6

22.4K 966 9
                                    

Riuh rendah suasana pagi itu terutama sekali di bahagian dapur. Manakan tidak, majlis doa selamat bakal bermula pada tengahari nanti. Majlis itu tetap berjalan seperti yang dirancang walaupun pada asalnya ianya dilakukan bersempena dengan majlis perkahwinan Noah yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

Sufi turut tidak terkecuali. Awal pagi lagi dia sudah turun untuk membantu membuat persiapan majlis tersebut. Gadis itu kelihatan tenang pada luarannya namun hakikatnya dia masih lagi mengenangkan tentang apa yang telah diperkatakan oleh ibunya malam tadi. Naluri hatinya menyuruh dia agar menerima sahaja lamaran tersebut lebih-lebih lagi apabila Nazrul masih lagi tidak henti-henti mengacau dirinya sejak akhir-akhir ini.

Perlukah dia menerima sahaja lamaran tersebut semata-mata untuk mengelakkan diri daripada Nazrul?  

"Noah, pergi belikan barang-barang yang ada dalam senarai ni sekarang."

Aliyah menghulurkan sehelai kertas kepada Noah. Noah hanya menjungkitkan sebelah keningnya sambil membaca senarai yang diminta oleh uminya.

"Hmm, iyalah. Lepas ni Noah pergi dengan Fawwaz."

Aliyah sudah mula mengerutkan dahi. Nak ajak Fawwaz? Dia lagi mengharapkan Noah daripada Fawwaz dalam bab membeli barang dapur ni. 

"Buat apa bawa budak bertuah tu? Dia bukan boleh membantu pun. Baik pergi dengan Sufi. Sufi dah tentu kenal semua barang yang umi suruh belikan tu." ujar Puan Sri Asma tanpa memandang wajah Noah. 

Noah hanya mendiamkan diri. Tak mahu menjawab, bimbang akan mengeruhkan lagi keadaan. Dia tahu bahawa marah tokma terhadapnya masih lagi belum reda sampai saat ini.

Sufi tersentak dari lamunannya sebaik sahaja dia mendengarnya namanya disebut oleh Puan Sri Asma.

"Sufi, tolong temankan Noah beli barang, ya? Senarai barang aunty dah bagi kat Noah." tutur Aliyah sambil mengukirkan senyuman. 

Tanpa Sufi sedar, laju sahaja dia bersetuju tanpa berfikir panjang. Ketika itu juga dia mula rasa menyesal namun apakan daya, dia bukannya ada alasan untuk berkata tidak. 

Noah yang ingin berlalu dari situ mematikan langkahnya apabila dia menyedari Sufi masih lagi berada di dapur. Dia lantas melepaskan keluhan kecil.

"Sufi, buat apa tercegat lagi kat situ? Aku nak pergi sekarang." 

Sufi menayangkan muka meluat. Eh, nak marah-marah pula. Sepatutnya lelaki ini bersyukur kerana ada orang yang sudi temankan dirinya. 

"Yelah, sabarlah."

Sufi membasuh tangannya lalu segera mengejar Noah yang sudah pun jauh meninggalkannya.

Aliyah hanya menggelengkan kepala tatkala melihat gelagat Noah dan Sufi. Harapnya masing-masing tak bawa perangai masa kecil dahulu. Mereka berdua sememangnya gemar bergaduh setiap kali berjumpa. Mujur juga ketika itu ada Fawwaz dan Hakimi yang menjadi orang tengah untuk meleraikan pergaduhan mereka.

"Yah, Sufi tak ada kata apa-apa ke pasal semalam tu?" soal Puan Sri Asma. Dia perasan akan gadis itu yang hanya senyap sejak semalam. Malah, tiada tanda-tanda bahawa Sufi ingin menerima lamaran mereka.

Sarimah hanya menggeleng perlahan.

"Tak ada lagi, aunty. Yah ada bincang juga dengan dia malam tadi. Tapi dia masih belum berikan jawapan dia."

Puan Sri Asma mengukirkan senyuman tipis. Dia tidak mahu memaksa tetapi dia berharap sangat agar Sufi menerima pinangan mereka itu. Hal ini kerana dia mahukan Sufi yang menjadi cucu menantunya dan bukannya Bella.

****


Malam itu, setelah menunaikan solat isyak, Sufi terus turun ke dapur sambil mencari kelibat ibunya. Dia sudah fikir masak-masak tentang lamaran tersebut. Dia yakin akan keputusan yang dibuat setelah memikirkannya sepanjang hari ini. 

Kau, Takdir Terindah (C)Where stories live. Discover now