Special Part 2

1.4K 88 27
                                    

Aisyah menjemput Rania masuk ke dalam rumah dan dia mempersilakan wanita itu duduk sementara membancuh air di dapur. Rania tampak elegen dengan blouse bewarna biru lembut yang tersarung di tubuh dan dipadankan dengan seluar jeans. Tangan kanannya menjinjit beg tangan berjenama Gucci.

Rania memandang ke segenap sudut di dalam rumah itu sebelum melabuhkan punggungnya di atas sofa. Gambar perkahwinan Aisyah dan Rayyan digantung ke dinding menarik perhatiannya.

Di satu sudut lain, kelihatan pula gambar mereka sekeluarga. Adib yang berada di tengah gambar dan diapit oleh Aisyah dan Rayyan. Mereka berdua mencium pipi Adib pada masa yang sama. Sakit hatinya melihat gambar tersebut. Kalaulah dulu dia tidak meninggalkan mereka berdua, sudah semestinya di dalam gambar itu adalah dirinya dan bukan Aisyah.

"Bawa elok-elok sayang," pesan Aisyah pada Adib yang sedang membawa sepinggan kuih karipap untuk dihidangkan kepada tetamu.

Mata Rania jatuh pada telatah Adib yang sedang membontoti Aisyah dari belakang. Berkaca matanya tatkala dapat melihat anak kandungnya selepas enam tahun berpisah.

"Jemput minum kak," pelawa Aisyah dan meletakkan secawan air teh di hadapan Rania. Adib masih setia di sisinya.

"Itu Ad... Adib ke?" soal Rania tidak percaya. Adib kelihatan terpingga apabila namanya disebut oleh wanita asing yang menjadi tetamu itu. Aisyah mengangguk memberikan jawapan.

"Ummi, kenapa mak cik tu menangis?" tanya Adib pelik apabila melihat Rania yang sedang mengalirkan air mata sambil memandangnya.

"Adib pernah jumpa dengan mama tak?" Aisyah mengutarakan soalan kepada Adib.

Adib lantas menggeleng laju.

"Papa cakap mama duduk jauh. Tapi, sekarang Adib dah tak rindu mama sebab Adib dah ada ummi," ujar Adib ceria sambil memeluk erat pinggang Aisyah.

Terkedu Rania mendengar jawapan yang keluar dari mulut Adib. Balasan dari anak kecil itu ada benarnya. Layakkah dia digelar ibu jika dia sendiri sanggup menganggap Adib sebagai anak hasil zina dia dengan lelaki lain hanya kerana ingin terlepas daripada ikatan perkahwinan dengan Rayyan suatu masa dahulu?

Aisyah jadi serba salah. Dikerling Rania yang sedang duduk di sofa bertentangan dengannya. Muka Rania berubah menjadi mendung apabila mendengar jawapan dari Adib.

"Akak jangan ambil hati dengan jawapan Adib. Saya ingat lagi dulu masa dia tengah demam, dia selalu sebut mama. Dia terlalu rindukan akak," terang Aisyah bagi pihak Adib.

Ayat yang keluar dari mulut Aisyah cukup untuk menerangkan tentang peribadi wanita itu. Sikap penyayang yang ditonjolkan oleh Aisyah membuatkan Rania lega kerana Rayyan sudah menemukan seorang isteri dan ibu yang layak untuk menjaga dirinya dan Adib. Mungkin dia patut mengundur diri.

"Tolong jaga Adib dengan Rayyan untuk saya," pesan Rania sebaris sebelum meminta diri.

Meskipun perit, dia harus menerima kenyataan bahawa ikatan antara dia dengan Rayyan sudah lama berakhir. Tidak betah hendak berlama di rumah itu, dia bangun dan melangkahkan kaki ke pintu utama.

Semasa sedang menyarung wedges ke kaki, kereta Rayyan dipandu masuk ke perkarangan rumah. Alangkah terkejutnya Rayyan apabila melihat kelibat Rania. Rayyan terus meluru keluar. Tali pinggang yang membelit tubuhnya dibuka kalut-kalut. Tanpa menutup enjin kereta terlebih dahulu, lantas dia mendapatkan Rania.

"Kau buat apa kat sini?" soal Rayyan garang. Suaranya meninggi. Matanya melilau mencari kelibat Aisyah dan Adib dari dalam rumah.

"Saya cuma datang nak..." Belum sempat Rania membela dirinya, Aisyah terkocoh-kocoh keluar untuk menenangkan Rayyan. Suara Rayyan dapat didengari dari dalam rumah.

"Abang, istighfar abang. Kak Rania tak buat apa-apa pun. Dia cuma datang nak berjumpa dengan Adib. Itu je," jelas Aisyah lagi.

"Aisyah tak apa-apa?" tanya Rayyan dengan riak risau. Tangannya membelek badan Aisyah. Bimbang jika isterinya itu diapa-apakan oleh Rania.

"Aisyah okey. Abang janganlah risau," balas Aisyah bersungguh-sungguh.

"Saya belum gila lagi sampai nak cederakan isteri awak, Rayyan. Awak beruntung dapat memiliki dia Aisyah. Jangan pernah sia-siakan dia seperti apa yang pernah saya lakukan.  Assalamualaikum." Usai memberikan salam, Rania terus melangkah pergi tanpa berpaling lagi.

Aisyah mahupun Rayyan menjawab salam yang diberikan. Masing-masing berbalas pandangan.

                 *******************

Aisyah menyusun baju-baju yang sudah siap dilipat ke dalam bakul pakaian. Matanya mengerling Rayyan yang sedang ralit menyaksikan filem Pirates of The Carribean yang sedang disiarkan di kaca tv. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Seminggu sudah berlalu dan nampaknya Rayyan sudah mampu tersenyum seperti dulu. Syukur Alhamdulillah.

Pada ketika ini, otaknya sedang ligat mencari idea untuk memberitahu sesuatu kepada Rayyan. Kononnya nak buat surprise tapi semuanya tidak berjalan seperti yang dirancang. Adib pula telah dijemput oleh Tengku Aminah petang tadi. Tinggallah mereka berdua di rumah ini.

"Abang..." Aisyah memanggil suaminya lembut. Sengaja dileretkan untuk memancing perhatian encik suami.

"Hmm," balas Rayyan dan memandang Aisyah yang sedang melipat kain di bawah.

"Tolong Aisyah letakkan baju kat dalam almari boleh?" pinta Aisyah memandang Rayyan sambil mengerdipkan matanya berkali-kali.

"Ingat comel? Sengaja nak goda abang lah tu," perli Rayyan sambil menarik lembut pipi lembut Aisyah. Terjerit kecil Aisyah dibuatnya.

Bakul yang berisi pakaian yang telah dilipat dia angkat dan dibawa ke bilik tidur utama. Dengan pantas, Rayyan menyusun baju-baju milik dia dan Aisyah ke dalam almari. Setelah selesai, dahinya berkerut memandang sekeping gambar yang berada di dasar bakul.

"Satu,dua, tig..." Kira Aisyah sambil matanya tunak memandang ke arah tangga. Berdebar menanti respons dari Rayyan.

"Sayang!" jerit Rayyan dari tingkat atas. Derapan kaki makin kuat kedengaran apabila Rayyan sedang berlari laju menuruni anak tangga.

"Ya abang?" jawab Aisyah sambil menyembunyikan senyum.

"Apa ni?" soal Rayyan tidak percaya. Gambar tadi diangkat tinggi ke udara untuk ditunjukkan kepada Aisyah.

"Takkan abang tak tahu?" Soalan dipulangkan semula kepada Rayyan.

"Abang tak mimpi kan?" tanya Rayyan untuk mendapatkan kepastian.

Aisyah lantas menggeleng laju dan terus Rayyan memeluknya erat.

"Alhamdulillah. Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu atas nikmat ini," lafaz Rayyan sambil mencium ubun-ubun Aisyah.

Sebak. Itu sahaja yang dapat dia gambarkan pada saat ini. Siapa sangka rezeki untuk memiliki zuriat sendiri akhirnya tercapai apabila dia disahkan sedang mengandung. Usia kandungan itu baru berusia tiga minggu. Patutlah badan kerap rasa penat kebelakangan ini.

"Abang bahagia?" tanya Aisyah polos. Dia bimbang jika Rayyan tidak mahu memiliki anak dalam waktu yang terdekat kerana mereka baru sahaja berkahwin selama tiga bulan.

"Mestilah bahagia sayang. Lepas ni, kita naik atas buat sujud syukur," ujar Rayyan dan Aisyah hanya mengiyakan.

"Aisyah bahagia sangat. Terima kasih sebab sudi terima Aisyah dan abang tak pernah pun ungkit pasal masa lalu Aisyah," lafaz Aisyah penuh sebak. Ada air mata yang sedang bergenang di tubir mata.

Rayyan tersenyum senang.

"Abang akan terima segala kekurangan yang ada dalam diri Aisyah sepertimana Aisyah juga sanggup terima kelemahan dalam diri abang. Janji dengan abang yang Aisyah akan selalu bersama dengan abang dunia dan akhirat. Abang nak jadi antara insan yang dapat membahagiakan Aisyah," tutur Rayyan panjang lebar.

Aisyah lantas mengangguk laju.

"Ya Allah, tidak pernah terlintas di fikiranku bahawa Kau akan menghadiahkan kebahagiaan ini setelah Kau titipkan ujian buatku dulu. Alhamdulillah. Terima kasih Allah."

                          -TAMAT-

Bahagia Buat Aisyah [COMPLETE]Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang