| Falah | 57

16K 2K 1.1K
                                    

Bab terakhir!




DARI jauh Linda ternampak sebatang tubuh sedang berdiri di depan rumahnya. Laju dia berlari mendekati tubuh itu. Perasaannya berdebar-debar. Seolah merasakan batang tubuh itu bukan orang biasa-biasa.

Semakin dia menghampiri susuk itu semakin jantungnya menjadi pantas. Sehinggalah saat kakinya berhenti lebih kurang dua depa dari susuk itu - dia tergamam. Seluruh tubuhnya mengeras.

"Abang Falah," Bibirnya menyebut nama itu bersama mata yang berkaca.

Susuk itu menoleh padanya. Masih dengan wajah yang sama. Redup lagi tenang. Tersenyum padanya dengan manis sekali.

"Linda?" Falah tidak sangka.

Linda tertawa kecil. Air matanya tumpah. Hatinya sangat gembira melihatkan lelaki ini. Seperti hendak sahaja dia memeluk erat tubuh itu.

"Abang Falah sihat?" Soal Linda terburu-buru. Waktu yang dia ada bersama Falah - dia ingin gunakan sebaiknya.

Falah tersenyum kecil. Raut wajah penuh ketenangan inilah yang Linda rindui saban hari. Seolah ingin sahaja dia menatap wajah itu siang dan malam.

"Walid!" Namun suara itu meretakkan segalanya. Perasaan berbunga dalam hati Linda berkecai begitu sahaja sebaik mendengar panggilan itu berbunyi.

Seorang kanak-kanak dalam usia empat tahun kelihatan berlari merapati Falah. Wajah itu mirip Falah.

Linda tergamam menatap pemandangan di hadapan.

"Walid, ummi cari walid." Kanak-kanak itu bersuara pelat. Tersenyum manis pada bapanya.

Falah menggosok kepala kanak-kanak itu dengan senyuman, lalu dia memandang Linda dengan senyuman yang sama. Sedang Linda masih terkedu dalam hati yang sudah separuh berkecai.

"Ini anak saya, Darwish namanya." Dia perkenalkan. Kemudian seorang wanita hamil kelihatan menghampiri Falah dari sisi. Turut tersenyum manis. Tangan pasangan suami isteri itu bertaut.

Tika ini pandangan Linda sudah kabur dibasahi air matanya sendiri. Hatinya sudah berkecai sepenuhnya. Seluruh jiwa raganya melemah.

"Dan ini isteri saya.."

Suara Falah hilang di balik fikiran Linda. Linda tidak mampu menelan hakikat ini. Nafasnya jadi sukar. Hatinya dan jiwanya rasa sakit amat.

Sakit amat.













LINDA terjaga dengan nafas yang laju. Ketika ini dia kebingungan tentang dirinya sendiri. Seluruh tubuhnya berpeluh dan menggigil hebat.

Walaupun dia tidur di dalam bilik yang nyaman dan kondusif, keadaannya tidak ubah seperti sedang tidur di sahara. Jantungnya sangat laju mengepam darah sehingga membuatkan dadanya jadi sakit.

Tangannya dengan menggeletar cuba memegang dada sendiri. Sangat kencang. Dia memandang serata bilik. Menyedari dirinya baru terjaga dari lena malam.

Bila dia memandang jam digital, jam tiga pagi tepat. Nafasnya beransur tenang selepas beberapa jeda. Ketika ini barulah dia sedar yang dia hanya bermimpi tentang Falah.

Namun perasaan remuk di hati terasa sangat realiti. Sehingga air matanya masih sahaja tumpah di pipi biarpun dia sudah jaga dari lena. Hidungnya tersumbat. Air matanya makin laju merembas. Seolah tidak mahu henti. Dia memaksa dirinya untuk berhenti menangis namun dia tidak mampu. Sehingga akhirnya dia teresak-esak di atas katil itu.

Hatinya benar-benar sakit biarpun apa yang dia alami tadi hanyalah sebuah mimpi. Perasaan mengetahui Falah sudah bernikah sangat membuatkan hatinya pedih dan terluka. Kerana itu tangannya makin kuat mencengkam dada sendiri – seolah menahan hati daripada hancur.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now