TDLM - bab 62

13.3K 544 24
                                    

9.45 malam. Sengaja Medina balik lambat dari kerjanya hari itu untuk mengelakkan dari orang rumah-rumahnya.

Tubuh disandarkan pada kerusi kereta. Penghawa dingin dan enjin masih lagi terpasang.

Anak matanya terarah pada pintu kaca rumah. Tiada cahaya yang keluar mendakan lampu tidak terpasang, masih awal untuk bergelap.

Enjin dimatikan dan Medina capai beg tangan yang berada di tempat duduk sebelah. Pintu rumah dibuka dan dia pandang segenap ruang yang boleh.

Tiada sisa seperti orang datang menjengah.

Kaki diatur menuju ke dapur.

Seperti yang dia tinggalkan pagi tadi.

"Lasti?" panggilnya. Mungkin Lasti ada di biliknya.

Biasa kalau Dhiya dimasukkan ke dalam hospital, Kasyaf akan menginap ke sana tetapi tidak Lasti.

Dia menuju pula ke bilik Lasti. "Lasti? Awak ada dekat dalam ke?" pintu diketuk.

Namun diam tidak berjawab.

Medina pandang kiri dan kanan. Sunyi tiada orang.

Hujung bibir digigit. Tombol pintu dibuka dan dia lihat katil yang tidak dikemas.

Masih belum pulang.

Mungkin kerana tergesa-gesa ke hospital pagi tadi, Lasti belum sempat mengemasnya.

Keluhan berat dilepaskan.

Hajatnya mahu ke bilik tidur tapi langkahnya terhenti di penjuru untuk ke bilik Dhiya.

Terpaku di situ agak lama, berperang dengan diri sama ada mahu pergi atau tidak.

Kejadian semalam masih segar dalam ingatan. Dia— berkasar kah dengan Dhiya? Apa yang keluar dari mulutnya, semua terlalu keterlaluan kah?

Mata dipejam rapat. Beg tangan yang berada di siku gelonsor jatuh ke tapak tangan. Medina letakkan beg tangannya ke atas sofa.

Bilik Dhiya dipandang kembali.

Masuk, atau tidak?

Pada akhirnya dia tarik ke bawah juga kepala pintu bilik Dhiya.

Masih seperti rumah ini, kosong tanpa jejak manusia.

Suis lampu yang ditekan menerangi bilik itu. Terus anak matanya menangkap kesan merah gelap yang jelas kelihatan di cadar dan bantal.

Keningnya bertaut. Medina menuju ke arah kesan itu.

Darah. Tapi terlalu banyak.

Mungkin paling banyak yang pernah dia nampak.

Jadi ini sebab mengapa Kasyaf mengejarkan Dhiya ke hospital pagi tadi.

Jantungnya berdegup laju dan perasaannya mula tidak sedap. Belum pernah lagi Dhiya mengalami pendarahan seperti ini.

Laju tangannya menarik sarung bantal keluar dari bantal dengan tergesa-gesa. Tetapi apabila melihatkan kesan darah yang tembus sehingga ke bantal, kedua-dua sarung dan bantal jatuh ke lantai.

Dan ketika itu, anak matanya terarah ke cawan dan jag air. Jag air kosong dan cawan masih penuh.

Medina masih ingat malam semalam dia isikan air ke dalam cawan Dhiya sehingga air di dalam jag kosong.

Kepala ligat lagi berfikir. Seingatnya juga malam tadi Dhiya bangun kerana batuk dan ingin makan ubat. Jika air itu masih penuh, maknannya Dhiya tidak mengambil ubat.

Terus sahaja Medina keluar dari bilik mengambil telefonnya dari dalam beg. Mencari mesej yang dihantar oleh Kasyaf, sengaja tidak dibaca kerana merajuk.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now