Serunai Maut | Falah | 13

12.8K 1.9K 213
                                    

FALAH terkaku bila semua mata memandangnya. Nuna dalam pelukannya sudah kembali ke posisi asal, merapatkan wajah ke tengkuk Falah. Kanak-kanak perempuan itu tampak biasa sahaja padahal dia baru selepas menjerit.

"Pacik.. Cakablah sheshuatu." Nuna sudah berbisik.

"Ca.. Cakap apa?" Falah tergagap.

Kemudian dia jadi menyesal dengan soalannya itu kerana Nuna terus memandangnya dengan wajah berkerut.

"Ish. Pacik ni." Nuna mengeluh penat. Kemudian dia menoleh pada semua orang yang memandangnya.

"Cangan gaduh-gaduh! Atuk Nuna kata gaduh-gaduh ni tak baik! Kalau gaduh-gaduh lagi, Nuna bagitahu dekat atuk Nuna! Nak ke!?"

Falah terbatuk kecil.

Allahuakbar.

Kanak-kanak ini sungguh luar biasa!

Dan lebih luar biasa apabila semua terus terdiam bila mendengar kata-kata Nuna.

Seolah semua gerun pada budak kecil bernama Nuna itu.

Henry dan Iman di tengah-tengah itu pula sudah saling berpandangan. Tidak dapat menghadam apakah yang berlaku.

"Cangan gaduh-gaduh. Nuna tak shuka pacik shume gaduh-gaduh." Nuna berwajah garang.

"Apa yang berlaku?"

Tidak semena-mena satu suara tegas menegur. Mencelah kerumunan ini.

Serta merta semua meminggir memberi laluan pada yang menegur.

Tok penghulu.

Wajah berkedut lelaki tua itu tampak tegas. Henry dan Iman mengeluh lega dengan kemunculan tok penghulu. Manakala Falah masih tidak mengenali lelaki tua itu.

"Atuk!!" Nuna terus tertawa riang melihat tok penghulu lalu dia menggelepur di atas dukungan Falah sehingga Falah terpaksa menurunkan budak kecil itu.

Nuna terus berlari dan memeluk lutut tok penghulu. Tok penghulu tersenyum pada Nuna sekejap kemudian mengangkat wajah tegasnya pada semua orang.

"Apa kalian telah lakukan ini?!"

Tok penghulu bernada kecewa.

Semua tunduk. Gerun dengan kemarahan tok penghulu yang sangat mereka segani itu.

"Atuk.. Keshian dekat pacik dengan macik dekat tengah tu. Semua orang marah dekat meyeka." Nuna mengadu ketika tok penghulu sudah pun mendukungnya.

Tok penghulu berwajah tegang.

"Begini caranya kalian melayan tetamu?! Dengan marah?!"

"Tapi tok, mereka mengatakan sesiapa yang mempercayai serunai maut maka dia tidak waras." Salah seorang di situ membalas.

"Itu tidak penting Noman. Apa yang penting sekarang ini mereka datang ke kampung kita bukan untuk membuat onar tapi untuk memulihkan keadaan. Kalian tidak tahukah yang kalian adalah suspek dalam kejadian di feri itu di mata dunia?! Jika tanpa mereka, mungkin sampai bila-bila semua akan menganggap kita ialah pembunuh!"

Semua terdiam. Kata-kata tok penghulu sangat benar.

"Henry dan Iman, mari ikut saya." Tok penghulu memanggil dua orang itu. Nafasnya naik turun tanda sedang menahan sabar. Dia kemudian berjalan terlebih dahulu bersama Nuna yang sibuk benar bermain dengan janggutnya. Tok penghulu layankan sahaja cucunya itu.

Henry dan Iman kemudian melangkah pergi diikuti Falah.

DI rumah tok penghulu, Henry dipersilakan ke bilik air untuk membersihkan diri yang dipenuhi telur. Henry berasa sangat lega kerana ada juga yang baik hati menumpangkannya bilik air, dia tak dapat bayangkan bagaimana jika dia terpaksa naik bot ke feri dalam keadaan melekit sebegini.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now