| Embun | 54

10.7K 1.6K 66
                                    

KEPULANGAN mereka – pasukan tentera Anjana disambut meriah oleh semua penduduk. Riuh-rendah suara mereka bersorak untuk pasukan tentera itu. Ada sesetengah yang menangis gembira dan tidak kurang juga yang menangis kesedihan sebaik mendapat berita kehilangan keluarga mereka.

Dalam hiruk-pikuk itulah Iman dan Linda mencelah keramaian ingin mencari Henry dan Falah. Perasaan mereka bercampur-baur. Gembira dan risau. Rindu dan resah. Lalu sebaik mendapati Henry yang berdiri bersebelahan dengan Falah yang bertongkat – mereka berdua tidak menunggu lama terus menerpa dua lelaki itu. Untuk Iman, dia tidak beragak untuk memeluk suaminya sehingga Henry sendiri terkejut besar. Manakala untuk Linda dia hanya mampu berdiri mengulas senyuman untuk Falah mahupun Henry. Jika dia dihalalkan untuk buat seperti Iman, memang sudah lama dia buat.

Ketika itulah, satu suara kecil menyampuk jejak kasih itu. Sekaligus membuatkan Iman terjerit kecil kerana terlalu terkejut dengan kemunculan Nuna di depan mata mereka. Dia hampir menyangka budak kecil itu ialah toyol sesat! Apatah lagi Nuna boleh pula ketawa terbahak-bahak.

"Macamana budak ni boleh ada dekat sini?!" Iman menyorok di belakang bahu Henry. Ketakutan melihat Nuna yang tersengih-sengih.

"Dia masih hidup, Bunga gunakan kera sumpahan jadi mayat dia." Henry jawab selamba. Iman buat muka jijik mendengarkannya.

Dalam masa itulah Tok Penghulu tiba bersama seorang Anjana, sebaik terpandang Nuna terus berubah wajahnya. Falah yang menyedari kehadiran Tok penghulu segera menegur Nuna. Nuna terus memandang Falah sebelum pandangannya jatuh pada atuknya yang sedang tercengang menatapnya.

"Atuk!!" Nuna menjerit riang pada atuknya. Terus berlari menuju ke arah Tok penghulu lalu dua beranak itu pun berpelukan seraya menangis. Tidak menyangka pertemuan ini akan diizinkan sekali lagi oleh-Nya.

Semua yang melihat pertemuan itu jadi turut sebak. Hatta Linda yang tidak mengetahui apa-apa pun turut menitiskan air mata.

Tiada kata ingin mereka ucapkan, hanya air mata kesyukuran yang mereka boleh zahirkan.

DUA hari mereka menetap di sini, begitu banyak perkara yang mereka ajarkan pada seluruh penduduk Mukim Anjana. Daripada cara istinja' yang betul, kemudian tertib wuduk, solat, menutup aurat, dan berbagai lagi. Falah benar-benar menjadi guru untuk mereka semua. Hatta Henry, Iman dan Linda juga belajar banyak perkara daripada Falah. Sehingga ada yang berseloroh memanggil Falah Tok guru apabila Falah sering sahaja menyampaikan ceramah selepas setiap kali solat. Sudah ada gaya seperti ustaz selebriti.

Perkara yang paling menggembirakan untuk mereka selama dua hari ini ialah memasang cahaya sepuas hati mereka di malam hari. Sehingga pada malam itu juga mereka telah membuat pesta cahaya menyambut kejayaan Falah bersama rakan-rakan yang telah menghapuskan sumpah pulau ini.

Namun hari ini menjadi hari yang paling sugul untuk penduduk Mukim Anjana. Kerana hari ini ialah hari terakhir untuk Falah bersama rakan-rakan berada di sini. Misi mereka membanteras Serunai Maut sudah selesai. Sudah tiba waktu untuk mereka pulang ke Kampung Hamparan dan mengislamkan penduduk di sana pula. Malah Falah sudah memasang niat untuk mengislamkan semua yang dia temui di tengah jalan nanti. Kata Falah ini ialah tugas dia dan semua umat islam. Tidak sepatutnya dia membiarkan manusia terus mensyirikkan Allah.

Maka sepatutnya untuk semua penduduk Mukim Anjana bersedih kerana tuan guru mereka sudah ingin pulang. Waktu perpisahan menjadi waktu paling sayu. Semua menangis ketika mendengar nasihat Falah untuk kali terakhir. Hatta Ketua sendiri teresak-esak kerana terlalu sedih dengan perpisahan ini. Ketika Falah sudah siap memberi pesanan terakhir itu, semua lelaki segera menerpa Falah. Berpelukan dengan lelaki itu dengan tangisan yang menjadi-jadi. Falah sendiri menangis saat berpelukan dengan mereka semua.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now