| Linda | 47

12.5K 1.6K 142
                                    

MALAM itu Linda tidak dapat lena. Berbolak balik di atas katil penuh keresahan. Linda sendiri tak tahu apa yang dia resahkan. Berulang kali dia cuba pejam mata tapi tetap tak dapat lena. Iman di sebelah dah lama tertidur, malah dengkur wanita itu sudah kedengaran jelas tanda betapa Iman sedang dibuai mimpi.

Linda pejam mata rapat-rapat. Berusaha untuk menjemput lena walau sedikit cuma. Esok perjalanan akan makin panjang. Dia sendiri tidak tahu apa yang akan dia hadapi esok. Mengikut apa yang Falah katakan, esok adalah hari penamat. Nampak gaya Falah ingin tamatkan semuanya esok. Memikirkan itu sahaja sudah buat Linda telan liur.

Akhirnya Linda bangkit, seluruh tubuhnya entah kenapa rasa lenguh-lenguh. Semacam orang demam sahaja. Dia mengurut sedikit bahu dan lengan yang terasa kejang. Nafas dihela berat. Hatinya rasa sesak sangat. Dia tak tahu kenapa.

Sebab waktu itu sebenarnya dia cuma rasa rindukan seseorang.

Linda ketap bibir.

Dia rindukan seseorang yang langsung tidak wujud.

Nyai.

Tangannya serta merta memegang dada. Menahan rasa rindu itu dari terus menganggu fikiran. Dia tak mahu rindukan wanita itu. Mengetahui bahawa Nyai hanyalah jelmaan sudah cukup untuk jadi alasan agar dia tidak lagi merundui wanita tersebut. Wanita? Layakkah jelmaan separuh jantan separuh betina itu bergelar wanita?

Linda menggeleng serabut. Dia tak dapat menahan rasa rindu ini. Dalam ingatannya memang Nyai yang membesarkannya, mengasihinya dan menyayanginya. Masakan dia tidak sayangkan wanita itu?

Tidak menunggu lama, dia memilih untuk keluar dari kediaman ini. Sebuah rumah yang terbina dengan buluh hutan yang diikat ketat menjadi dinding-dinding. Atapnya pula dialas dengan nipah yang dijalin rapat agar tidak bocor saat hujan. Ini kediaman dia dan Iman. Manakala di sebelah sana kedapatan sebuah lagi rumah yang menjadi kediaman Falah, Henry dan lelaki tua kesurupan siang tadi.

Sebut tentang lelaki tua yang Falah memanggilnya Tok penghulu itu buat Linda jadi seram sejuk. Teringatkan bagaimana lelaki tua itu menjerit-jerit memanggil namanya dengan suara garau bercampur nyaring siang tadi sudah cukup buat kakinya longlai. Hanya mampu terkaku saat melihat lelaki itu mengamuk inginkannya. Menempik kasar pada Falah yang bertegas dengan akidahnya. Linda hanya mampu menonton waktu itu. Dia takut.

Bukannya dia tak nampak, terkaman mata lelaki tua itu padanya saat bercakap dengan Falah. Itu menghantar satu renjatan yang sangat menakutkan pada dirinya sehingga spontan dia bersembunyi di balik Iman.

Tiada apa yang mahu dihairankan, sememangnya nenek Bunga yang menyarung tubuh lelaki tua itu inginkannya kembali kerana menganggap dialah Mona, anak Bunga yang telah mati beberapa tahun lampau itu.

Linda menyarung capal pada kaki. Berada di luar ini dalam keadaan gelap gelita, dengan langit malam yang hitam pekat ditaburi bintang-bintang kecil - membuatkan hati Linda sedikit tenang. Cuaca sejuk malam ini sedikit sebanyak membuatkan jiwanya tidaklah seresah sewaktu berada di dalam rumah tadi. Dia melabuhkan duduk di tangga rumah, memeluk lutut di situ dengan muka mendongak ke langit. Suasana sangat sepi malam ini. Cengkerik pun malu untuk berbunyi. Hanya bunyi hutan bergema tanpa nada.

Nafasnya dihembus.

Dia tidak tahu apa kena dengan dirinya sehingga merindui seseorang seperti Nyai, walhal dia sudah tahu Nyai hanyalah seorang gimbaran. Kenapa dengan dia?

Linda jatuhkan dahi ke lengan.

Merenung nasib di situ. Menjadi seseorang yang mempunyai memori orang lain sangat sukar. Dia berkali-kali perlu peringatkan diri bahawa hakikatnya dia adalah Linda, seorang gadis biasa yang membesar di bandar, mempunyai keluarga tiri yang terkorban dalam kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now