| Andika | 42

11.9K 1.7K 102
                                    

PERJALANAN mereka menuju timur pulau terasa sangat jauh. Langkah terasa sangat melelahkan. Apatah lagi struktur hutan ini sangat mencabar. Boleh sahaja mereka tergolek di curam jika tidak berhati-hati.

Matahari sudah meninggi. Namun tiada lagi tanda bahawa Falah ingin berhenti. Sedangkan berjalan di bawah terik matahari benar-benar menguji keimanan. Apatah lagi mereka tidak berhenti di mana-mana sejak bertolak awal pagi tadi.

Iman sudah berkali meneguk air yang dibawanya untuk menghilangkan dahaga. Tapi entah kenapa, makin diminum makin terasa kering tekaknya. Buat dia terus dan terus meneguk air sehinggalah airnya habis.

Keluhan deras dari Iman menarik perhatian semua. Sedar sedar Iman sudah terduduk dengan muka penat teramat sangat. Badannya terasa melekit. Lututnya sudah rasa kebas.

Semua serta merta berhenti berjalan. Linda yang sedari tadi menahan penat turut melabuhkan duduk di satu batang pokok yang tumbang di situ. Peluhnya yang mula merinik di wajah dikesat dengan belakang tangan.

Henry pula kekal berdiri, hanya sebelah kakinya diletak atas batu rendah di situ. Gaya seorang pemburu memerhati mangsanya.

Falah menghela nafas.

"Semua nampaknya sudah penat." Falah bersuara sekadar basa basi.

"Memang pun." Iman tergelak tak percaya. Terang lagi bersuluh semua orang penat. Rasanya bukan dia seorang sahaja kepenatan menenangkan nafas, tapi daripada pandangannya dia dapat lihat semua orang sibuk perbetulkan nafas sekarang ini. Hatta Falah sekalipun!

"Kita berehat dahulu di sini sementara menunggu matahari tergelincir. Sementara itu Falah pergi cari makanan dahulu."

"Abang teman Falah." Ujar Henry. Yang perlu berehat hanya perempuan. Dan dia tidak termasuk dalam golongan lemah itu.

"Baiklah.. Kita turun ke sungai dahulu." Falah membuat keputusan yang melegakan semua orang.

IMAN mengurut betis yang lenguh. Linda di sebelah tampak mengisi air dalam geriba kulit yang dibawanya. Air sungai mengalir tenang. Kawasan sungai di sini agak dalam berbanding sungai di kawasan rumah Nyai.

"Kakak tak mahu isi juga?" Linda bertanya selepas geribanya penuh. Dia hanya bersimpuh di tebing sungai, tidak berani untuk memasukkan kaki.

Iman pula nampak sudah pun melipat seluar hingga ke betis. Sekejap sahaja dua kakinya sudah selamat masuk ke dalam sungai. Iman tersenyum lega. Hilang segala penatnya.

"Linda tolong isikan boleh?" pintanya dengan sengihan.

Linda tersenyum. "Apa salahnya?" Dia kemudian bergerak menuju longgokan beg.

"Mana botol kakak?" tangannya membelek beg-beg di situ. Beg Henry dan Falah juga ditinggalkan di sini sementara mereka pergi mencari makanan.

"Warna hijau. Kakak letak dekat poket sebelah kiri."

"Beg kakak warna biru ke?"

"Haah."

Sekejap sahaja Linda sudah terjumpa botol air Iman, dia pun segera melangkah menuju tebing sungai dan mengisi air.

Iman pula sudah tenggelam dalam dunianya. Matanya terpejam menikmati keindahan dunia ini. Terasa kelenguhan kakinya sedikit demi sedikit hilang berganti rasa dingin dan lembutnya air.

Tiba-tiba terasa bagai wajahnya dipercik air. Lantas matanya terbuka.

Kelihatan Linda sedang menahan tawa. Gadis itu masih bersimpuh di tebing sungai ala-ala gadis melayu zaman dahulu. Tidak sedikit pun memasukkan kakinya ke dalam sungai. Hanya tangannya tadi yang menyimbah air pada Iman.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now