Serunai Maut | Falah | 19

12K 1.7K 53
                                    

HANGAT terasa memeluk tubuh. Membuainya dalam mimpi yang terasa sangat indah.

Membuatkan Iman jadi tidak mahu bangun. Terus menarik lagi kelembutan gebar ke wajahnya, dicium gebar lembut itu. Haruman seseorang menyucuk hidung. Haruman yang dia sangat kenali.

Rasa damai. Hampir tersenyum.

Lena.

Kicauan burung-burung menambah kedamaian. Malah kokokan ayam jantan juga kedengaran.

Tidak pernah dia rasa setenang ini..

Namun sejenak, matanya terbuka luas. Nafasnya tersekat. Tenangnya diragut. Terus matanya yang terbeliak itu memandang gebar dalam pegangannya.

Gebar warna hitam. Berbulu-bulu gebu. Haruman maskulin.

Sah bukan dia punya!

Dia mendadak bangun, drastik menyahkan gebar gebu itu dari terus membaluti tubuhnya. Mukanya tidak usah diceritakan. Sudah pucat lesi. Bagai sedang menonton cerita hantu kak limah balik rumah. Malah ini lebih pucat lagi, jika ditoreh wajahnya dengan pisau belum tentu ada darah yang keluar.

Dia di mana ini?!

Macamana dia boleh ada di atas comforter orang lain!?

Tak, bukan. Ini bukan comforter orang lain. Ini comforter Henry. Dia kenal sangat. Sebab itu comforter ini ada bauan lelaki itu.

Tidak semena Iman teringatkan sesuatu, terus dia memandang pakaiannya. Apabila melihat pakaiannya masih lengkap serta merta dia menghela nafas lega. Tidak tahu lega untuk apa.

Dia segera memandang ke sekeliling. Bilik utama ini sudah kosong. Henry mahupun Falah tiada. Malah tempat tidur Falah di sebelah sudah kemas dilipat. Hanya tinggal comforter Henry yang sedang dipakai Iman yang masih tinggal dalam keadaan berselerak.

Iman terkulat-kulat sendiri memikirkan bagaimana dia boleh berada di bilik ini. Peristiwa semalam seakan berputar dalam benaknya. Membuatkan dia spontan meneguk liur apabila teringatkan wajah nenek tua yang terpampang dalam samar cahaya telefon pintarnya.

Iman teringat telefonnya. Terus mencari gajet kecil itu. Apabila terlihat gajet itu di balik bantal Henry, dia serta merta mengambilnya. Ditekan butang on. Terpampang nombor jam yang sudah pun mencecah angka lapan.

Iman menggaru kepala. Lewatnya..

Akhirnya dia bangun dari comforter Henry dengan muka ngeri yang dibuat-buat. Masih tidak dapat melupakan bagaimana dia mencium haruman gebar ini tadi dengan sepenuh hati. Mengingatkan sahaja sudah buat dia hendak muntah. Kedua bahunya seakan tergeliat menahan geli.

Pintu bilik dibuka. Kepala dibawa menjenguk ke luar dahulu. Mahu memerhati keadaan sekeliling. Apabila keadaan semuanya lengang, dia pun bergerak ke bilik sebelah untuk mengambil barangan mandinya. Selesai sahaja mengambil barang keperluannya itu, dia kembali keluar. Kali ini sudah tidak berjaga-jaga. Menonong sahaja pergi ke dapur. Sampai di dapur, dia menghentak kaki menuruni anak tangga. Sedikit tidak berpuas hati memikirkan bagaimana dia boleh tidur di atas comforter milik Henry.

Iman mendengus kasar. Malas hendak memikirkan lebih-lebih dia segera memasuki bilik air dan membersihkan diri.

Empat puluh minit kemudian dia selesai, berdandan ala kadar di biliknya sebelum keluar kembali ke luar. Mencari-cari orang lain - dalam erti kata lain mencari Falah dan Henry.

Ke mana semua orang? Kenapa rumah ini sunyi sangat?

Apabila dia menapak ke halaman pun begitu juga, nampak sudah bersih namun tiada siapa yang kelihatan.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now