkan.

Namun begitu, perasaan yang bercambah dan disemai dari dulu tidak mudah dihapus begitu saja. Bohonglah dia sudah melupakan Hardeen, bohonglah dia tidak tertekan dengan situasi ini. Keputusannya untuk berpisah adalah solusi terbaik mengenangkan mereka berdua berkongsi ayah yang sama. Lelaki yang pernah mengulit bonda secara paksa pada zaman lalu, lelaki yang kejam kerana tega menindas bonda hanya disebabkan dendam. Mungkin Tan Sri Haidar Saadi tidak mengetahui hal berkenaannya, dan dia tidak sesal sekiranya tidak dikenali. Api kebencian terlajak menyala. Bagi Tiara, arwah Tarmizi saja ayahnya. Dunia dan akhirat.

Dua kotak sederhana besar didaratkan di atas meja kerja untuk dibahagi kepada dua kategori iaitu fail-fail dan juga perkakas-perkakas kecil. Laci kabinet yang menempatkan fail kulit keras dikuak dan dipindahkan ke dalam kotak mengikut ketebalan. Hampir setengah jam dia memunggah fail-fail lama di dalam kabinet sebelum beralih bagi menguruskan meja di bahagian workstation. Perkakas kecil dimasukkan ke dalam kotak. Saat laci dibuka, irisnya terpanah fabrik kain bercorak abstrak yang terlipat cantik. Tiara terpana. Satu suara garau automatik bergema di dalam kepala.

"Ambil. Lap muka kau, aku tak ada tisu dalam kereta."

Tiara dikuasai perasaan sebak menggila. Bahang di tubir mata semakin mencengkam. Berkali-kali dia cuba mengawal pernafasan sebelum hilang dalam tadahan hujan. Sekecil-kecil perkara yang mengingatkan kepada Hardeen menjentik emosi. Mungkin kerana di sudut hati yang paling dalam, diam-diam dia berharap keajaiban berlaku. Berharap konflik yang mengheret mereka cuma mainan tidur. Berharap keadaan berubah menjadi sediakala.

Deringan telefon bimbit merancakkan suasana. Tiara mengatup kelopak mata sesaat dua seraya menyeluk gadjet dari tas. Nama pemanggil diperiksa sebelum panggilan dijawab. Suara Farzana menggetarkan gegendang telinga.

"Dah siap ke belum?"

"Belum Farza, aku tengah mengemas barang lagi. Lepas settle, aku naik atas sekejap ambil personal dokumen. Kalau kau nak merayau mana-mana dulu, pergilah. Sementara menunggu. Nanti kalau aku dah sudah, aku call."

"Tak rajin aku, Tiara oi. Nak menghadap jammed buat kali kedua memang idok ler. Aku lajak kereta kedepan sikit ek sebab banyak kereta masuk dalam kawasan company lepas lunch hour. Bingit pula telinga asyik kena hon, kena tegur dengan security. Nanti kalau dah siap, sebelum turun tu call aku dulu. Jauh pula kau berjalan nanti."

T I A R AWhere stories live. Discover now