| Linda | 1

23.3K 2.2K 433
                                    



LINDA hanya mampu mengeluh deras. Tidak tahu hendak gembira atau berasa malas apabila mengetahui dia pun perlu ikut sama dalam percutian kali ini.

Tak boleh ke dia ditinggalkan sahaja di rumah? Dia baru sahaja berangan untuk dapat berehat di rumah walau untuk seketika tanpa keluarga tirinya.

Tapi apakan daya, Linda dan rehat mana pernah berkawan. Sejak ayah meninggal rehat memang sangat memusuhi Linda. Sehinggakan dari Linda buka mata pada jam empat pagi sehinggalah tutup mata balik jam dua belas malam, rehat langsung tak nak pandang Linda!

Akhirnya Linda hanya mampu pasrah dengan aturan hidupnya ini. Nak buat macamana, sudahnya dia yang terlebih baik sehingga hanya mengikut segala kata keluarga tirinya. Bukannya dia tak mampu melawan tapi dia malas hendak melawan. Baginya melawan keluarga tirinya ini terutama ibu tirinya dan kakak tirinya hanya membazir air liur dan membazir suara. Baik dia diam dan berangan, itu lagi seronok.

Dan sekarang, entah untuk kali ke berapa Linda dibuli. Semua benda Linda kena buat. Kemas rumah. Bersih singki. Basuh baju. Sapu rumah. Kemas beg Ibu Suraya, beg Kak Wafana dan beg Abang Andika. Akhir sekali barulah dia boleh kemas begnya sendiri. Dia pun tak faham kenapa dia yang kena kemas barang orang lain. Apa orang lain tak pandai kemas barang sendiri ke?

"Linda!!"

Linda yang baru siap mengemas begnya sendiri tersentak mendengar jeritan itu. Kelam-kabut dia menutup pintu almari. Beg galas disangkut ke bahu. Selepas siap semuanya dia terus berlari ke bawah bila mendengar sang ibu sudah membebel-bebel di bawah sana.

"Apa lambat sangat kau ni?! Buat apa? Bersolek? Muka buruk tak payah bersolek! Makin hodoh!"

Linda tunduk bila mendengar makian itu. Hanya membatu di depan sang ibu yang sudah menyinga. Nafasnya masih tersangkut-sangkut.

"Mama, mestilah dia kena bersolek. Dia nak tutup muka dia yang buruk." Kak Wafana yang sedang menggilap kuku bersuara. Bibirnya tercebik.

"Tak payah. Orang gaji macam kau buat apa bersolek, bukan ada orang nakkan pun." Ibu Suraya menjeling sahaja Linda atas bawah.

Dia memang tak sukakan Linda, anak hasil hubungan arwah suaminya dengan isteri dahulu. Dan sekarang tak pasal-pasal dia yang kena jaga. Huh! Tengok muka pun dah panas hati!

"Maafkan Linda ibu." Linda menundukkan wajah. Apa-apa pun dia kena minta maaf walaupun dia sendiri takt ahu apa salahnya.

Ibu Suraya mendengus.

"Mama.. grab dah sampai." Ketika itu muncul dari balik pintu rumah Abang Andika yang sudah siap berpakaian ala-ala Hawaii. Memang keluarga ini semua berpakaian sebegitu. Dengan topi besar dan jubah pantai labuh. Kaca mata hitam jangan dilupakan. Ke mana mereka hendak pergi? Oh tak lain tak bukan ke Jeti Kenanga untuk menaiki Feri Miranda Gold yang terkenal itu!

Linda dapat lihat keluarga tirinya itu sangat gembira, semua tak sabar hendak bertolak.

Memang setiap kali musim panas, keluarga korporat ini akan memilih Feri Miranda Gold sebagai destinasi percutian. Serasa Linda ini sudah kali keenam mereka bercuti di situ sejak ayah meninggal dunia. Kadang Linda pun hairan betapa keluarga ini tidak jemu bercuti di tempat yang sama setiap tahun tapi sebenarnya tak ada apa yang hendak dihairankan. Feri itu bukannya pergi ke destinasi yang sama setiap tahun. Tahun ini Linda dengar mereka akan ke Bali.

"Apa lagi yang kamu menungkan?! Cepat angkat semua barang ini!"

Linda tersedar bila dijerkah Ibu Suraya, dengan cekap dia menarik tiga bagasi sekaligus bersama beg galasnya sendiri. Terkial-kial dia ingin mengangkat semuanya serentak, sedangkan Ibu Suraya dan Kak Wafana sudah keluar awal-awal ke kereta. Bersembang penuh girang dan teruja tentang destinasi-destinasi mereka nanti. Linda ditinggalkan sendirian.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now