| Tok penghulu | 29

11.4K 1.7K 360
                                    

PAGI itu, dirinya dibawa mengelamun di tangga rumah. Menatap jauh ke arah halaman rumah yang masih terdapat khemah tempat berteduh tetamu semalam. Jelas kelihatan embun pagi yang melekat di khemah tersebut. Khemah tersebut dibiarkan malam tadi di sini kerana mengikut adat Pulau Jengka, tiga hari tiga malam akan dibuat majlis ratapan untuk si mati.

Tok penghulu menghela nafas. Berat. Benar-benar daripada rengkungan dadanya.

Kehilangan Nuna benar-benar menjerut leher keluarga ini.

Satu kejutan sehingga membuatkan anaknya Osman naik gila dan menantunya Nurin mengalami kemurungan yang sangat dahsyat. Wanita itu langsung tidak bercakap dan memberi apa-apa respon sejak mendapati Nuna di sebelahnya rentung ketika bangun tidur.

Betapa masih segar dalam ingatan tuanya bagaimana nyaringnya jeritan menantunya itu pagi semalam - ketika semua orang masih lena di bilik masing-masing, tidak semena Nurin yang selama ini terkenal dengan sikap lemah lembut - menjerit ngeri dengan tangisan yang meratap. Nama Nuna disebut berkali-kali dengan sayu.

Tok penghulu bersama Mak Embun yang berada di bilik tidur mereka bergegas keluar mahu melihat apa yang terjadi, saat mereka berdiri di muka pintu bilik anak menantu mereka itu, hampir sahaja Mak Embun terjelepuk jatuh apabila melihat satu susuk kanak-kanak yang rentung bagai dibakar hidup-hidup. Sedang dipeluk erat oleh Nurin yang menangis teresak-esak.

Satu mimpi ngeri yang tidak mampu dihikayatkan.

Tok penghulu meraup wajah. Memejam mata seketika. Sekadar mengambil nafas tenang. Semuanya terasa sangat sukar.

Ketika matanya dibuka kembali, tidak semena pandangannya jatuh pada halaman rumah di hadapan - tepat pada kawasan Osman membelasah Falah pagi semalam.

Seakan masih jelas bayangan dua susuk itu di situ, dengan Osman menindih Falah seraya menumbuk wajah Falah sepuas hatinya.

Ketika itu dia hanya mampu memerhati dari jauh kejadian tersebut, bukan dia tidak mahu membantu namun ada sesuatu perkara yang menghalangnya daripada turun ke sana.

Akhirnya apa yang dia mampu lakukan hanyalah menjadi pemerhati. Dengan kerumunan penduduk kampung lain yang turut menonton tragedi tersebut, dalam diam sebenarnya Tok penghulu sangat serba salah dengan apa yang berlaku pada Falah.

Namun apakan daya, bak kata orang terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sehinggalah akhirnya Henry muncul membelasah Osman, Tok penghulu sedikit sebanyak menghela nafas lega ketika itu.

Hati tuanya sesak. Berbagai perkara seakan berserabut dalam fikirannya. Dia cuba bersangka baik, namun ketika itulah hatinya menyangkal.

Sehingga akhirnya dia hanya mampu menenggelamkan dirinya dalam satu memori. Memori dengan Nuna.

"NUNA cakap apa dengan pakcik tadi?"

Ketika Falah sudah pun pulang, Tok penghulu mengambil kesempatan ini untuk menyoal Nuna. Sedari tadi budak kecil itu asyik tersenyum girang seakan ada sesuatu yang sangat menggembirakannya.

Nuna pandang atuknya dengan senyuman lebar. Terus dia merapati Tok penghulu yang duduk di hujung pangkin sana.

"Atuk.. Atuk kenal tak Allah?"

Wajah Tok penghulu berubah mendadak. Senyuman yang menghiasi serta merta padam.

Nuna sebut nama Allah?

"Atuk kenal tak?" Nuna menggesa.

Tok penghulu mengerdipkan mata pantas. Nafasnya berat.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now