| Iman | 25

12.3K 1.6K 132
                                    

KAKINYA menapak memanjat tangga dapur, baru selesai membersihkan diri di bilik air. Rambutnya dilap biar kering. Sempat dia menguap bila kantuk bagai bergayut di mata.

Subuh sudah cerah. Dia pula datang bulan, kerana itu dia tidak menyertai solah berjemaah subuh tadi. Hanya melihat sahaja Henry dan Falah solat tadi. Entah tiba-tiba sahaja matanya jadi cepat sahaja segar di kampung ini. Mungkin dia tidak berapa berkenan dengan keadaan di sini, jadi lenanya laju sahaja terganggu.

Untuk kali kedua dalam langkah menuju bilik tidurnya - dia menguap. Sungguh mengantuk. Dia mula berfikir untuk tidur sekejap sementara menunggu Falah menyiapkan makanan pagi. Memang adiknya itu yang selalu menyiapkan sarapan, samada dengan mencari di pekan atau dengan memasak. Kerana hanya Falah yang mahir mencari makanan yang halal dan juga mahir memasak. Harapkan Iman memang sampai subuh esok pun belum tentu mereka dapat makan.

Baru sahaja Iman hendak menolak pintu biliknya, matanya tertangkap susuk tubuh Falah yang sedang duduk di tangga rumah ini. Menatap jauh ke arah laut yang masih samar-samar disimbah cahaya subuh.

Iman tidak jadi menolak pintu, lebih tertarik untuk melihat Falah yang tampak jauh benar termenungnya.

Kakinya menapak ke arah pintu utama, mendekati Falah yang masih tidak menyedari kewujudannya.

Sejenak dia berdiri di belakang Falah, tidak menegur - hanya memandang adiknya itu dengan perasaan hairan. Jarang dia dapat melihat Falah mengelamun.

Mungkin Falah sedang berzikir agaknya.

Iman bersangka-sangka.

"Falah?" Iman tidak berlengah untuk menegur, laju sahaja dia melabuhkan punggung di sisi Falah.

Falah tampak tersentak. Baru tersedar dari lamunan panjangnya.

"Jauh termenung? Ingat siapa?" Iman melurutkan tuala kecil di kepalanya jatuh ke leher. Rambutnya yang masih lembap dibiarkan kering sendiri. Pandangannya dijatuhkan pada wajah Falah sekejap sebelum memandang Pantai Hamparan yang tampak samar-samar.

Falah tersenyum keruh, membetulkan duduknya biar ruang untuk Iman lebih luas. Dia tidak menjawab soalan Iman, hanya membiarkan soalan itu berlalu pergi.

Mereka sama-sama jeda. Keheningan awal pagi mengisi suasana. Ombak di Pantai Hamparan sesekali kedengaran. Hanya sayup-sayup namun cukup mendamaikan.

"Kau tak rindu mama?" Iman bertanya perlahan. Akhirnya terluah juga soalan itu selepas begitu lama dia simpan.

Falah kedu. Diam sahaja.

"Aku tahu.. Mama banyak buat salah dengan kau. Tapi itu tak bermakna kau boleh lari dari dia. Dia tetap mak kita."

"Falah tahu." Falah memintas laju. Nafasnya ditarik.

"Ya, kau tahu tapi kau tetap hilangkan diri selama tiga tahun. Semua orang tak tahu kau dekat mana. Mama setiap hari tanya tentang kau. Aku pun dah pening." Iman menongkat dagu.

Aku dan kau. Hakikatnya itulah panggilan dia dan Falah selama ini. Sejak kecil mereka rapat seperti kawan baik, seperti rakan sebaya. Kerana itu panggilan tersebut jadi sangat kasar. Namun selepas sahaja Falah berubah, tiba-tiba sahaja dia menukar panggilan kepada Kakak. Dan itu sangat menjijikkan pada telinga Iman waktu mula-mula dia dengar. Kemudian selepas beberapa lama barulah dia boleh terima, cuma untuk membahasakan dirinya kakak itu masih jauh lagi ketika itu.

Hanya di Pulau Jengka ini, entah tiba-tiba sahaja dia dengan rela hati menggelar dirinya kakak dengan Falah. Mungkin kerana Falah juga memanggilnya dengan panggilan itu.

Dan pagi ini, Iman baru tersedar - kenapa dia membahasakan dirinya 'kakak'? Oh.. Itu sangatlah tidak macho.

"Kau lebih mahir tentang agama. Aku jahil. Jadi aku rasa aku dah tak perlu nak ceramah dekat kau tentang mama." Iman memandang Falah sekilas. Dia perasan wajah Falah keruh semacam bila topik itu dibangkitkan.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now