Serunai Maut | Falah | 9

14.4K 1.9K 70
                                    

DIA terjaga. Gelita menyambutnya bersama cengkerik malam yang berlagu sunyi. Nafas dihela memenangkan jiwa. Perlahan dia bangkit, tasyahud dibaca perlahan, wajah diusap dengan belakang jari.

Doa bangun tidur dibaca penuh khusyuk. Bersyukur hari ini dia dibangkitkan dalam keadaan masih bernyawa dan sihat.

Perlahan dia bangkit, mengemaskan comforter nipis yang dia gunakan untuk tidur. Tanpa bantal mahupun selimut, sengaja dia buat begitu agar dirinya mudah bangun di tengah malam.

Dia memandang jam yang terikat di tangan.

Tiga pagi.

Tahajud memanggil-manggilnya.

Dia menghela nafas syukur.

RUANGAN masjid sepi. Seluruh kawasan sengaja dibiarkan bergelap untuk menghidupkan rasa khusyuk. Dapat dilihat dengan jelas beberapa susuk tubuh sedang duduk di sudut berbeza menghadap kiblat. Masing-masing dilambung rasa khusyuk dan khuduk menghadap Tuhan semesta alam. Berdoa bersungguh-sungguh. Menangis teresak-esak. Itu pemandangan biasa di masjid ini.

Falah baru selesai solahnya entah ke berapa, salam diberi lantas wajah diraup. Sejenak dia bertafakur dalam posisi bersimpuh begitu. Matanya sekejap tertutup apabila rasa mengantuk menguasai. Terus dia memandang kepada susuk tubuh lain yang sedang bersungguh-sungguh berdoa itu.

Tiba-tiba dia rasa cemburu. Dia patutnya lebih berusaha. Nafasnya dihela lemah. Dua tangan ditadah, lantas doa dipanjatkan. Sama seperti orang lain, di waktu sepi begini mudah sahaja air mata mengalir di pipi apabila sahaja menyebut nama Allah. Seolah dalam diri, rasa percaya bahawa Allah sedang mendengar itu membuak-buak sehingga membuatkan diri rasa begitu kerdil.

Sahur ini, pondok di Serambi Makkah ini sekali lagi dihiasai tangisan para penuntutnya.

Selepas waktu tahajud, sementara menunggu azan subuh seperti biasa Falah memilih untuk bersendirian di tangga kiri masjid. Memandang kaki langit, seolah menunggu fajar menyingsing timur. Sambil itu dia menghabiskan waktu dengan membaca al-quran melalui hafazannya.

Ketika itulah, seorang pelajar pondok mendatanginya. Dengan jubah putih lengkap dengan serban, pemuda itu menghampiri Falah.

"Abang.."

Falah mengangkat wajah. Bacaannya terhenti sejenak.

"Ada orang mahu berjumpa sama abang di hadapan masjid." Pemuda indonesia itu berbahasa baku. Mahu memudahkan Falah yang sememangnya berasal dari Tanah Melayu.

Falah mengangguk kecil tanda faham. Seusai pemuda indonesia itu berlalu, Falah baru teringat untuk bertanya siapakah gerangan yang ingin bertemunya itu. Dia menoleh, dan memang kedapatan pemuda indonesia itu sudah tiada.

Falah bangkit dari duduknya. Menghela nafas panjang. Masih memikirkan siapakah yang ingin bertemunya dinihari begini. Pasti ada sesuatu yang mustahak ingin orang itu sampaikan.

Langkahnya dibuka menapak ke ruang hadapan masjid. Ruangan masjid sudah terang benderang. Semua sudah bersiap untuk azan subuh. Saf pertama hingga keenam sudah penuh dengan para pelajar yang berjubah dan berserban.

Saat selisih dengan ustaz, Falah memberi salam hormat. Ustaz muda itu tersenyum dan membalas salamnya.

"Falah tidak mahu jadi imam kayak semalam lagi?" Ustaz itu bertanya dengan nada seloroh.

Falah tersenyum kecil. "Ada orang mahu berjumpa dengan saya di luar, ustaz." Dia memberi alasan. Cukuplah subuh semalam dia menjadi imam, itu pun dia sudah cukup segan. Menjadi imam pada semua penuntut pesantren ini malah pada semua ustaz dan mudir juga. Dia rasa tidak layak.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now