Serunai Maut | Falah | 18

11.5K 1.8K 100
                                    

MALAM terasa sangat sunyi. Iman tidak dapat lena. Berbolak-balik di atas tilam nipisnya. Ada keresahan yang mengganggunya sedari tadi.

Kekadang angin terasa sejuk membeku, kekadang angin terasa panas membahang. Seakan berpusar-pusar di dalam bilik ini walaupun tiada kipas langsung. Hanya kerana rumah ini dibina dari kayu buat udara malam dapat menembusi liang-liang kecil di sebalik kekayu itu.

Iman hela nafas panjang-panjang.

Di tengah malam begini, dia mulai teringatkan kenangan lama. Sememangnya itu tabiat manusia. Di kala malam, pasti sibuk memikirkan tentang hal lama.

Teringat bagaimana Falah boleh berubah menjadi seorang yang dia tidak kenali lagi.

Seakan segar di ingatannya, air mata Falah ketika memasukkan sesusuk tubuh yang dikasihinya ke dalam liang kubur. Wajah yang sentiasa ceria dan gembira dengan senyuman yang tidak pernah lekang, hari itu menjadi sangat suram dan hilang warna.

Ayah.

Kehilangan seorang insan yang sangat disanjungi dalam hidupnya buat Falah menjadi rapuh.

Hanya sedetik sahaja, hidup seorang Falah bertukar.

Daripada seorang yang ceria, menjadi seorang pendiam.

Daripada seorang yang sentiasa berfoya-foya, berubah menjadi seorang yang hanya tahu bersendiri memikirkan tentang hidup.

Dan dalam waktu itulah datang seseorang dalam hidup Falah, menjadi seorang teman padanya.

Malah Iman rasa, dia bukan sekadar teman untuk Falah.

Dialah abang. Dialah penasihat. Dialah sahabat.

Tengku Hairi. Lelaki yang tiba-tiba sahaja muncul dan tiba-tiba sahaja juga pergi. Namun kehadirannya mengubah seratus peratus diri Falah.

Kadang Iman jadi terfikir, apa ada pada Hairi sehingga Falah berubah sebegitu. Baginya lelaki bergelar peguam itu biasa-biasa sahaja.

Dia masih ingat sewaktu kali pertama berjumpa lelaki itu di pasaraya, ketika itu Falah juga ada bersama lelaki tersebut.

Itu ialah kali pertama dia bersemuka.

Dan juga saat pertama dia mengetahui hijrah Falah.

"Eh, Falah?" Iman menegur adiknya yang kelihatan sedang memilih barang di Watson. Tadi dia lalu sahaja di hadapan kedai ini, tidak sangka pula terjumpa adiknya.

"Kak.." Falah tampak terkejut. Memandang Iman dengan mata membesar.

Jeda seketika.

"Falah.. Abang dah siap."

Suara lain menyampuk. Iman menoleh. Terpampang di matanya seorang lelaki berbaju raihan putih dipadankan dengan seluar slack hitam dan sepastinya kopiah putih di kepalanya, wajah itu tenang. Dan Iman terpaksa akui lelaki di hadapannya ini punya wajah yang tampan.

"Falah?" Lelaki itu menjongket kening. Hairan mungkin apabila melihat Falah ditegur perempuan berambut karat.

Falah sudah menggaru kepala.

"Hai, I kakak Falah. Iman Nadrah. You can call me Iman." Iman memperkenalkan diri dahulu. Tersenyum manis.

Lelaki itu turut tersenyum. Hanya sederhana.

"Saya Hairi. Kawan Falah. Falah tak pernah cerita pula dekat saya yang dia ada kakak." Hairi ramah bercerita.

Iman menjeling sahaja Falah.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now