BAB 15 🌻

7.9K 319 3
                                    

Yara tersenyum melihat Firdaus yang sudah boleh berjalan perlahan-lahan. Dia tidak sangka anaknya itu sudah sebesar itu. Sihat dan pandai. Pujinya di dalam hati.

Tengku Hayl yang baru sahaja selesai menelefon seseorang, duduk di sofa ruang tamu itu.

Dia juga merenung lama ke arah Firdaus yang sedang berdiri dan menepuk-nepuk tangan kecilnya.

Yara mula berasa tidak selesa dengan pandangan Tengku Hayl kepada Firdaus. Dia tidak tahu apakah reaksi Tengku Hayl jika tahu Firdaus itu adalah anaknya.

Yara yang mahu menyambut Firdaus berasa terkejut apabila Firdaus berpusing dan berjalan ke arah Tengku Hayl.

"Firdaus..."

Kaki Tengku Hayl lantas dipeluk oleh Firdaus. Tengku Hayl sudah berdebar apabila melihat budak kecil itu. Dia tidak biasa dengan budak seumur itu.

"Ma. Ma" ucap Firdaus dan tergelak kecil. Tangannya juga diangkat kerana mahu Tengku Hayl mendukungnya.

Tengku Hayl memandang ke arah Yara kerana berasa kekok. Yara hanya mengeluh perlahan dan mengambil Firdaus daripada kaki Tengku Hayl.

"Mama dekat sini la sayang" ucap Yara dan mengesat air liur di bibir Firdaus.

Firdaus sudah mencebik kerana terasa dimarahi oleh Yara. Berair matanya kerana menahan rasa sedih.

"Mama tak marah Firdaus. Mama sayang Firdaus" pujuk Yara semula.

Dia terasa mahu ketawa apabila melihat wajah Firdaus yang menahan tangis. Comel sangat.

"Yara. Firdaus ni anak aku kan?" Soal Tengku Hayl.

Yara yang mendengar soalan Tengku Hayl berpaling ke arah Tengku Hayl semula. Pandangan redup diberikan kepada Tengku Hayl.

Tiada guna juga dia menyembunyikan kebenaran itu. Tengku Hayl juga masih ayah kandung kepada Firdaus. Tambahan pula mereka berdua masih suami isteri yang sah.

"Awak rasa?" Balas Yara perlahan.

Tengku Hayl yang memandang wajah Yara lantas berdiri. Dia tidak tahu untuk memberi reaksi seperti apa.

Tapi hati dan perasaannya kuat mengatakan itu anaknya dan bukannya dengan lelaki lain.

Perlahan-lahan tangan Firdaus dipegang oleh Tengku Hayl. Yara hanya membiarkan sahaja perbuatan Tengku Hayl. Dia juga mahu melihat bagaimana Tengku Hayl akan menerima perkara itu.

"Firdaus" panggilnya perlahan.

Firdaus yang mendengar namanya dipanggil lantas memandang wajah Tengku Hayl. Tangannya segera dihulurkan kepada Tengku Hayl kerana mahu didukung.

Yara mengangguk perlahan apabila melihat pandangan Tengku Hayl kepadanya. Dengan berhati-hati Tengku Hayl mengambil Firdaus daripada Yara dan mendukungnya.

"Ma. Ma" ucap Firdaus sambil memegang muka Tengku Hayl.

"Bukan mama sayang. Papa" ucap Yara.

Tengku Hayl tersentak apabila mendengar panggilan nama itu. Dia berasa terharu apabila Yara menerimanya sebagai ayah kepada Firdaus. Tengku Hayl cuba mengawal air matanya saat itu.

"Pa. Pa. Pa" ucap Firdaus berulang kali dengan gelakan kecil.

"Papa minta maaf" Tengku Hayl mengucup lembut dahi Firdaus.

Dia benar-benar berasa bersalah kerana meninggalkan Yara dan Firdaus dahulu. Dia berjanji tidak akan mensia-siakan mereka berdua lagi.

Yara hanya memandang sepi Tengku Hayl yang sedang bercakap dengan Firdaus. Dia sering memikir adakah semuanya benar saat itu.

TERATAK YARA FIRDAUS [ C ]Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang