Serunai Maut | Falah | 11

14.3K 2K 295
                                    

SELESAI menukar pakaian di bilik lelaki, Falah keluar bersiar-siar di kapal mewah ini. Dengan pakaian kasual begitu dia tampak santai meninjau setiap tingkat feri ini, namun hakikatnya dia bukanlah bersiar-siar dengan sia-sia. Tidak lain tidak bukan dia mahu melihat sendiri lokasi mayat dalam feri ini.

Tepat seperti yang diceritakan Henry semalam, daripada apa yang dia perhati sepanjang perjalannya di dalam feri ini dari satu tingkat ke satu tingkat - ada sebanyak 243 mayat berada di dalam bilik masing-masing dan 7 mayat selebihnya berada di luar bilik. Tidak, 6 mayat sebetulnya kerana ada satu yang hilang. Yaitu mayat Linda anak orang berpengaruh dunia satu ketika dahulu. Kebanyakan yang didapati di dalam bilik itu berada dalam keadaan berada di atas katil dan ada sebilangan yang terbaring di atas lantai. Manakala yang didapati di luar bilik pula lebih banyak dijumpai dalam keadaan terbaring menelentang.

Tidak sukar untuk Falah membuat penyelidikan kerana jabatan forensik sebelum ini melakar kedudukan mangsa pada setiap tempat untuk penyiasatan lanjutan. Jadi dia dapat lihat kedudukan mayat dengan lebih jelas apatah lagi dengan gambar yang dia terima dari Henry semalam. Bermacam bentuk kedudukan yang dia dapat lihat, paling dia takjub ialah apabila melihat mangsa mati dalam keadaan bergantung pada tingkap. Kepala mangsa yang terdongak buat Falah merenung lama lakaran di dinding bawah tingkap itu memikirkan apa yang dibuat si mangsa. Selalunya orang yang mendongak ialah untuk melihat sesuatu di luar tingkap.

Apa yang dilihat oleh mangsa?

Falah mengambil masa agak lama berada di bilik itu mencacat apa yang penting pada akalnya dan matanya. Selesai itu dia turun ke aras bawah. Aras untuk pembantu rumah. Mengikut penjelasan Henry, Linda - si mangsa yang hilang itu berada di aras ini. Falah tidak berlengah untuk menyambut penyiasatannya di aras itu satu kubikel demi satu kubikel sehinggalah sampai ke kubikel yang dihuni Linda.

Sebaik sahaja dia memasuki kubikel besar itu, serta merta satu 'rasa' menyelubungi jiwanya. Dia segera menggerakkan bibir membaca ayatul kursi.

Dia kenal 'rasa' ini.

Setapak demi setapak dia memasuki kubikel ini semakin kuat 'rasa' malah terasa semakin menyempitkan nafas.

Dia segera menukar bacaan kepada bacaan manzil - yaitu gabungan surah Al-Fatihah bersama tujuh ayat pertama surah Al-baqarah, ayatul kursi, tiga ayat terakhir surah albaqarah, ayat ke-18 daripada surah Ali-imran, ayat 54-56 daripada surah Al-a'raf, ayat ke-17 dan 111 daripada surah Al-isra, ayat 115-118 daripada surah Al-mukminun, disambung lagi dengan sebelas ayat pertama surah As-saffat bersama ayat 33-40 daripada surah Ar-rahman, ayat 21-24 daripada surah Al-hasyr dan akhir sekali ditutup dengan lima Qul.

Semuanya dibaca tanpa rasa ngaleh. Sambil matanya memerhati serata kubikel yang aneh ini. Ada sesuatu yang sedang menunggu di ruangan ini.

Falah menghampiri meja katil yang terdapat di situ, disentuh meja itu dengan jarinya.

Spontan terdengar suara-suara halus di telinga. Dia abaikan. Tetap menggerakkan lidah dan bibir mengalunkan bacaan manzil yang belum habis dibaca. Langkahnya tenang. Langsung tiada lagak seorang pengecut yang berasa seram dek mendengar suara halus yang semakin mengasak itu.

Suara itu seakan bertindih. Tawa. Tangis. Teriakan. Alunan. Bersatu pada benak.

Falah tidak menghentikan bacaannya biarpun suara-suara itu makin jelas di telinganya.

Alunan seorang wanita yang menyanyi lagu zaman dahulu kala berdengung di telinga. Kedengaran merdu dan sayu. Suara yang dialunkan tanpa apa-apa kekata dan hanya nyanyian tanpa menggerakkan bibir.

Falah teruskan sahaja bacaan. Kali ini matanya dipejam, meraih khusyuk.

Dari suara bertindih, bertukar pada suara tangis semata. Tangisan yang diselangi teriakan yang kedengarannya menghibakan. Seolahnya sedang menceritakan rasa duka dalam jiwa. Menghikayatkan sebuah tarikat yang menghancur gembira.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now