| Falah | 51

11.4K 1.6K 124
                                    

SEJAK serangan dari Bunga itu terjadi, dan juga kejadian keislaman seluruh penduduk Mukim Anjana – Falah telah mengemukakan satu cadangan. Yaitu menyiapkan semua lelaki di Anjana ini untuk memerangi Bunga di Teluk Nyai. Maka dalam tiga hari ini, mereka pun membuat persiapan yang sangat gigih. Buluh-buluh di hutan ditumbangkan untuk dibuat busur panah dan lembing yang lebih banyak. Malah begitu banyak besi dicairkan untuk membentur pedang dan mata panah.

Mereka semua tampak sangat bersedia untuk peperangan besar ini. Dan yang lebih menggembirakan semua mereka semua ialah muslimin. Yang mana apabila tiba waktu solat dengan azan yang dilaungkan oleh Falah dari rumah Ketua, semua segera meninggalkan kerja mereka dan berkejaran ke rumah besar itu untuk menunaikan solat berjemaah. Suasana ini sangat menenangkan biarpun mereka sekarang sebenarnya sedang menyiapkan diri untuk berjuang.

Lalu pada hari ini, usai solat Subuh Falah membuat satu pengumuan yang sudah dibuat permuafakatan bersama Ketua. Bahawa hari ini mereka akan bergerak ke Teluk Nyai. Beberapa lelaki dipilih untuk terus tinggal di Anjana bagi menjaga mukin ini dan juga menjaga para wanita dan kanak-kanak yang ditinggalkan. Mendengarkan sahaja seruan jihad itu, mereka semua bersemangat mengangkat tangan menyebut takbir. Bagi mereka inilah jihad yang bakal membawa mereka berjumpa Allah dalam keadaan diredhai-Nya.

Sebaik matahari terbit, mereka semua sudah bersedia untuk bertolak. Seperti yang Ketua katakan, perjalanan dari sini ke Teluk Nyai memakan masa sehari suntuk jika menggunakan jalan pantai. Falah sudah maklum akan hal itu, dia sudah pun berbincang dengan Henry dan mendapati perjalanan itu akan berakhir apabila subuh esok. Itupun dikira dengan waktu solat yang pastinya mereka akan singgah untuk menunaikan kewajipan tersebut.

Dengan segala kelengkapan itu, mereka semua bersiap-sedia. Mengikut bilangan yang ada, kumpulan dibahagikan tiga. Tiga puluh orang kumpulan pemanah yang diketuai Falah, lima puluh kumpulan lembing yang diketuai Henry, lima puluh orang kumpulan pedang yang diketuai Ketua dan selebihnya kumpulan rawatan yang diketuai Hitam. Anggun bersama perwira wanita dan beberapa lelaki lain ditugaskan untuk menjaga Mukim Anjana bersama Iman. Tok penghulu yang masih tidak sihat sepenuhnya ditinggalkan bersama Anggun dan Iman.

"Henry.." Ketika mereka semua sudah bersiap untuk bergerak, Iman datang menghampiri Henry. Wajah wanita itu beku seperti biasa namun Henry sedar Iman seolah sedang menahan perasaan.

"Kenapa?" Namun Henry butakan mata dari melihat wajah itu, dia buat-buat bertanya. Sibuk pula tangannya membetulkan bajunya yang agak melonggar ke bawah. ini bukan bajunya, dia pinjam dengan salah seorang Anjana di sini.

Iman menarik nafas. Dia kemudian membantu Henry membetulkan baju lelaki itu. Henry senyap, membiarkan Iman mengemaskan pakaiannya. Wajah Iman ditatap lama. Tika ini, suara orang lain sudah tenggelam dari pandangan. Hanya ada Iman dan dia.

Dia pun memegang tangan Iman bila terlihat tangan itu menggeletar. Iman terdongak memandangnya. Serta-merta berhenti membetulkan pakaian Henry.

Henry tersenyum hambar. "I janji." Tangan Iman dibawa ke bibirnya lantas dikucup. Iman kejung.

"I janji akan balik." Ujar Henry seraya menatap Iman. Kali ini dengan senyuman yakin.

Iman terdiam. Merenung Henry dalam-dalam.

"Balik dalam keadaan hidup," Iman sambung ayat Henry kemudiannya. Suaranya bergetar. Henry tergelak kecil. Entah kenapa merasakan ayat itu lucu.

"Jangan mati." Iman berpesan serius.

"Jangan mati tanpa I." Walaupun ayat itu kedengaran kasar, namun bagi Henry ayat itu sangat manis. Buat Henry tersenyum sendiri.

"Baik ladyboss." Henry akur sahaja. Tersengih-sengih apabila Iman menjelingnya. Ketika itu Falah mendekati mereka, Iman pantas menarik tangannya dari Henry. Segan sendiri.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now