| Falah | 48

13.3K 1.9K 500
                                    

MUKIM Anjana makin terang. Cahaya matahari menyimbah telus ke daun pepohon yang beralun ditiup angin selatan. Dari jauh dapat dihidu bau garam dari laut sana. Membangkitkan rasa nostalgia dalam diri.

Di muka pintu ini Falah berdiri menyandarkan tepi tubuh. Merenung kanak-kanak yang sedang berlari ke sana ke mari. Bermain dengan seronoknya seperti tiada apa yang hendak dirisaukan. Bermacam mainan yang mereka sedang mainkan. Sesekali tawa mereka kedengaran riuh. Membuatkan Falah turut tersenyum.

Sebenarnya dalam kalangan kanak-kanak itu, turut ada seorang perempuan dewasa yang menyertai kumpulan tersebut. Dialah yang sedari tadi mengetuai permainan. Malah untuk kali ini, saat bermain nenek si bongkok tiga boleh pula dia tawarkan diri untuk menjadi nenek. Matanya ditutup dengan kain, dan dengan tangan teraba-raba sebegitu dia mencari kanak-kanak yang bermain dengannya.

Linda. Dialah yang paling riuh di situ. Sibuk sungguh mentertawakan kanak-kanak lain. Apabila dia berpura-pura menjadi nenek tua dengan suara tua, terus pecah tawa kumpulan budak-budak itu. Hatta seorang kanak-kanak berumur dua tahun turut ketawa gembira walaupun masih tidak faham apa-apa.

"Cepaat.. Nenek nak tangkap cucu." Linda menggawang-gawangkan tangan. Budak-budak tersebut tidak menunggu lama terus melarikan diri dalam tawa mereka. Habis riuh-rendah perkarangan rumah ketua ini dengan suara mereka. Linda dalam keadaan tertutup mata sebegitu mengejar mereka. Jeritan semua kanak-kanak menyaring dengan tawa yang pecah.

"Fuh kecohnya.." Henry memberi komentar sebaik berdiri di tepi Falah. Telinganya dikorek sedikit. Memang kecoh sungguh sampai dia di dalam tadi pun dapat dengar tawa budak-budak ini.

Dia baru sahaja berjumpa dengan Ketua bersama Iman. Iman pula sekarang sibuk bersembang dengan Anggun. Maka dia keluar dahulu mencari Falah yang sudah keluar lebih awal selesai sahaja bersarapan.

Muka Henry berubah sedikit sebaik ternampak Linda yang sedang berseronok dengan budak-budak Anjana. Terkebil pantas matanya.

"Wah." Sepatah kata kagum itu terluah.

Falah mengerling sekilas abang iparnya. "Kenapa?" Sengaja dia bertanya soalan itu pada Henry.

"Itu Linda?" Henry hendakkan kepastian.

Falah tersenyum kecil. Sebenarnya dia pun turut terkejut sewaktu berdiri di sini selepas mengamati beberapa barang pameran di dalam rumah ini. Apa yang dia lihat adalah Linda sedang melompat dalam bulatan bersama kanak-kanak lain. Ceria sungguh wajah gadis itu. Seolah lupa segala masalah lain.

Dan sekarang, masih sahaja Linda mengejar semua kanak-kanak sekelilingnya. Sehinggalah seorang budak perempuan berjaya ditangkapnya. Terkejut budak perempuan itu, jeritannya menyaring. Linda bersorak kerana akhirnya dapat menangkap mangsanya. Tanpa sedar mangsanya menangis kerana terlalu takut. Kelam-kabut Linda lepaskan budak itu dan buka ikatan matanya, bila melihat budak perempuan yang dia tangkap tadi sedang menangis teresak-esak dengan gelabah Linda memujuk budak itu. Habis segala air mata budak itu dia lap bersih-bersih. Budak-budak lain turut berkerumun di situ menonton.

"So.. Macam tulah Linda." Henry tergelak sedikit. Dia baru tahu begini rupanya seorang Linda, seorang yang ceria yang menggembirakan. Bukan seperti Mona yang lebih suka diam dan tidak peramah. Satu perbezaan yang sangat ketara!

"Falah mula faham kenapa Bunga berminat dengan Linda." Falah bersuara, matanya memandang sahaja pemandangan di hadapan.

Dilihat budak perempuan yang menangis itu sudah tersenyum ceria mendengar sesuatu dari Linda, entah apa yang Linda katakan sehingga budak perempuan itu terangguk-angguk dengan tawa kecil. Hilang terus air mata budak perempuan itu. Kemudian selepas itu Linda bangkit kembali mengikat tali pada matanya. Dia kembali menjadi nenek nampaknya. Suasana kembali riuh apabila Linda kembali mengejar semua orang.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now