| Falah | 37

11.7K 1.7K 161
                                    

KETIKA Falah pulang dari berseronok di sungai seorang diri, Henry dan Iman masih sahaja ketiduran. Awalnya Falah ingin biarkan sahaja kerana berasa kasihan namun apabila memikirkan tentang perjalanan yang masih jauh buat Falah terpaksa juga mengejutkan sepasang suami isteri itu agar bersiap.

Perjalanan mereka bukan untuk berehat dan disia-siakan masanya. Perjalanan ini ialah untuk sebuah usaha keimanan.

Beberapa kali cubaan mengejutkan dua orang itu akhirnya berjaya juga usaha Falah, dengan mamai mereka bangun. Dengan muka mengantuk, mata merah dan bibir pucat - mereka tak ubah seperti zombie tak cukup vitamin.

"Kita perlu bergerak sebelum matahari naik lebih tinggi." Falah bangkit dari duduknya selesai mengejutkan mereka berdua.

Henry menggosok mata mengantuk. Manakala Iman sudah berdiri dengan tapak yang goyah seakan boleh tumbang bila-bila masa sahaja. Dengan langkah tempang begitulah wanita itu berjalan memasuki rumah untuk ke bilik air di belakang.

Henry pula sudah termangu di tempat tidurnya tadi, terduduk semacam orang melangut memikirkan berbagai perkara.

Falah biarkan dahulu Henry menenangkan diri, dia sibukkan diri dengan kerjanya. Mengemas barangannya yang semalam digunakan.

Sekilas dia memandang Mona yang masih sahaja lena di hujung sana. Tiada tanda-tanda yang gadis itu akan jaga dalam masa terdekat. Malah gadis itu tampak semakin lena.
Mungkin kejutan yang dia alami semalam begitu membebankan mentalnya sehingga gadis itu hanya mampu melarutkan diri dalan tidur untuk berehat.

Memikirkan itu Falah jadi teringat, apa yang dia perlu buat dalam urusan gadis ini?

Adakah dia perlu tinggalkan gadis ini begitu sahaja?

Atau dia perlu bawa juga bersama dalam pengembaraan ini?

Falah berkerut sendirian memikirkannya.

Sedang dia memikirkan tentang perkara tersebut, hujung matanya ternampak kelibat Iman yang baru keluar dari rumah Nyai.

Falah memandang kakaknya itu, awalnya dia mahu abaikan namun apabila terlihat Iman seakan kebingungan dengan wajah berkerut - dia jadi tertarik untuk memandang lebih lama. Ada sesuatu yang tak kena dengan kakaknya itu.

Iman kelihatan masuk semula ke dalam rumah. Kemudian tidak lama selepas itu dia keluar kembali. Mukanya yang basah kerana membasuh muka tadi masih sahaja berkerut semacam fikirkan masalah negara.

"Kak okay?" Akhirnya Falah menegur apabila melihat Iman semacam hendak masuk kembali ke dalam rumah.

Iman tersentak bila ditegur begitu. Terus memandang Falah.

Mukanya pucat.

"Falah ada alih mayat Nyai tu ke mana-mana ke?" Soal Iman dengan dahi berkerut.

Falah berubah muka. Hati mula rasa tak sedap.

"Kenapa akak tanya macam tu?"

Iman masih sahaja beriak keliru.

"Aku tak tahulah samada aku salah nampak ke apa, tapi mayat Nyai dah tak ada dalam bilik."

Falah spontan berkerut. "Huh?"

Tanpa berlengah dia terus berlari masuk ke dalam rumah tersebut diikuti Iman yang masih dilanda keliru.

Henry yang tadinya mamai turut bangun dek mendengar perbualan dua beradik tersebut. Langkahnya dibawa masuk ke dalam rumah.

Falah menggeleng kepala dengan dahi berkerut saat melihat bilik yang sebelum ini terdapat mayat Nyai.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now