5 | Bengkel

13.3K 114 114
                                    

“Luqman Hakim!!” jerit cikgu Rohayu pada Luqman yang tertidur di kelas ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung.

Luqman terkejut sambil menggosok matanya yang pedih.

“Dah banyak kali kamu tertidur di kelas haa..kali ni cikgu dah tak boleh bagi muka. Kamu akan dikenakan tindakan” tegas Cikgu Rohayu

Denda yang dikenakan pada Luqman sebelum ini ternyata belum menyedarkan dia dari kesilapannya. Dari berdiri atas meja hinggalah berdiri di luar kelas, semuanya tidak mampu memberi pengajaran dan amaran agar Luqman tidak mengulangi kesalahan sama. Bahkan Luqman telahpun lali dengan denda tersebut.

Tapi kali ini cikgu Rohayu akan menghantar Luqman untuk bertemu cikgu disiplin yang digeruni iaitu cikgu Joshua. Cikgu Joshua sememangnya terkenal dengan sikapnya yang tegas dan wajahnya yang bengis.

Jarang senyum dan suka memberi hukuman berat pada murid-murid yang nakal. Cikgu berketurunan Bidayuh-Cina itu memang sukar bertoleransi dan sering menjadi rujukan cikgu-cikgu lain berkenaan disiplin.

Cikgu Rohayu membawa Luqman ke bilik Cikgu Joshua untuk dikenakan tindakan. Luqman masuk ke dalam bilik itu dan tinggallah dia berduaan dengan Cikgu Joshua.

“Jadi, kamulah budak nakal yang selalu buat cikgu lain naik angin” perli Cikgu Joshua.

Luqman masih mamai kerana baru bangun tidur. Dia kemudian menundukkan wajahnya ke bawah kerana enggan menatap wajah lelaki yang bengis di hadapannya itu.

Luqman tidak dapat menipu dirinya, dia berasa takut pabila berdepan dengan cikgu disiplin itu.

Cikgu Joshua berdiri dan mencapai rotan tebal dan panjang miliknya. Mata Luqman membulat, dia seperti tahu apa yang bakal terjadi. Cikgu Joshua meminta Luqman berdiri sambil menghadap dinding.

Satu pukulan rotan terkena punggung Luqman membuat dia kesakitan. Pukulan itu kuat dan menghasilkan bunyi pabila bertemu dengan seluar sekolah Luqman. Beberapa pukulan hinggap dan membuat Luqman yakin bahawa esok punggungnya akan berbekas dan dia akan sukar untuk duduk.

Denda itu berakhir dengan Cikgu Joshua mengarah Luqman lari keliling padang pada waktu tengah hari.

Dalam hati Luqman menyumpah seranah cikgu tinggi dan putih itu. Ingin saja dia menumbuk wajah Cikgu Joshua namun apakan daya dia takut.

Rata-rata rakan sekelas Luqman memerli Luqman kerana sering didenda tapi pabila dia melihat wajah Rabiatul, sakit di punggungnya terus hilang. Rabiatul tidak memerli mahupun memandang Luqman dengan pandangan jijik, tetapi dia seperti bersimpati dengan keadaan Luqman.

“Kenapa awak selalu tidur dalam kelas?” soal Rabiatul pada Luqman yang sedang mengemas bukunya dan bersedia untuk pulang.

Pelajar lain telahpun keluar dari kelas dan yang tinggal hanyalah Rabiatul dan Luqman. Rabiatul sengaja keluar lewat untuk mencari peluang bercakap dengan Luqman.

“Sebab saya mengantuk” balas Luqman yang acuh tak acuh

Jawapan itu ternyata membuat Rabiatul tidak puas hati lalu membalas

“Orang kata biar kita tak pandai asalkan jangan pemalas”

Dia kemudian berjalan lalu meninggalkan Luqman yang terkebil-kebil sendirian. Luqman sudah mengagak yang Rabiatul tidak akan mengerti apa yang dia lalui.

Pada masa sama, sepasang mata memerhati mereka berdua dengan perasaan cemburu yang membakar.

***

“Man, kau tolong abang tu” arah seorang lelaki berumur lewat 20an.

Luqman mengangguk kepala dan terus mendapatkan seorang lelaki cina muda yang baru saja turun dari motorsikalnya.

Lelaki cina itu ingin menukar minyak enjin motorsikal dan Luqman yang juga pekerja sambilan di bengkel tersebut memulakan tugasnya.
Inilah rutin harian Luqman, sebelah pagi dia akan bersekolah dan di sebelah petang dia akan bekerja di bengkel sehingga malam. Pabila dia pulang, tugasnya sebagai seorang abang pun bermula.

Dia akan pastikan Salina dan Zain menyiapkan kerja sekolah mereka sambil membuat beberapa latihan. Luqman bukannya pelajar yang pintar tapi dia tetap mahu kedua adik angkatnya untuk menjadi lebih bijak darinya.

Pada mulanya, Luqman ingin berhenti sekolah tapi setelah dipujuk oleh pihak sekolah, dia akhirnya bersetuju untuk kekal bersekolah sehingga menduduki SPM.

Keletihan berkerja sambilan dan mengurus adik-beradiknya menyebabkan dia sering tidur di kelas dan tidak dapat menumpukan perhatian.

Tiada siapa yang tahu keadaan sebenar Luqman. Pabila pihak sekolah bertanya, Luqman menipu mereka dan memberitahu bahawa mereka dijaga oleh bapa saudara Luqman sedangkan Luqman tiada ahli keluarga lain.

Mujurlah Imam masjid tempat Luqman dan adik beradiknya berlindung sanggup menjadi penjaga mereka. Di sebelah masjid terdapat sebuah rumah tumpang yang sepatutnya dijadikan rumah muallaf untuk sementara tapi buat masa ini, Luqman dan adik beradiknya menumpang di sana.

Pak Imam juga memberi wang hasil sedekah dan zakat namun duit itu Luqman gunakan hanya untuk Salina dan Zain sementara untuk dirinya sendiri dia terpaksa bekerja. Duit itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka bertiga walaupun serba kekurangan.

Oleh sebab itu Luqman bekerja untuk menjana pendapatan dan duit lebihan telah disimpan khas untuk Salina dan Zain menyambung pelajaran ke menara gading.

Tak lama lagi Salina akan berpindah ke sekolah menengah dan pastinya lebih banyak perbelanjaan diperlukan. Luqman terpaksa bekerja keras untuk mengumpul duit.

Luqman bersyukur kerana dia diterima bekerja oleh Abang Awang yang juga pemilik bengkel berkenaan. Abang Awang sering solat berjemaah di masjid dan dari situlah dia berkenalan dengan Luqman.

Setelah mengetahui keadaan sebenar Luqman. Luqman meminta bantuan Abang Awang untuk menerimanya bekerja sambilan. Pada mulanya Abang Awang ragu-ragu kerana ini bakal mengganggu pelajaran Luqman, namun setelah dipujuk beberapa kali akhirnya dia bersetuju.

Kini Luqman bekerja di bengkel Abang Awang dan dia mempelajari beberapa ilmu penting tentang motorsikal. Dia juga berkebolehan untuk membaiki motorsikal yang rosak hasil ajaran Abang Awang.

Luqman bersungguh-sungguh bekerja dan melakukannya dengan penuh semangat. Dia terhutang budi dengan Abang Awang dan oleh sebab itulah dia perlu bekerja keras agar Abang Awang tidak menyesal mengambilnya sebagai pekerja.

Satu demi satu pelanggan datang ke bengkel. Ada yang ingin membaiki motorsikal, ada yang ingin menukar minyak enjin dan macam-macam lagi.

Tangan Luqman mulai menghitam hasil kerjanya dan bau peluh membasahi baju yang dipakai.

“Man, Aku beli makanan dulu, kau tolong jaga kedai kejap ya” arah Abang Awang

Luqman mengangguk faham sambil melihat Abang Awang menunggang motorsikal.

Luqman mengemas bengkel yang berselerak. Satu demi satu peralatan disusun rapi ditempat sepatutnya. Telinga Luqman menangkap bunyi motorsikal datang tapi bukan milik Abang Awang. Luqman kenal bunyi motorsikal Abang Awang. Ini pasti pelanggan.

“Assalamualaikum, boleh tolong?” soal satu suara

Luqman menoleh kebelakang dan terkejut. Sungguh dia tidak menyangka bahawa lelaki di hadapannya telah muncul kembali.

“Abah Rosli?” kata Luqman.

Bersambung…

MR. OTOT : BIRU (Siri 2)Where stories live. Discover now