| Falah | 24

11.8K 1.8K 230
                                    

DUA hari berlalu, Henry semakin sihat dengan sendirinya. Sudah dapat bangun dan berjalan dengan biasa. Cuma kadang-kadang lelaki itu akan terbatuk keras kerana masih berbekas air dalam peparunya. Falah berkali memaksa abang iparnya itu untuk menerima rawatan namun Henry berdegil tidak mahukannya. Katanya dia sudah sihat. Falah akhirnya terpaksa akur.

Lewat pagi hari ini, seperti biasa Falah pergi ke pekan untuk membantu mana-mana penduduk kampung. Sekaligus menjalankan usaha dakwahnya yang sudah pun dibuat secara perlahan-lahan apabila mendapati ada beberapa penduduk kampung yang sudah dapat menerimanya.

Ketika dia sampai di pekan, tiada lagi pandangan sinis seperti dahulu, kebanyakan mereka lebih suka membuat kerja sendiri daripada merenung Falah seakan penjajah.

"Falah!"

Dan kekadang ini yang terjadi, dirinya dipanggil oleh salah seorang peniaga di situ.

Dia menoleh, kelihatan seorang lelaki berumur menggamitnya ke mari. Sebelum ini dia sudah berkali-kali juga membantu lelaki itu, Pak Tamoi panggilannya.

"Ya Pak Tamoi?" Dia menapak menghampiri.

"Sini, tolong aku susun kacang-kacang ini." Pak Tamoi mengarah tanpa segan silu.

"Oh.. Baik." Falah pun dengan taat mematuhi sahaja arahan itu. Laju sahaja dia menyusun bungkusan kacang Pak Tamoi di atas rak. Pak Tamoi ialah satu-satunya penjual yang menjual berbagai jenis kacang di pekan ini. Sebab itu semua orang mengenali Pak Tamoi dengan gelaran Pak Tamoi Kacang.

"Kau ada hendak pergi mana-mana selepas ini?" Pak Tamoi bertanya ketika mereka sama-sama menyusun bungkusan itu.

Falah berfikir sejenak, "Tidak ada Pak Tamoi. Hanya mahu berjalan-jalan sekitar pekan ini." Jawabnya jujur.

"Ya baguslah.. Boleh kau bantu aku di kedai ini. Anak aku tidak sihat hari ini. Boleh kan?" Pak Tamoi membuka kotak seterusnya.

"Semestinya Pak Tamoi. Saya akan bantu." Falah tersenyum.

"Jangan risau.. Hari ini aku berikan kau upah. Kau jadi pekerja aku."

Falah berhenti daripada menyusun bungkusan itu. Memandang Pak Tamoi.

"Saya tak perlukan upah. Saya bantu ini ikhlas."

Pak Tamoi mengeluh keras, dia pun berhenti daripada kerjanya. Mencekak pinggang menghadap Falah.

"Sudah berkali-kali kau membantu aku.. Dan setiap kali itulah kau tidak mahukan upah! Aku tidak suka menggunakan orang yang baik seperti kau untuk meringankan kerja aku. Kali ini kau perlu terima upah daripada aku! Kalau tidak aku takkan bertegur sapa dengan kau lagi!" Pak Tamoi benar-benar marah. Terus mengugut Falah.

Falah terkedu sejenak. Matanya berkedip pantas.

"Baiklah Pak Tamoi.." Perlahan dia tersengih.

Pak Tamoi mendengus. Nasib baik Falah menyetujui, jika tidak dia pun sebenarnya tidak sanggup untuk tidak bertegur sapa dengan pemuda sebaik Falah ini. Sungguh, dia tidak percaya akan wujudnya pemuda ringan tulang seperti Falah ini.

Pemuda ini sangat luar biasa. Ketika kali pertama berjumpa, pemuda itu terlebih dahulu menyapanya dengan senyuman yang seakan-akan sudah lama berkenalan. Hati tuanya senang dengan sikap Falah. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan pemuda baik hati begini.

Tidak hairanlah jika peniaga-peniaga di pekan ini hampir semuanya sudah sibuk bercakap tentang Falah. Semuanya tentang kebaikan. Ada segelintir yang masih berburuk sangka dengan Falah namun majoritinya menyukai susuk seorang Falah.

Kerana sikap Falah, perlahan-lahan penduduk kampung mulai sedar tidak semua pendatang asing itu jahat. Dan mereka mula sedikit demi sedikit menerima kedatangan Falah bersama dua lagi temannya itu di sini.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now