TDLM - bab 16

12.9K 638 16
                                    

2020,

Tulang belakang yang lenguh dibetulkan. Dhiya tidak tahu sudah berapa lama dia dalam keadaan berbongkok dengan anak mata yang ralit memandang lampiran perisian yang digunakan oleh syarikatnya untuk mencatat sejarah kewangan.

Angka jam pada komputer riba dipandang sekilas sebelum beralih pada jam dinding di ruang untuk pekerja bahagian kewangan. Sudah pukul 5.45 petang. Waktu bekerja sudah tamat 45 minit yang lalu namun langsung tidak dia sedar.

Perisian tadi ditutup, kerjanya masih belum siap tapi akan Dhiya sambung di rumah nanti. Dhiya bersiap-siap untuk pulang dengan mengemas komputer riba serta mejanya.

"Kak Dhiya-"

Muka pekerja yang baru sahaja memulakan tugas lebih kurang 2 bulan lalu dipandang. Ada sedikit riak serba salah dari wajahnya. "Intan minta maaf. Sebab saya, kak Dhiya kena tolong saya." Mukanya hnya ditunduk sahaja.

Dhiya hanya diam sebelum senyuman diukir. "Tak apa, Intan. Akak faham, biasalah salah key in invoice ni." Dulu waktu Dhiya mula bekerja, pernah juga dia melakukan kesilapan seerti ini, dan pekerja atasan yang akan menolongnya.

Bahagian kewangan hari ini agak tegang kerana kesilapan yang dilakukan oleh Intan sehingga melibatkan ratusan ribu. Terpaksa Dhiya dan beberapa pekerja lain perbetulkan kembali jika tidak mahu susah di kemudian hari.

"Akak balik dulu, ya. Nanti kalau dah balance akak mesej Intan," ujar Dhiya memaklumkan. Kerusi ditolak masuk ke bawah meja.

"Terima kasih, kak Dhiya."

"Sama-sama." Dia berlalu pergi menuju ke lif.

Namun tidak sampai berapa langkah, Dhiya kembali kepada Intan. "Intan, akak nak bagitahu yang esok akak cuti. Tapi, kalau ada apa-apa please contact akak tau, paling tak pun tanya Azman." Dhiya berpesan. Bukan apa, Intan ini boleh dikatakan agak cuai. Ini bukan kesalahan pertamanya.

Kepala diangguk faham. "Baik, kak."

Dhiya senyum untuk kali terakhir sebelum akhirnya beredar menuju ke lif.

Sebaik sahaja sampai di parkir bawah tanah, terus sahaja Dhiya masuk ke dalam kereta Honda yang baru dibelinya. Myvi yang dia gunakan selama ini sudah selalu rosak jadi daripada asyik membaiki tapi akan rosak kembali, adalah lebih baik dia beli kereta baru walaupun perlu membayar secara bulanan.

Enjin dibuka, baru sahaja Dhiya ingin menukar gear, telefonnya berbunyi. Nama yang tertera adalah Iman lalu segera panggilan itu dijawab.

"Hello, assalamualaikum. Kenapa Iman?" tidak jadi Dhiya ingin memandu, nanti tidak fokus jika dia bercakap dengan telefon.

"Kau pergi tak esok?" soal Iman dihujung talian membuatkan dahinya berkerut.

"Pergi mana pula?"

Kedengaran nafas panjang dihela oleh Iman. "Doa selamat Dina lah."

Ingatan Dhiya cuba untuk mengingati kembali. Rasanya dua minggu lalu Dhiya ada menjemput mereka semua untuk ke majlis doa selamat sempena Medina yang sedang mengandung.

"Pergi tak?" Iman tanya lagi apabila Dhiya hanya diam.

Kuku jari telunjuknya ditekan dengan ibu jari. "Tak kot, aku ada banyak ker-"

"Kerja, kerja, kerja. Orang lain pun kerja juga Dhiya. Aku ni selalu on call dekat hospital, Hanan dekat Singapore tapi boleh je datang. Kau saja je tak nak datang, kan?" Kedengaran seperti Iman tidak puas hati. Dhiya selalu mengelat jika perlu ke Kuala Lumpur.

"Tak, kali ni aku bukan nak mengelat tapi aku betul-betul banyak kerja." Dia tambah lagi alasan walhal mungkin tekaan Iman ada betulnya, dia memang ingin mengelat.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now