Serunai Maut | Iman | 10

14.6K 1.8K 287
                                    

FERI Miranda Gold sepi dan lengang. Hanya beberapa orang berbaju biru kelihatan sedang membuat tugas pembersihan pada beberapa tempat di kawasan feri ini. Dan mereka ialah kelasi kapal yang dihantar untuk menjaga kebersihan kapal ini sementara kes ini masih dalam penyiasatan.

Di kawasan lain semuanya lebih banyak kosong dan tampak menyeramkan apabila ditinggalkan tidak berpenghuni.

Iman ialah antara orang yang masih menetap di sini, penyiasat lain semuanya dihantar pulang ke rumah oleh Henry sejak kejadian Dato' Hussain mengamuk kerana tiada sebarang perkembangan dalam kes ini. Malah kejadian yang lebih teruk ialah ada beberapa keluarga mangsa yang semestinya daripada ahli korporat ingin menyaman jabatan penyiasatan kerana mereka mengatakan bahawa jabatan penyiasatan sengaja melengah-lengahkan kes kali ini.

Keadaan yang rumit bertambah rumitnya. Kacau bilau.

Namun nasib baik, dalam semua keadaan yang sangat rumit itu Henry muncul membuat kenyataan di sidang media Jumaat lepas. Mengatakan tentang mereka telah mendapati sesuatu yang aneh pada kes kali ini. Henry juga membuat kenyataan bahawa kes kali ini lain dari yang lain maka dia meminta keizinan dari semua pihak untuk memperpanjangkan lagi tempoh penyiasatan.

Syukur sahaja akhirnya dalam semua perkara yang tampak menyesakkan ini, kes ini diberi tempoh sebulan untuk diselesaikan. Dan pihak waris diminta bersabar untuk semua prosuder yang sedang berlangsung. Bukan mudah untuk menyelesaikan kes ini.

Iman meletakkan dua siku di atas para pagar feri, menikmati pemandangan laut yang mulai terang disimbah matahari pagi. Angin sepoi-sepoi membelai tubuhnya, membuatkan rambut pendeknya berterbangan dan berselirat, dia segera menyelit rambut agar lebih kemas.

Berada di tempat sunyi begini, buat dia jadi rindu pada keluarganya. Jarang untuk dia rasa perasaan ini kerana dia sebenarnya memang lebih gemar bersendirian jika berada di rumah pun. Namun apabila bersendirian di tengah laut begini, barulah perasaan rindu itu mulai mengetuk pintu hatinya.

Nafasnya dihela. Hatinya rawan. Entah kenapa dia jadi rindu sangat pada keriuhan rumahnya. Pada papa, pada mama, pada abangnya Iman Syukri yang sering menasihati, pada adik bongsunya Iman Fitri yang selalu mengejeknya gemuk. Dia satu-satunya perempuan dalam keluarga itu. Dikelilingi jejaka-jejaka buat dia terbiasa dengan sikap kasar dan pemakaian lelaki. Dari kecil dia sudah terbiasa begitu, malah dahulu dia lebih gemar bermain kereta dan robot berbanding bermain barbie dan anak patung seperti kebanyakan kanak-kanak perempuan lain.

Namun dalam semua adik beradiknya, yang dia paling rapat ialah adik di bawahnya. Sebelum Iman Fitri si bongsu.

Iman Falah namanya.

Adiknya itu ialah kawan baiknya. Kawan sengalnya. Kawan gilanya. Kawan dalam semua perkara. Hanya berbeza setahun buat Iman tidak rasa langsung Falah ialah adiknya bahkan sudah dianggap sebagai bestfriend forever. Tidak dinafikan Falah ialah seorang yang sangat bijak sehingga adiknya itu dapat melompat kelas di universiti sehingga sekelas dengannya.

Mengingatkan Falah, Iman senyum keruh. Kenangan bersama adik lelakinya itu terlalu banyak.

Dan tiada satu pun yang dia lupa.

"Jalan depan!"

"Kenapa ni? Falah!!"

"Sabarlah, jalan je."

Iman panas hati bila tiba-tiba sahaja matanya ditutup Falah dari belakang, kemudian dia dipaksa jalan ke hadapan. Terkial-kial dia hendak berjalan dalam keadaan tidak nampak apa-apa itu.

"Kau jangan macam-macam. Nanti kalau kau tolak aku masuk kumbahan, aku tolak kau sekali!" Iman beri amaran.

Dia dengar Falah sudah ketawa di belakang. Bengang hatinya bila dengar tawa itu.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now