TIDAK pernah Falah sangka, dalam beberapa hari menetap di Kampung Hamparan – seorang demi seorang mula datang ke masjid ini untuk memeluk agama islam. Tanpa apa-apa penyampaian dari Falah pun, tetap berturut-turut penduduk datang bertanyakan Falah tentang Allah. Ada juga yang bertanya apa sebenarnya yang terjadi sehingga sumpah Serunai Maut boleh hilang. Dan akhirnya tetap membawa kepada satu kalimah, kalimah syahadah.
Henry dan Iman juga jadi tidak menang tangan membantu Falah, mengajar penduduk yang sudah memeluk islam solat dan membaca rukun qauli. Linda juga mengajar, dialah yang paling semangat mengajar kanak-kanak yang turut berminat. Dalam tiga hari berada di Kampung Hamparan ini, mereka begitu gigih mengajar penduduk muslim segala ajaran islam. Dan dalam waktu itulah juga bertambah saudara mereka. Dan setiap kali itu jugalah, Falah akan menjatuhkan dahi ke bumi mengucap syukur pada Yang Esa.
Sungguh, ini hanyalah kurniaan dari Allah.
Apabila Pak Tamoi, Santi dan Takir juga datang hendak memeluk agama Islam – hanya Tuhan tahu betapa gembiranya Falah menyambut mereka. memeluk Pak Tamoi dan Takir seolah saudara yang sudah rapat lama.
Apatah lagi apabila Tok Penghulu membawa keluarganya untuk turut memeluk islam, semua terharu menyambut keluarga itu. Hatta Iman sendiri sebak apabila melihat Mak Embun menjadi saudari islamnya.
Maka, Jumaat itu – semua penduduk islam telah berkumpul pada waktu zohor untuk solat Jumaat. Falah menjadi guru mengajar mereka satu persatu cara solat Jumaat. Khutbah juga dibuat oleh Falah.
Siapa sangka, Masjid Miftahul Iman ini akhirnya bersinar dalam keimanan. Hampir lima puluh orang muslimin dan muslimat memenuhi ruangan masjid, khusyuk mendengar khutbah Falah. Pastinya isi khutbah Falah untuk Jumaat pertama mereka ini ialah berkenaan iman dan akidah. Berkali-kali Falah menekankan tentang ketauhidan dan juga pegangan agama. Tidak lupa juga, Falah menceritakan tentang betapa besarnya kasih sayang Allah pada para hamba-Nya. Betapa luas rahmat-Nya untuk sekalian hamba. Sehingga akhirnya dengan semata-mata rahmat-Nya, Dia telah memilih penduduk pulau ini menjadi hamba-Nya yang beriman.
Khutbah Falah sangat menyentuh hati para penduduk, sehingga ada yang menangis demi mendengarnya. Ketika Falah berkongsi kisah syurga dan neraka, juga kisah Rasulullah dan para sahabat – air mata jadi sangat mudah berderai di pipi. Sehingga esakan di antara jemaah mula kedengaran. Para wanita juga tidak ketinggalan, turut menangis mendengar pengorbanan-pengorbanan kekasih Allah yang disanjungi, Muhammad s.a.w.
Solat jumaat kemudian didirikan. Ketika mereka mendengar alunan alquran dari Falah, makin ramai pula yang menangis apabila Falah juga menangis. Falah tidak dapat menahan sebak apabila membaca lima ayat terakhir surah Al-Maidah. Berkenaan perbualan Nabi Isa dengan Allah di akhirat nanti. Kerana terdapat dalam lima ayat itu, ayat tentang kata-kata Nabi Isa yang membuatkan hati Falah sayu.
'Jika Engkau mengazab mereka maka mereka ialah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau mengampuni mereka maka sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.' (Al-Ma'idah:118)
Kerana tangisan Falah itulah, semua jemaah menangis walaupun tidak memahami apakah maksud ayat itu. Malah mereka juga tidak faham kenapa Falah menangis. Hanya kerana lelaki yang mereka kagumi mengalirkan air mata, mereka jadi turut mengalirkan air mata.
Sedangkan Falah sendiri, dalam membaca ayat 118 ini ingatannya kuat terarah pada Bunga yang tidak sempat dia selamatkan dari jalan yang salah. Kini, hanya rahmat Allah akan menentukan pengakhiran wanita kasihan itu.
Selesai sembahyang, saat berdoa Falah dengan tangisan yang sama mengucapkan syukur pada Allah dalam semua nikmat yang Dia berikan ini. Nikmat iman ialah nikmat yang sangat agung. Apatah lagi apabila Allah menyebarkan nikmat ini pada hampir seluruh penduduk Pulau Jengka.
YOU ARE READING
FALAH | Serunai Maut ✔
Mystery / ThrillerSeluruh dunia digemparkan dengan kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah yang berlabuh di Pulau Jengka. Tiada siapa tahu apa sebabnya. Henry dan Iman segera menyiasat kes itu. Sehinggalah penyiasatan itu membawa kepada sebuah mitos yang tidak...