38

6.7K 131 53
                                    

Aku mengambil plastik berwarna putih yang berisi ubat-ubatan yang telah dikirimkan oleh Hilman.

"Banyak vitamin je ni." Keluhku seraya membaca arahan sebelum memakan ubat itu. Kebanyakannya menyuruhku makan ubat itu selepas makan.

Aku mengerling jam di dinding. Baru sahaja pukul 12 tengah hari. Mikhail juga mungkin pulang agak lewat sikit hari ini. Ellyda juga mungkin pulang lewat juga. Aku pelik juga dengan perilaku Elly sejak kebelakangan ni. Setahu aku, Ellyda tidak bekerja. Tapi, dia pulang ke rumah mengikut waktu pejabat. Yang peliknya lagi, dia cuma keluar hari ini sahaja. Hari yang sama Hilman curi-curi datang ke rumah ini untuk berjumpa dengan aku.

Aneh.

Dia berjumpa dengan siapa? Dia buat kerja apa?

"Jap! Aku nak sibuk pasal dia kenapa?"

Lantas aku mengusir topik Ellyda dari mindaku. Bahan-bahan untuk memasak sambal ayam dikeluarkan. Tiba-tiba aku tergelak kecil. Dulu waktu mula-mula kahwin, memasak pun aku tak pandai. Bukan itu sahaja, menamakan bahan-bahan juga kadang-kadang aku tersilap.

Tapi sejak aku berkahwin dengan Mikhail, serba serbi aku pandai. Mikhaillah yang banyak mengajar aku tentang tugas seorang isteri. Mikhail juga banyak mengajar aku erti cinta dan Mikhail jugalah yang mengajar aku erti kesakitan bercinta.

Jadi, bagaimana untuk aku melupakan cinta pertama aku? Selama ini, aku tidak pernah bercinta. Aku juga tidak mengenal apa itu erti cinta yang sebenarnya. Tapi, setelah aku mengenal Danish Mikhail, aku jadi tahu. Aku tahu semua tentang cinta.

Sampailah aku berkahwin dengan lelaki yang aku cinta, Mikhail. Setiap hari yang aku lalui dengannya begitu indah sehingga aku lupa bahawa manusia juga boleh berubah. Aku terlalu gembira sampai lupa bahawa jika terlalu gembira, duka yang hadir.

Disebabkan kelekaanku, Mikhail berpaling dariku. Cinta yang dahulunya milikku, kini telah dibahagikan dua bersama isteri barunya, Ellyda. Sejak detik itu, hatiku begitu hancur dan kebahagiaan yang aku punya hilang begitu sahaja. Mikhail yang mengajar aku erti bahagia kini mulai mengajarkan aku erti kedukaan.

Walaupun Mikhail punca aku sedih, tetap juga dia menjadi punca aku bahagia. Setiap satu salah yang dilakukannya akan aku tutup dengan setiap satu senyuman aku yang berjaya dibentuk olehnya. Setiap kesakitan yang Mikhail bagi akan cuba aku tutup dengan kebahagiaan yang Mikhail telah beri, termasuklah anak yang berada dalam kandunganku.

Aku pernah cuba membuang namanya dari hati ini. Aku juga pernah cuba membuang perasaan yang telah lama bertandang di hati ini. Aku juga pernah cuba untuk melarikan diri daripada sini. Tapi, itu cuma hanya angan-angan yang takkan aku mampu lakukan. Mikhail sudah memiliki aku sepenuhnya. Jiwa dan ragaku milik dia. Aku tak mampu kehilangan dia, dan aku juga tak mampu untuk meninggalkan dirinya.

Aku tersenyum sambil menumis bawang untuk membuat sambal. Aku sengaja memasak lebih supaya nanti Mikhail balik, dia boleh terus makan dan aku juga boleh berehat. Aku yakin, selepas aku mengambil ubat dan vitamin yang diberikan oleh doktor Ameer, pasti aku akan lali dan mengantuk. Mungkin itu sahaja caranya untuk aku berehat daripada sandiwara dunia.

Aku hanya mengambil masa dalam 6-8 minit sahaja untuk menyiapkan sambal ayam aku. Sambal ayam yang sudah pun masak, aku hidangkan di atas meja makan. Nasi yang sudah lama masak juga aku hidangkan.

"Masa untuk menjamu selera!" Ujarku seraya mencapai pinggan dan memulakan suapan yang pertama. Mungkin situasi aku tika ini tidak seperti isteri orang kerana makan tidak berteman, tapi aku bersyukur kerana aku dapat makan dengan tenang.

Aku tersenyum dan menambahkan lagi nasi di pingganku. Sedap dan mungkin lebih sedap kalau makan berdua? Sudahlah, Ayra..

Usai memenuhkan perutku, aku mengambil ubat-ubatan yang sedari tadi ada di atas meja. Aku mengambil segelas air dan membawanya ke ruang tamu. Habis sahaja ubat-ubatan dan vitamin yang dibekalkan, aku membaringkan diriku di atas sofa. Entah bagaimana, aku mulai terlena dibuai mimpi.

Ayra SophiaDonde viven las historias. Descúbrelo ahora