BAB 11 🌸

4K 300 48
                                    

Dulang berisi gelas kaca aku bawa ke hadapan dengan penuh berhati-hati. Tersilap langkah, mahunya jatuh bergolek-golek aku di sini. Buat jatuh saham anak dara Jeneral Radzi saja. 

Dulang yang sedang ditatang diletakkan perlahan-lahan di atas tikar yang terhampar, berdekatan dengan juadah kuih dan manisan yang tersedia. Sambil-sambil itu, tangan ini cekap membetulkan letak susun dulang-dulang yang lain. Setelah berpuas hati, aku kembali mengorak langkah ke dapur. Boleh pula terserempak dengan Kak Tim yang baru lepas membasuh tangan.

"Dah nak azan maghrib. Kau solat tak?" tanya Kak Tim. Lengan baju kurung kebaya yang tadinya dilipat agak tinggi dilorot jatuh.

"Eh, solat Kak Tim. Orang nak pergi ambil wuduklah ini," balasku. Muka Kak Tim semacam resah. Aku pelik. Bukan selalu Kak Tim macam ini.

"Oh, kau boleh solat rupanya. Aku baru ingat nak minta tolong kau tolong tengok-tengokkan budak berdua itu. Kak Tim takut Ahmad dan Akhyar buat sepah saja dekat depan nanti. Abang Zul tak ada, sebelum Maghrib tadi dah pergi masjid dengan ayah," jelas Kak Tim. 

Aku hanya tersenyum. Aduhai, kakakku ini. Benda kecil saja pun. Aku fikir ada masalah negara tadi. Resah dia tak kawal! 

"Macam ini... Kak Tim solatlah dulu, kita bergilir. Lagipun, kariah masjid datang selepas maghrib kan? Insya-Allah sempat." Aku meyakinkan Kak Tim. Sebaik mendengar kataku, Kak Tim menarik nafas lega. Segera langkah kakinya masuk ke dalam bilik air untuk mengangkat wuduk.

Sementara menunggu Kak Tim solat, aku pergi mendapatkan Ahmad dengan Akhyar kemudian mengurung dua hero itu di dalam bilik. Nanti barulah tak merayap keluar! Bijak tak aku? 

"Hei, dengar sini Kak Je nak cakap."

Mendengar saja gelaran 'Kak Je' menerjah telinga, pantas perhatian Ahmad dan Akhyar yang sedang seronok bermain blok lego tertumpu ke arahku. Dua beradik itu memandangku bersama mata bulat masing-masing. Apabila tengok macam ini, rasa geram pula. Comel! Nampak baik pula itu.

 "Awak berdua jangan nakal-nakal tau. Malam ini ramai orang datang," pesanku sambil bercekak pinggang. Sengaja acah-acah garang. Budak berdua ni bukan boleh percaya sangat! Akalnya tak diduga!

Ahmad, si abang memandangku sejenak sebelum bergerak mendapatkanku di atas katil, meninggalkan adiknya bermain sendirian. Perlahan-lahan kaki kanannya diangkat ke atas katil diikuti dengan kaki sebelah lagi. Tahu-tahu sahaja, Ahmad sudah berada di sebelahku bersama kedua-dua kaki terjuntai ke bawah.

"Kenapa tak boleh nakal-nakal Kak Je?" Polos soalan itu meniti di bibir Ahmad. Mata jernihnya menuntut jawapan. 

"Sebab ramai kawan tok ayah nak datang. Kalau Ahmad dengan adik bising, nanti kesianlah kawan-kawan tok ayah," jelasku dalam bahasa yang mudah difahami oleh budak lima tahun itu. Ahmad mengangguk faham.

"Dah, Ahmad pergi bagitahu dekat adik sana." Belakang badan dia aku tolak perlahan. Ahmad terkedek-kedek mendapatkan Akhyar lalu berbisik sesuatu di tepi telinga si adik. Akhyar yang baru menginjak dua tahun hanya meleret senyum. Entah faham ke tidak, aku tak tahulah.

Bibir aku spontan mengukir senyum. Hai la budak... comel betul! Pipi Ahmad dan Akhyar aku cubit perlahan. Geram! Masing-masing mengaduh perlahan. Biar la, sekali-sekala mengusik anak buah. Apa salahnya, kan? Lagi dituntut tau untuk mak cik nakal macam aku. Haha.

Tidak lama kemudian, kedengaran pintu bilik diketuk lalu dibuka dari luar. Kak Tim dah datang. Tiba giliran aku pula untuk menunaikan solat Maghrib. Aku tengok jam di dinding. Baik cepat, sebelum lagi ramai orang datang nanti.

Menginjak angka 10 malam, barulah selesai kenduri khas untuk arwah Diff. Keluarga Diff juga turut hadir mengucapkan terima kasih kerana sudi mengadakan kenduri untuk arwah. Bukannya apa, kami sekeluarga faham yang keluarga itu memang sibuk. Jadi, apa salahnya kita membantu mana-mana yang patut.

TITLE MRS. UNTUK DELAILA [COMPLETED] ✔︎Where stories live. Discover now